SHAH ALAM - Pengundi baharu bipartisan mungkin berdepan dengan dilema dalam membuat pilihan calon idaman terutamanya di kawasan yang menyaksikan pertandingan banyak penjuru.
Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Kartini Aboo Talib berpandangan, golongan itu mungkin akan membuat beberapa pertimbangan sebelum mengundi antaranya melihat kepada gabungan parti, rekod prestasi, kredibiliti calon dan manifesto mesra rakyat.
Bagaimanapun katanya, bagi pengundi daripada kumpulan partisan, mereka tidak berdepan kesukaran kerana sudah membuat pilihan parti yang disukai.
"Kita harus akui bahawa bagi pengundi baharu, mereka masih lagi membuat pertimbangan terhadap calon yang akan dipilih.
"Bagaimanapun, bagi pengundi di kawasan sengit dan berlakunya banyak penjuru, mereka tentunya akan membuat pertimbangan sebelum memilih wakil rakyat.
"Antara perkiraan mungkin dibuat adalah gabungan permuafakatan yang ada itu merangkumi parti apa. Dari situ, mereka akan melihat kecenderungan dan keupayaan parti itu sendiri,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Selain itu menurutnya, pengundi juga akan melihat rekod prestasi calon dan parti yang bertanding.
"Tentunya jika calon itu mempunyai rekod perkhidmatan cemerlang, ia menjadi faktor penarik yang boleh diambil kira,” katanya.
Tambah Kartini, faktor aura dan kredibiliti calon juga mungkin boleh menjadi bonus tambahan untuk mendapat undi daripada pengundi baharu.
Selain itu katanya, manifesto mesra rakyat juga boleh menjadi tarikan sekali gus menunjukkan parti memahami masalah yang dihadapi dan bersedia menyelesaikannya.
"Saya melihat manifesto yang membantu bakul ekonomi rakyat dalam isu harian seperti kos sara hidup, mengatasi masalah harga barang, memberi bantuan ekonomi dan tunai akan dapat menarik pengundi,” katanya.
Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) merekodkan seramai 945 calon disahkan layak bertanding untuk merebut 222 kerusi Parlimen di seluruh negara dan merupakan jumlah yang teramai dalam sejarah pilihan raya negara.
Selain itu, berlaku banyak pertembungan melebihi empat penjuru dan tidak ketinggalan, 10 calon bertanding di Parlimen Batu.
Klik di sini untuk terus membaca