BRASILIA - Bagai mati hidup semula. Begitulah perjalanan karier politik Luiz Inacio Lula da Silva yang kembali dipilih sebagai Presiden Brazil. Lula, 77, pernah dilarang bertanding dalam Pilihan Raya Presiden pada 2018 kerana dipenjara... Klik di sini untuk terus membaca

BRASILIA - Bagai mati hidup semula. Begitulah perjalanan karier politik Luiz Inacio Lula da Silva yang kembali dipilih sebagai Presiden Brazil.

Lula, 77, pernah dilarang bertanding dalam Pilihan Raya Presiden pada 2018 kerana dipenjara akibat tuduhan rasuah yang dikaitkan dengan syarikat minyak negara, Petrobras.

Beliau menghabiskan masa 19 bulan di sebalik tirai besi dan menganggap hukuman itu bertujuan membunuh karier politiknya.

"Mereka cuba menanam saya hidup-hidup tetapi saya masih di sini,” kata Lula ketika memulakan ucapan kemenangannya pada awal bulan ini.

Pemimpin berhaluan kiri itu yang pernah berkhidmat dua penggal antara Januari 2003 dan Disember 2010 menewaskan penyandangnya dari sayap kanan, Jair Bolsonaro.

RANJAU KEHIDUPAN

Lahir pada 27 Oktober 1945, Lula merupakan anak kepada pasangan petani miskin di sebuah bandar kecil di timur laut negeri Pernambuco.

Maka, tidak hairanlah Lula melalui banyak rintangan dalam kehidupannya.

Ketika berusia 7 tahun, keluarganya terpaksa menempuh perjalanan ratusan kilometer di belakang trak terbuka untuk bergabung dengan bapanya yang terlebih dahulu merantau di kota metropolitan dan hub ekonomi, Sao Paulo.

Perjalanan pada 1952 itu memakan masa selama 13 hari.

Sebagai anak ketujuh daripada lapan beradik, Lula hanya sempat bersekolah untuk beberapa tahun kerana perlu bekerja bagi membantu ekonomi keluarga.

Beliau hanya mampu membaca pada usia 10 tahun dan pekerjaan pertamanya adalah sebagai penggilap kasut serta penjaja kaki lima.

Pekerjaan itu dilakukannya pada usia 12 tahun!

Pada usia 14 tahun, Lula bekerja di sebuah gudang. Dua tahun selepas itu, beliau kehilangan jari kelengkeng dalam insiden kemalangan di tempat kerja.

Namun, Lula terpaksa berdepan karenah birokrasi ketika mahu mendapatkan rawatan kerana statusnya sebagai pekerja biasa.

Insiden itu mendorongnya terlibat secara aktif dalam kesatuan sekerja bagi membela hak pekerja.

Lula disambut ratusan penyokongnya selepas dibebaskan dari penjara pada 2019.

REFORMIS

Lula muncul sebagai tokoh perjuangan kelas pekerja Brazil semasa gelombang mogok pekerja pada tahun 1978 dan 1979 yang memainkan peranan penting dalam menamatkan pemerintahan kediktatoran tentera di Brazil pada tahun 1980-an.

Bersama dengan sekumpulan golongan intelek dan aktivis kesatuan yang progresif, Lula menubuhkan Parti Pekerja (Partido dos Trabalhadores, PT) pada tahun 1980.

Beliau juga membantu dalam penubuhan Pusat Pekerja Bersatu (Central Única dos Trabalhadores, CUT), sebuah gabungan kesatuan sekerja yang utama di Brazil.

Sepanjang penglibatan dalam politik, Lula telah mengubahsuai idea politiknya yang agak radikal pada awalnya kepada posisi yang lebih moderat.

Kerajaan pimpinan Lula telah mengamalkan dasar reformis yang merangkumi pembaharuan dalam skim persaraan, cukai progresif, perlindungan buruh, penambahbaikan pendidikan universiti dan sebagainya.

Dasar yang dibawa oleh Lula adalah jauh kurang radikal berbanding dasar pembaharuan yang dibawa oleh mendiang Hugo Chavez di Venezuela.

Kehidupan untuk rakyat bawahan di Brazil telah diperbaiki secara signifikan semasa pentadbirannya dengan pembangunan ekonomi yang pesat dan pelaksanaan beberapa program sosial.

Lebih 20 juta orang membebaskan diri daripada keadaan kemiskinan tegar hasil daripada dasar pentadbiran Lula selama lapan tahun.

Bagaimanapun, Parti Pekerja yang dinaunginya kemudian dicemari kemelesetan teruk dan skandal rasuah yang memecahkan rekod hingga beliau dipenjarakan 19 bulan atas sabitan rasuah, namun dibatalkan oleh Mahkamah Agung.

IKRAR LULA

Sejurus diumumkan sebagai pemenang Pilihan Raya Presiden 2022, Lula berikrar untuk mentadbir dan menyatupadukan Brazil termasuk memerangi kemiskinan.

Lula turut menyifatkan perjuangan menentang kelaparan sebagai ‘komitmennya yang paling mendesak’ selepas Brazil kembali tersenarai dalam Hunger Map Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selepas lapan tahun, dengan 33 juta rakyatnya berdepan kelaparan.

Beliau turut berjanji untuk mengurangkan penebangan hutan di Amazon sebanyak 80 peratus dan ‘memperjuangkan penebangan hutan sifar’.

"Kita akan cari jalan keluar supaya negara ini dapat hidup secara demokrasi dan harmoni semula,” kata Lula di hadapan ribuan penyokongnya di Rio de Janeiro baru-baru ini. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca