SHAH ALAM - Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bakal menyaksikan trend baharu apabila calon bertanding tidak lagi bergantung semata-mata terhadap manifesto yang dibuat di peringkat nasional untuk menarik minat pengundi. Pensyarah Kanan Politik... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bakal menyaksikan trend baharu apabila calon bertanding tidak lagi bergantung semata-mata terhadap manifesto yang dibuat di peringkat nasional untuk menarik minat pengundi.

Pensyarah Kanan Politik dan Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, calon kini dilihat turut mula menawarkan pelbagai janji khususnya bagi menyelesaikan isu dihadapi pengundi setempat.

Katanya, kewujudan persaingan banyak penjuru di setiap kerusi Parlimen juga bakal menyebabkan calon perlu lebih kreatif dalam menyediakan tawaran menarik terutamanya di kawasan bandar yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, sosial dan kelas pendapatan.

"Misalnya untuk di bandar, selain manifesto di peringkat nasional, calon boleh juga menawarkan penyelesaian antaranya dalam hal membabitkan pencemaran alam sekitar, penindasan atau isu berkaitan masyarakat terpinggir seperti kumpulan orang kurang upaya (OKU).

"Tawaran ini boleh diberikan selain daripada isu biasa kita dengar seperti masalah longkang, jalan dan pembangunan jalan tidak terurus,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Tambah Mohd Azizuddin, tawaran menarik khususnya yang memfokuskan kepada isu setempat lazimnya tertumpu di kawasan atau negeri tertentu.

Sebagai contoh, beliau berkata, kempen tawaran calon di Sabah dan Sarawak dilihat sememangnya memberikan keutamaan terhadap isu tempatan antaranya membabitkan pembangunan kawasan dan termasuk pengurusan tanah adat.

"Kalau di luar bandar pula, tawaran yang akan diberikan perhatian adalah mengenai penyelesaian perjanjian peneroka Felda dan isu kualiti hidup kumpulan seperti penoreh getah dan pesawah,” ujarnya.

Mohd Azizuddin menjelaskan, tawaran penyelesaian isu setempat dilihat agak kurang mendapat perhatian dalam persaingan di peringkat Parlimen berbanding Dewan Undang Negeri (DUN).

Katanya, ini kerana sesuatu isu yang agak khusus dan bersifat setempat itu dilihat agak sukar untuk menarik minat pengundi di kawasan tersebut secara keseluruhannya.

Klik di sini untuk terus membaca