SHAH ALAM - Pengundi cenderung untuk memilih wakil rakyat yang mampu menjadi penyelesai masalah dan bukannya sekadar memberi minyak petrol ketika berkempen. Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomuddin Bakar berkata, berdasarkan dapatan kaji... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pengundi cenderung untuk memilih wakil rakyat yang mampu menjadi penyelesai masalah dan bukannya sekadar memberi minyak petrol ketika berkempen.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomuddin Bakar berkata, berdasarkan dapatan kaji selidik mega yang digerakkan lima media perdana bersama tiga firma penyelidikan, perkara penting yang dikehendaki pengundi adalah wakil rakyat yang menjadi penyelesai masalah.

Menurutnya, masalah utama yang dihadapi rakyat banyak terkait dengan pendapatan tidak bertambah, kos harga barang meningkat, pendapatan isi rumah yang kurang menghimpit mereka dan suasana ekonomi yang tidak begitu baik buat masa ini.

"Sudah tentu mereka akan menilai siapa sebenarnya yang boleh mereka harapkan untuk menjadi wakil mereka.

"Selain itu, pengundi melihat kepada wakil rakyat yang kerap turun padang menyantuni dan ‘bersentuhan’ dengan mereka. Rakyat tak nak wakil rakyat yang sekadar memberi minyak petrol semasa pilihan raya atau hanya muncul masa kematian.

"Ada segmen tertentu, mereka dah mula menuntut peranan wakil yang boleh mengangkat suara mereka ketika negara berada dalam krisis ekonomi sebegini. Mereka memerlukan penyelesai masalah yang berani,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Sementara itu, Ketua Penyelidik O2 Research Malaysia, Anis Anwar Suhaimi berkata, pengundi cenderung untuk memilih calon yang mampu menambah baik kualiti perkhidmatan di tempat mereka, selain membantu menyelesaikan masalah isu-isu setempat.

Jelasnya, bagi penduduk di luar bandar, isu utama yang perlu diberikan perhatian adalah isu ekonomi seperti peluang pekerjaan manakala di kawasan bandar, ia lebih tertumpu kepada isu domestik seperti masalah kesesakan lalu lintas dan banjir kilat.

Bagaimanapun, pertimbangan pengundi mungkin berbeza bagi kawasan yang melibatkan pertandingan banyak penjuru.

"Jika melihat kepada aspek isu setempat, ia berbeza dan bergantung pada demografi. Bagi kawasan luar bandar, pertimbangan mereka masih lagi parti dan calon mana yang mampu menyelesaikan masalah ekonomi mereka seperti peluang pekerjaan.

"Kita sedar di kawasan luar bandar, ramai anak muda yang bermigrasi kerana kurangnya peluang pekerjaan dengan gaji yang tidak setimpal atau sesuai dengan keadaan semasa. Mereka akan melihat bagaimana calon-calon boleh kemukakan tawaran yang lebih baik untuk mengembangkan ekonomi di tempat itu.

"Bagi penduduk di kawasan bandar pula, mereka lebih melihat kepada bagaimana calon atau parti dapat menyelesaikan isu-isu domestik seperti isu kesesakan lalu lintas.

"Selain itu, bagi penduduk bandar dan luar bandar, masalah seperti banjir boleh menjejaskan kualiti hidup mereka. Sebab itu, calon mana yang memahami dan mampu membantu mereka mengatasi masalah ini pastinya akan mendapat ‘markah’ tambahan,” ujar beliau.

Anis menambah, apabila berlakunya pertandingan banyak penjuru, kecenderungan pengundi mungkin sedikit berbeza.

Jelasnya, di peringkat nasional, banyak faktor dominan tetapi bagi kawasan yang berlaku banyak penjuru, pada akhirnya pengundi akan melihat kepada wakil rakyat yang memahami dan menyelesaikan isu setempat.

"Jadi, saya kira calon-calon yang mampu menambah baik kualiti perkhidmatan di tempat mereka adalah antara pertimbangan penting.

"Cuma, kita kena sedar bagi kawasan yang tidak banyak penjuru, pengundi akan melihat kepada parti mana yang akan berpeluang menjadi kerajaan. Dalam situasi ini, calon-calon parti kena beritahu dasar kerajaan yang akan dibawa oleh mereka bila mereka menjadi kerajaan nanti,” jelasnya.

Klik di sini untuk terus membaca