PERTEMBUNGAN dua bala tentera di medan pertempuran adalah satu lumrah dalam konflik atau perang konvensional, mahupun gerila. Peperangan-peperangan utama seperti Perang Dunia Pertama dan Kedua telah mengakibatkan kematian serta kemusnahan... Klik di sini untuk terus membaca

PERTEMBUNGAN dua bala tentera di medan pertempuran adalah satu lumrah dalam konflik atau perang konvensional, mahupun gerila.

Peperangan-peperangan utama seperti Perang Dunia Pertama dan Kedua telah mengakibatkan kematian serta kemusnahan yang dahsyat.

Tidak semua yang berlaku pasca perang bersifat negatif. Perang Dunia umpamanya, telah menyebabkan terhasilnya Konvensyen Geneva yang menghasilkan piawaian undang-undang antarabangsa mengenai layanan kemanusiaan semasa peperangan.

Mungkin ramai tertanya-tanya sekiranya telah wujud ‘undang-undang’ antarabangsa berkaitan konflik bersenjata, kenapa masih berlaku pembunuhan dan kekejaman terhadap pihak awam serta kemusnahan infra struktur yang tiada kaitan dengan kelengkapan ketenteraan.

Perang antara Ukraine dan Rusia hari ini telah memberi satu gambaran dahsyat bagaimana perang moden tidak lagi mempunyai ‘sempadan’ kawasan konflik yang dianggap sebagai kawasan pertembungan fizikal dua bala tentera.

Dengan kewujudan aset dan kelengkapan perang berteknologi tinggi, dibantu oleh sistem satelit serta dron, peluru berpandu balistik dan artileri menggunakan sistem kedudukan sejagat atau GPS, pihak yang bertelagah mampu menghancurkan apa juga yang mahu dijadikan sasaran di mana-mana lokasi di dalam kawasan dikuasai musuh.

Hari ini sebahagian besar infrastruktur tenaga bagi pembekalan elektrik awam di bandar-bandar utama Ukraine telah musnah. 80 peratus bekalan air di bandar Kyiv, ibu negara Ukraine yang mempunyai sekitar tiga juta penduduk telah terputus, manakala 40 peratus rumah tidak lagi mempunyai bekalan elektrik akibat serangan Rusia.

Umpamanya, penambahan kepada perjanjian tersebut yang dikenali sebagai Protokol I dan Protokol II yang dibuat pada 1977 tidak ditolak oleh beberapa negara.

Protokol I adalah berkaitan penggunaan sistem teknologi terkini dalam peperangan antara negara selepas Perang Dunia Kedua, manakala Protokol II adalah untuk memberikan perlindungan lebih baik kepada mangsa konflik antarabangsa.

Pada 2013, satu perjanjian yang dikenali sebagai Arms Trade Treaty (ATT) atau Perjanjian Penjualan Senjata turut diperkenalkan bagi tujuan menghalang serta melumpuhkan penjualan, penyebaran dan penyeludupan senjata perang konvensional dengan memperkenalkan satu sistem piawaian global berkaitan perkara tersebut.

Amerika Syarikat (AS) dan negara-negara Eropah Barat misalnya, walaupun telah menandatangani Protokol II, namun tidak mengesahkannya sebagai satu dokumen yang akan mengikat mereka kepada mana-mana prosedur undang-undang antarabangsa.

Pihak Rusia juga pada 2019 telah membatalkan pengesahan mereka untuk menerima penambahan pada protokol tambahan yang persetujui pada tahun 1989.

Negara kuasa besar seperti AS dan Rusia telah menandatangani Konvensyen Geneva, namun ia dibuat hanya berdasarkan kemahuan untuk dipertontonkan sebagai kuasa yang amat prihatin kepada suara negara-negara lain serta menyokong keamanan dunia.

Antara artikel-artikel dalam Protokol Konvensyen Geneva yang bakal mengikat tangan kuasa dunia seperti AS dan Rusia, lebih-lebih lagi sekiranya mereka mengesahkan Protokol I dan II adalah Artikel 51, 52, 3 serta 32.

Artikel 51 menyatakan bahawa pihak awam dan fasiliti awam mestilah tidak diserang, manakala Artikel 52 menyatakan objek awam yang tidak mempunyai kepentingan ketenteraan mestilah tidak diserang.

Artikel 3 pula menyatakan bahawa pihak awam yang tidak terlibat secara aktif dengan kegiatan ketenteraan mestilah dilayan secara berperikemanusiaan.

Artikel 32 berkaitan perlindungan kepada masyarakat awam ketika peperangan dan melarang sebarang tindakan yang akan menyebabkan mereka merana secara fizikal atau berhadapan kematian.

Konflik yang berpanjangan di Ukraine dengan jelas membuktikan bagaimana kesemua artikel yang disebutkan oleh Konvensyen Geneva tidak membawa sebarang makna kepada konflik proksi antara AS dan sekutu Eropah Baratnya yang berdepan dengan Rusia.

* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah wartawan terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007.

Klik di sini untuk terus membaca