KEHADIRAN 131 calon bertanding atas tiket Bebas sama ada di kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menimbulkan dua persoalan besar. Ia sama ada peluang untuk mereka menang cerah atau sekadar... Klik di sini untuk terus membaca

KEHADIRAN 131 calon bertanding atas tiket Bebas sama ada di kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menimbulkan dua persoalan besar.

Ia sama ada peluang untuk mereka menang cerah atau sekadar meraikan amalan demokrasi di Malaysia.

Bagi ramalan penganalisis politik, lebih 90 peratus calon itu berkemungkinan bukan sahaja tewas, malah hilang wang pertaruhan.

Ini kerana kebanyakan calon Bebas bukan sahaja kurang dikenali masyarakat setempat, malah tidak mempunyai penyokong yang ramai untuk menyaingi kekuatan jentera tiga gabungan parti terbesar — Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) semasa kempen PRU15.

Mereka memilih bertanding atas tiket Bebas kerana pelbagai sebab kecewa nama digugurkan oleh parti asal; tidak berpuas hati dengan pemilihan calon dan sekadar mahu meraikan proses demokrasi serta memeriahkan kempen PRU15.

Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr Jeniri Amir menjelaskan, secara amnya calon Bebas hanyalah penyebab undi berpecah serta kehadiran mereka tidak memberi impak besar kepada pengundi.

Rekod pada pilihan raya negeri (PRN) dan pilihan raya kecil (PRK) lalu juga menunjukkan calon Bebas bukan sekadar kalah, malah majoritinya hilang wang pertaruhan kerana gagal mendapat undi minimum ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Hanya calon Bebas yang terdiri daripada nama besar dan berpengaruh serta dikenali ramai pengundi mempunyai peluang menang.

"Biarpun bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Zahidi Zainul Abidin menjadi antara nama besar bertanding atas tiket Bebas, namun aura, pengaruh dan kekuatannya belum cukup kuat untuk menang di kerusi Parlimen Padang Besar dan DUN Titi Tinggi.

"Majoriti pengundi menyokong calon bukan kerana faktor individu semata-mata tetapi berlandaskan parti diwakili mereka sama ada BN, PN atau PH,” kata Jeniri ketika kepada Sinar Premium.

Bahkan kata Jeniri, Zahidi sendiri bukanlah satu nama yang terlalu besar sehingga boleh menggegarkan arena politik sehingga menyebabkan BN boleh tewas di Perlis, pada PRU kali ini.

"Jika nama besar dan individu berpengaruh seperti mantan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim, memilih untuk bertanding atas tiket Bebas, mungkin beliau boleh menang kerusi Parlimen Arau. Bagaimanapun, sekarang Shahidan memilih bertanding atas tiket PN,” katanya.

Jeniri berkata, rakyat juga tidak mahu membazir masa dan undi dengan memilih calon Bebas yang disifatkan tidak mampu memberi impak besar kepada pembangunan sosioekonomi penduduk selepas PRU15 nanti.

Tegasnya, ramai pengundi mempunyai kesedaran mengenai kepentingan memilih calon yang mewakili gabungan parti mampu membentuk kerajaan yang kukuh.

Janji mereka

Bagaimanapun seorang calon Bebas bagi Parlimen Tanjung Malim mempunyai pandangan berbeza.

Noor Izzat Johari atau lebih dikenali sebagai Cikgu Izzat Johari yakin mampu memberikan impak besar dan menjadi pilihan pengundi Parlimen Tanjung Malim biarpun bertanding atas tiket Bebas.

Izzat Johari

Noor Izzat juga percaya dirinya berkemampuan untuk membawa perubahan besar kepada kehidupan dan pembangunan sosioekonomi penduduk setempat jika dipilih sebagai Ahli Parlimen Tanjung Malim, pada 19 November ini.

Kongsi Noor Izzat, dirinya terpanggil untuk bertanding di Parlimen itu kerana berpandangan kawasan tersebut wajar diwakili oleh orang Melayu selaku penduduk majoriti di sana.

Beliau berkata, antara masalah utama dihadapi penduduk di Tanjung Malim sekarang ialah kekurangan kemudahan asas, kerosakan jalan raya, pengangguran dan kekurangan peluang pekerjaan dalam kalangan anak muda.

Berikutan itu, Noor Izzat akan membentangkan manifestonya bagi membawa suara masyarakat Tanjung Malim ke Dewan Rakyat sekiranya dipilih sebagai Ahli Parlimen nanti.

"Peluang untuk saya menang kerusi Parlimen Tanjung Malim memang ada tetapi masih rendah.

"ika penduduk dan pengundi Tanjung Malim mahukan wakil rakyat mereka adalah anak muda yang mampu mengubah landskap politik dan fizikal Parlimen, sayalah orangnya.

"Kelebihan saya adalah seorang aktivis masyarakat dan calon Bebas sebenar.

"Saya memiliki sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Kebajikan Amal Sejagat Malaysia yang mempunyai pusat aduan sendiri untuk menerima dan menyelesaikan ratusan aduan rakyat mengenai pelbagai masalah dihadapi mereka termasuk isu penipuan scammer dan ceti haram,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca