SHAH ALAM - Pemimpin parti-parti utama mengakui tidak ada kerusi yang boleh dimenangi dengan mudah oleh sesebuah parti dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini.
Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Ulya Aqamah Husamudin berkata, tidak ada kerusi yang senang untuk dimenangi ekoran pertandingan akan membabitkan banyak penjuru.
"Untuk PRU15 kali ini, dari segi saingan saya lihat tak ada kerusi yang betul-betul mudah untuk dimenangi oleh mana-mana parti sekalipun.
"Sebab itu Pejuang sendiri akan bergerak dengan lebih agresif dan bekerja keras untuk memenangi hati pengundi dalam PRU15 yang berbeza berbanding PRU14 dan kerana menjadi ibu segala pilihan raya,” kata calon Parlimen Kuala Kedah itu kepada Sinar Harian.
Sebelum ini, bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar PRU15 adalah ibu segala pilihan raya kerana banyak gabungan parti politik baharu yang akan mengambil bahagian.
Malah, katanya PRU15 adalah berbeza berbanding PRU sebelum ini dengan pertambahan ketara pemilih seramai 5.8 juta, termasuk 1.2 juta adalah terdiri daripada anak muda berusia 18 hingga 20 tahun.
Sementara itu, calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin turut mengakui tiada ada parti yang mempunyai kerusi selamat.
"Kalau dulu, ada istilah kerusi putih, kelabu dan hitam yang menggambarkan potensi kerusi itu untuk dimenangi sesebuah parti. Kalau putih maknanya ia kerusi selamat.
"Tapi kali ini kerana ada pengundi undi 18 dan undi automatik yang menambah jumlah pengundi kira-kira 25 peratus, keputusan pengundian tidak dapat dijangka,” ujarnya.
Bekas Pengarah Strategi PKR itu berkata, keputusan tidak dapat diramal walaupun di sesetengah kawasan tradisi dimenangi sesebuah parti seperti di Damansara yang menjadi kubu kuat Pakatan Harapan (PH) dan di Gerik (kubu kuat BN).
Jelasnya, semua parti dan calon perlu bekerja keras untuk memikat hati pengundi mereka.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar pula berkata, berdasarkan perkembangan politik semasa, PH perli memberi keyakinan kepada pengundi untuk menyokong gabungan parti itu.
"Meskipun kalau kita yakin menang di kerusi tertentu tapi perlu beri keyakinan kepada rakyat agar mereka dapat buat pilihan yang bijak.
"Jadi sememangnya parti perlu bekerja bersungguh-sungguh supaya dapat menang sesebuah kerusi yang dipertandingkan,” jelas beliau.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Arman Azha Abu Hanifah menegaskan parti itu konsisten bekerja keras bagi memastikan BN kembali menerajui negara selepas PRU15.
Bagaimanapun, katanya, UMNO mempunyai kelebihan tersendiri walaupun pertarungan di setiap kerusi akan melibatkan banyak penjuru.
Menurutnya, undi terhadap BN tidak berpecah sebaliknya berlaku perpecahan terhadap Pakatan Harapan dan gabungan parti serpihan iaitu Perikatan Nasional (PN) dan GTA.
"Di kerusi Parlimen Tambun, Perak, orang bercerita Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berlawan sengit dengan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu atau Peja tapi kita kena ingat Peja menang di situ atas tiket PH.
"Jadi undi PH di Tambun akan berpecah sedangkan undi kepada BN akan kekal dan mungkin ada penambahan. Jadi kita tak risau dengan saingan banyak penjuru. Lagi banyak penjuru, lagi kita suka,” jelas beliau.
Klik di sini untuk terus membaca