SHAH ALAM - Penamaan calon Pilihan Raya umum ke-15 (PRU15) yang berlangsung pada Sabtu memberikan wajah demokrasi baharu di negara ini.
Menurut Penganalisis Politik dari Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub, ini kerana terdapat banyak kerusi yang menyaksikan pertembungan beberapa penjuru termasuk calon bebas.
"Sebanyak 99 peratus kerusi yang dipertandingkan dalam pilihan raya ini berlaku pertembungan lebih daripada tiga penjuru.
"Saya lihat ini adalah satu kesuburan demokrasi kerana selain itu, terdapat ramai calon yang dipertaruhkan daripada pelbagai parti adalah wajah-wajah baharu,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Jelas beliau, fenomena ini sedikit sebanyak membuat rakyat menjadi ‘rambang mata’ dalam membuat penentuan pada PRU15.
"Dalam konteks ini ada calon yang bertanding atas tiket parti dan bebas, tapi saya nasihatkan supaya pengundi lebih meneliti mereka yang datang daripada parti-parti politik kerana kebiasaannya mereka mempunyai visi yang jelas,” ujar Tawfik.
Beliau turut menyatakan pencalonan nama-nama besar yang mencalonkan diri atas tiket bebas sebenarnya tetap berdepan saingan sengit dengan calon parti asalnya seperti Datuk Zahidi Zainul Abidin di Padang Besar.
"Saya tidak rasa dia akan menang dengan mudah.
"Kalau kita lihat dalam sejarah, antara individu besar yang menang atas tiket bebas dulu adalah seperti Tan Sri Shahrir Samad, tapi jumlah itu sangat sedikit kalau hendak dibandingkan dengan kemenangan berdasarkan parti,” jelasnya.
Selain Zahidi, terdapat individu lain yang tidak dicalonkan partinya dan memilih untuk bertanding atas tiket parti lawan, Perikatan Nasional (PN) iaitu Datuk Seri Shahidan Kassim (Parlimen Arau) dan Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib (Parlimen Maran).
Sementara itu, Tawfik ketika mengulas tentang pencalonan Shahidan atas tiket PN menyatakan bahawa langkah tersebut tepat memandangkan gabungan berkenaan mempunyai ramai penyokong di sekitar Kedah dan Perlis kerana nilai konservatif yang dimiliki.
Tambah beliau, mana-mana parti yang tidak mempunyai nilai tersebut agak sukar untuk diterima pengundi di negeri terbabit.
"Kalau dilihat sebelum ini, tindakan Pakatan Harapan (PH) meletakkan calon DAP di Parlimen Jerai, Kedah pun mendapat bantahan daripada pimpinan Parti Amanah Negara (Amanah).
"Ini menunjukkan yang mereka sebenarnya tahu walaupun DAP cuba untuk menjadi lebih terbuka dan menghantar calon berbangsa Melayu di situ, penduduk di sana masih sukar untuk menerimanya,” tambah beliau.
Jelasnya, berdasarkan pemerhatian, masyarakat di Perlis amat mengenali Shahidan dan beliau pun sangat menjaga kebajikan mereka sehingga boleh dikatakan Shahidan itu ibarat Perlis dan Perlis itu ibarat Shahidan sendiri.
Klik di sini untuk terus membaca