SHAH ALAM - Transparency International Malaysia (TI-M) dan Persatuan Pemeriksaan Penipuan Bertauliah Malaysia (ACFE) menggesa semua calon yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) supaya mengisytiharkan harta masing-masing kepada... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Transparency International Malaysia (TI-M) dan Persatuan Pemeriksaan Penipuan Bertauliah Malaysia (ACFE) menggesa semua calon yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) supaya mengisytiharkan harta masing-masing kepada umum.

Ia bagi mengelakkan calon terpalit tohmahan dan tuduhan palsu sekiranya menang dan dilantik sebagai wakil rakyat kelak.

Desakan itu juga penting bagi mewujudkan PRU15 lebih berintegriti serta tidak berlaku penyelewengan dalam pentadbiran.

Presiden TI-M, Dr Muhammad Mohan berkata, pengisytiharan harta sebelum hari mengundi pada 19 November ini akan membuktikan calon-calon benar-benar ikhlas, telus dan tidak menyembunyikan apa-apa daripada rakyat.

Beliau berkata, tiada guna kalau beberapa calon sahaja yang mengisytiharkan harta tetapi yang lain enggan berbuat demikian dengan alasan tidak diwajibkan.

"Rakyat tidak berminat mendengar calon-calon termasuk menteri bahawa mereka telah mengisytiharkan harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Rakyat yang akan memberi mandat kepada calon-calon, bukan SPRM.

"Rakyat harus menolak pemimpin-pemimpin yang tidak sanggup mengisytiharkan harta mereka," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Sementara itu, Presiden ACFE, Datuk Seri Akhbar Satar berkata, calon-calon sepatutnya tidak takut untuk mengisytiharkan harta sekiranya tidak melakukan apa-apa kesalahan.

Ujarnya, pengisytiharan harta itu juga bagi meningkatkan kepercayaan orang ramai.

"Pengisytiharan harta tidak membawa sebarang bahaya seperti didakwa pihak tertentu memandangkan senarai 10 orang terkaya di Malaysia yang nama mereka disiarkan setiap tahun di media juga tidak mengalami sebarang masalah kecuali jika mereka ‘ada udang di sebalik batu’.

"Ahli politik perlu berani mengakui memiliki harta yang banyak dan kemudian kekayaan itu seharusnya dimanfaatkan untuk membantu mensejahterakan rakyat yang memilihnya sebagai perwakilan,” ujarnya.

Klik di sini untuk terus membaca