ADAKAH bilangan penduduk seramai lapan bilion manusia yang dijangkakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan dapat dicapai pada 15 November ini adalah sebenarnya terlalu ramai untuk mendiami planet bumi? Apabila jumlah itu akan... Klik di sini untuk terus membaca

ADAKAH bilangan penduduk seramai lapan bilion manusia yang dijangkakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan dapat dicapai pada 15 November ini adalah sebenarnya terlalu ramai untuk mendiami planet bumi?

Apabila jumlah itu akan dicapai pada pertengahan bulan ini, ramai pakar yang menyatakan bahawa masalah lebih besar yang dihadapi oleh dunia ialah penggunaan sumber berlebihan oleh penduduk kaya di planet ini.

"Lapan bilion orang, ia merupakan peristiwa penting bagi umat manusia," kata Pengarah Eksekutif Tabung Penduduk PBB (UNFPA), Dr Natalia Kanem dengan memuji peningkatan dalam jangka hayat manusia dan bilangan ibu serta anak yang meninggal dunia dalam jumlah kecil.

Bagaimanapun, katanya, beliau sedar bahawa detik-detik itu mungkin tidak diraikan oleh semua orang dengan ada yang menyatakan kebimbangan mereka bahawa dunia ini mempunyai terlalu ramai penduduk namun sebenarnya ramainya manusia bukanlah menjadi sebab-sebab untuk ditakuti.

Jadi, adakah terdapat terlalu ramai manusia yang perlu 'ditanggung' oleh bumi?

Ramai pakar menyatakan bahawa soalan yang dikemukakan itu adalah salah kerana daripada ketakutan terhadap lebihan penduduk, tumpuan perlu diberikan kepada penggunaan sumber berlebihan yang digunakan oleh orang-orang paling kaya.

"Terlalu ramai untuk siapa, terlalu ramai untuk apa?," kata Joel Cohen iaitu Ketua Makmal Penduduk Universiti Rockefeller, Amerika Syarikat (AS) kepada AFP.

Pilihan manusia menyebabkan mereka menggunakan lebih banyak sumber biologi seperti hutan dan tanah daripada yang boleh dijana semula oleh planet ini pada setiap tahun manakala penggunaan berlebihan bahan api fosil, sebagai contohnya pula membawa kepada lebih banyak pelepasan gas karbon dioksida ke bumi.

Cohen menegaskan bahawa walaupun pada masa ini dunia menghasilkan makanan yang mencukupi untuk lapan bilion orang tetapi masih terdapat 800 juta orang mendapat makanan yang kurang mengandungi zat secara kronik.

Laporan iklim PBB terkini menyebut bahawa pertumbuhan penduduk sebagai salah satu pemacu utama peningkatan gas rumah hijau namun ia masih memainkan peranan yang lebih kecil berbanding dengan pertumbuhan ekonomi.

Jennifer Sciubba iaitu seorang penyelidik dan pakar demografi di Wilson Center, sebuah badan pemikir berkata, tingkah laku manusia memberi kesan terhadap bumi berbanding dengan bilangan manusia yang terdapat di planet ini.

KEROSAKAN

Menurutnya, pendingin hawa, kolam di luar rumah dan daging yang dimakan pada waktu malam menyebabkan lebih banyak kerosakan dialami pada bumi.

Pertubuhan alam sekitar iaitu Greenpeace mengemukan ulasannya dengan menyatakan bahawa industri daging mengakibatkan penebangan hutan besar-besaran dengan pembersihan hutan di Brazil dengan cara membakarnya untuk dijadikan sebagai ladang ternakan.

Menurut satu kajian, sebanyak lima bumi diperlukan jika gaya hidup penduduk Amerika Syarikat (AS) yang banyak menyebabkan pencemaran alam sekitar diamalkan oleh semua manusia yang terdapat di bumi kerana pada tahun 2018, jejak ekologikal untuk AS ialah 8.1 hektar bagi setiap orang di negara itu.

Bilangan penduduk di AS pada tahun ini dianggarkan hampir 400 juta orang.

Robin Maynard iaitu Pengarah Eksekutif Population Matters iaitu sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkata, perlu ada penurunan dalam jumlah penduduk tetapi ia perlu melalui cara yang positif, sukarela, menghormati hak dan bukan contoh menyedihkan seperti pelaksanaan kawalan penduduk.

Sebuah lagi NGO dikenali sebagai Project Drawdown menyenaraikan pendidikan dan perancangan keluarga sebagai antara penyelesaian terbaik untuk menghentikan pemanasan global yang kini menjadi isu besar ketika ini.

Bilangan penduduk yang lebih kecil dengan tahap penggunaan yang mampan akan mengurangkan permintaan terhadap tenaga, pengangkutan, bahan, makanan dan sistem semula jadi.

Vanessa Perez dari Institut Sumber Dunia pula bersetuju bahawa setiap orang yang dilahirkan di bumi memberi tekanan tambahan pada planet ini.

PBB menganggarkan bahawa bumi akan didiami serami 9.7 bilion orang manakala China akan mempunyai populasi seramai 1.4 bilion penduduk yang pada akhirnya akan mula merosot dan jatuh kepada 1.3 bilion menjelang tahun 2050.

Menjelang akhir abad ini, penduduk China boleh menurun kepada hanya 800 juta manakala jumlah populasi di India dijangka melepasi jirannya itu pada tahun 2023 dengan meningkat kepada 1.7 bilion orang menjelang tahun 2050. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca