SIDANG Kemuncak ASEAN 2022 akan diadakan pada 10 hingga 13 November di Phnom Penh, Kemboja. Ia merupakan badan pembuat keputusan tertinggi di ASEAN terdiri daripada ketua-ketua kerajaan negara ASEAN.
Amalan biasa, mesyuarat diadakan dua kali setahun pada satu masa yang akan ditentukan Pengerusi Sidang Kemuncak ASEAN menerusi rundingan dengan negara anggota ASEAN lain.
Negara yang memegang jawatan Pengerusi ASEAN bertanggungjawab menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN. Pada tahun ini, Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen selaku Pengerusi ASEAN akan menjadi tuan rumah.
Salah satu isu utama yang pasti mendapat perhatian ketika mesyuarat berkenaan ialah masa depan Myanmar dalam ASEAN. Pada 1 Februari 2021, Myanmar telah dilanda krisis apabila tentera Myanmar atau Tatmadaw telah merampas kuasa daripada pemerintah sivil.
Mereka menahan Aung San Suu Kyi serta pemimpin-pemimpin National League for Democracy (NLD) yang memperoleh kemenangan besar ketika pilihan raya umum pada November 2020.
Keadaan di Myanmar menjadi kebimbangan para pemimpin ASEAN. Justeru, para pemimpin ASEAN termasuk pemimpin tentera Myanmar, Jeneral Min Aung Hiang telah berjumpa pada April 2021 di Jakarta, Indonesia dan mereka bersetuju dengan Konsensus Lima Perkara.
Namun, setelah lebih 19 bulan, keadaan politik dan kes pelanggaran hak asasi manusia di Myanmar semakin membimbangkan. Angka kematian akibat tindakan keras tentera semakin meningkat. Malah, pada Oktober 2022, pemimpin sivil seperti Suu Kyi dikenakan hukuman penjara selama 26 tahun atas dakwaan rasuah dan penipuan.
Krisis di Myanmar bukan lagi masalah dalaman kerana impaknya seperti pelarian turut dirasai negara-negara jiran seperti Thailand, Bangladesh, Indonesia dan Malaysia. Perlu ditegaskan, masalah di Myanmar bukan sekadar disebabkan rampasan kuasa tentera tetapi layanan terhadap etnik minoriti seperti Rohingya, Karen, Kachin serta konflik etnik yang masih berterusan.
Para pemimpin kerajaan Aung Hiang dan Menteri Luar, Wunna Maung Lwin tidak diundang ke Sidang Kemuncak ASEAN sejak tahun lalu. Amalan sama dijangka akan diteruskan pada tahun ini. ASEAN hanya mengundang perwakilan ‘bukan politik’ daripada Myanmar.
Selain pemimpin-pemimpin negara anggota ASEAN, pemimpin dunia seperti Joe Biden dan Xi Jinping dijangka menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN nanti. Ini merupakan suatu ujian sejauh mana ASEAN mampu menangani krisis di Myanmar. Apa yang pasti, Myanmar masih terus menjadi anggota ASEAN dan tiada usaha untuk membuang keahliannya.
ASEAN perlu menerima hakikat bahawa pihak yang berkuasa di Myanmar adalah kerajaan tentera dan keputusan penting hanya dibuat atas persetujuan tentera. Suka atau tidak, ASEAN perlu meneruskan dialog dengan kerajaan tentera.
Selain itu, masyarakat Myanmar khasnya pasukan tenteranya mempunyai sifat ketabahan dan ketahanan luar biasa kerana mereka sudah biasa dipinggirkan masyarakat antarabangsa sejak tahun 1988 apabila berlaku rampasan kuasa ketika itu.
Oleh itu, tindakan untuk meminggirkan kerajaan Myanmar masih belum ada kepastian akan berjaya.
Dialog antara ASEAN dengan kerajaan Myanmar tidak harus hanya terletak pada perutusan khas atau special envoy tetapi termasuk badan-badan sivil dan organisasi bukan kerajaan daripada negara anggota. Melalui kaedah ini diharapkan mampu mengurangkan ketegangan antara ASEAN dengan kerajaan tentera Myanmar.
Tidak dinafikan timbul kebuntuan dalam Konsensus Lima Perkara tetapi ASEAN tidak harus berputus asa, sebaliknya memperkukuhkan usaha bantuan kemanusiaan khasnya dalam bidang kesihatan dan perubatan untuk membantu menyelamatkan lebih nyawa akibat krisis politik dan Covid-19.
Ini dapat memperkukuhkan keyakinan antara ASEAN dan kerajaan tentera serta membuka pintu untuk berdialog.
* Dr Roy Anthony Rogers ialah Profesor Madya di Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya
Klik di sini untuk terus membaca