PEMANASAN global adalah fenomena pemerangkapan gas dikenali sebagai gas rumah hijau melibatkan kumpulan gas merangkumi karbon dioksida (CO2), karbon monoksida (CO), kloroflorokarbon (CFC), metana CH4) dan nitrogen oksida (N20) yang menghalang serta memerangkap haba bumi daripada terbebas keluar ke angkasa.
Pemanasan global membawa perubahan atau gangguan terhadap kitaran iklim, habitat dan ekosistem yang menyaksikan keadaan cuaca tidak menentu, dengan kawasan tidak pernah dilanda banjir mengalami banjir besar serta masalah kemarau panjang.
Laporan Panel Perubahan Iklim Antara Kerajaan (IPCC) mendapati 98 peratus penyebab kenaikan suhu bumi berpunca daripada pembebasan gas CO2.
Gas tersebut direkodkan mencecah paras 400 ppm, satu paras yang tidak pernah berlaku dalam sejarah bumi sejak hampir sejuta tahun lalu.
Keadaan itu menjadikan sistem iklim bumi berada dalam keadaan tidak seimbang iaitu menerima lebih haba daripada matahari berbanding haba yang keluar daripada sistem berkenaan. Kesannya, suhu purata global telah meningkat sebanyak 0.75 darjah Celsius dalam masa 100 tahun (1906-2005).
Kenaikan suhu dunia disebabkan terutamanya oleh kegiatan manusia, khususnya perindustrian dan pengangkutan yang menggunakan bahan api fosil sebagai sumber tenaga membebaskan gas rumah hijau.
Menurut inventori awam hidrokarbon, pembakaran simpanan bahan api fosil di bumi akan membebaskan 3.5 trilion tan gas rumah hijau (C02) atau tujuh kali ganda lebih tinggi berbanding had yang ditetapkan untuk mengekalkan pemanasan global pada takat 1.5 darjah Celsius.
Bajet karbon merujuk kepada jumlah pencemaran C02 yang boleh dibebaskan ke atmosfera sebelum matlamat suhu 1.5 darjah Celsius seperti dipersetujui di bawah Perjanjian Paris dicabuli.
Simpanan arang batu Amerika Syarikat menyamai pengeluaran 520 juta tan gas C02, manakala China, Rusia dan Australia pula mempunyai simpanan arang batu mencukupi untuk mencabuli matlamat takat suhu 1.5 darjah Celsius.
Malah, sesetengah negara merancang untuk membakar lebih daripada dua kali ganda jumlah bahan api fosil menjelang 2030.
Lantaran itu, tekad membendung kesan perubahan iklim disifatkan sekadar ‘janji kosong’ jika pelaburan terhadap minyak, gas dan arang batu masih giat dilakukan, dengan industri bahan api fosil masih menerima subsidi menjangkau nilai trilion dolar.
Justeru, adalah tidak menghairankan jika dunia mencatat pemanasan paling tinggi sejak tujuh tahun lalu, yang menuntut ikrar mengurangkan pelepasan karbon tujuh kali ganda lebih tinggi sebelum 2030 seperti disepakati dalam Perjanjian Iklim Paris 2015.
Bagaimanapun, Persatuan Meteorologi Dunia menyatakan dunia sedang menuju ‘arah yang salah’ dalam menangani perubahan iklim.
Hal itu kerana kepekatan gas rumah hijau terus meningkat ke paras tinggi dan kadar pelepasan bahan api fosil kembali ke tahap sebelum pandemik selepas menunjukkan penurunan semasa penutupan akibat Covid-19.
Apatah lagi, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres menyatakan bahawa laporan United in Science tahun ini menunjukkan kesan iklim menuju kemusnahan, namun setiap tahun kita terus menggandakan keperluan terhadap bahan api fosil meskipun sedar kesan buruk bakal ditinggalkan.
Ternyata zaman fosil tidak akan tamat selagi wujudnya minyak dan gas asli. Isu itu hanya dapat diselesaikan jika semua kerajaan mengambil keputusan untuk melakukan tindakan sewajarnya dalam mengehadkan pelepasan gas rumah hijau.
Pendidikan dan kesedaran awam khususnya melalui penyebaran maklumat berkaitan di media sosial juga perlu dipertingkatkan. Ia bagi memastikan mereka sedar dan peka terhadap punca serta kesan pemanasan global dan impaknya terhadap kesejahteraan manusia sejagat.
* Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Belia Dalam Kepimpinan, Politik dan Kewarganegaraan Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia.
Klik di sini untuk terus membaca