WASHINGTON - 'Ayuh keluar mengundi.' Pesanan penting itu diberikan bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menerusi mesej sama yang disampaikan pendahulunya daripada Parti Demokrat, Barack Obama dan penggantinya, Joe... Klik di sini untuk terus membaca

WASHINGTON - 'Ayuh keluar mengundi.'

Pesanan penting itu diberikan bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menerusi mesej sama yang disampaikan pendahulunya daripada Parti Demokrat, Barack Obama dan penggantinya, Joe Biden ketika berkempen di Pennsylvania pada Sabtu.

Trump dan dua musuh politiknya menerusi ucapan masing-masing menggesa penduduk negeri itu supaya menunaikan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Pertengahan Penggal 2022 berlangsung pada Selasa yang akan menentukan kawalan Kongres, badan perundangan negeri dan pejabat gabenor.

Obama dan Biden menyifatkan pemilihan itu sebagai perjuangan untuk demokrasi manakala Trump mendakwa keselamatan negara tersebut berada di ambang bahaya sebagai cubaan untuk menarik sokongan kepada Parti Republikan (GOP).

Pilihan Raya Pertengahan Penggal sering dilihat sebagai referendum kepada Presiden yang sedang memegang tampuk pentadbiran yang menyaksikan sokongan ke atas Biden hanya berada pada tahap 40 peratus.

GOP melihat situasi itu berpotensi menggugat kedudukan Biden di tengah-tengah kebimbangan rakyat Amerika yang semakin meningkat terhadap isu imigresen, akses pengguguran, masalah inflasi, dan keganasan senjata api.

Pemilihan tersebut dilihat bakal memberi impak besar terhadap hala tuju negara itu dan nasib serta 'kuasa parti' di Rumah Putih walaupun Biden tidak bertanding.

Tetapi, menerusi proses tersebut, pengundi dapat menyatakan pandangan mereka secara tidak langsung terhadap kepimpinan beliau selain berpotensi mempengaruhi kempen Pilihan Raya Presiden 2024 yang mungkin menyaksikan Trump kembali bertanding.

Di Pennsylvania, margin tipis telah memisahkan calon Demokrat, John Fetterman, 53 dan doktor selebriti, Mehmet Oz, 62, yang mewakili GOP.

Kemunculan dua bekas Presiden dan Biden pada akhir minggu lalu untuk memancing undi jelas menunjukkan betapa pentingnya negeri itu yang kembali menjadi rebutan setelah Trump pernah menang pada 2016.

Bagaimanapun, Biden berjaya merampas semula Pennsylvania pada 2020 dengan margin kurang daripada dua peratus susulan sentimen menentang pragmatisme dan politik liberal di pusat bandar.

Negeri berpopulasi 12.96 juta penduduk itu merupakan salah satu daripada swing state (senario politik negeri sering berubah) yang bakal menentukan keseimbangan kuasa yang akan mengawal Kongres pada dua tahun terakhir penggal pertama pentadbiran Biden.

Kaji selidik terbaharu menunjukkan sembilan daripada 10 rakyat Amerika khuatir dengan keganasan bermotifkan politik setelah jumlah ancaman diterima anggota Kongres dilaporkan meningkat 10 kali ganda berbanding lima tahun lalu.

Keputusan tinjauan itu diperoleh tidak lama selepas insiden serangan ke atas suami Speaker Dewan Perwakilan, Nancy Pelosi yang jelas menunjukkan perkhidmatan keselamatan gagal melindungi kediaman beliau yang memegang jawatan No.3 tertinggi di AS.

Selain itu, kaji selidik yang dilakukan juga mendapati lebih 60 peratus rakyat Amerika menzahirkan rasa bimbang jika maklumat salah mempengaruhi keputusan pengundi pada Pilihan Raya Pertengahan Penggal tersebut setelah Demokrat diramalkan tewas kepada Republikan.

Kira-kira 75 peratus responden berpendapat maklumat palsu tentang pemilihan itu adalah satu masalah di media sosial.

Majoriti responden turut menyarankan syarikat media sosial bertindak tegas untuk mengehadkan perkongsian maklumat yang salah bagi mengelakkan kekeliruan terhadap orang ramai.

Sementara itu, keputusan tinjauan oleh Rasmussen Reports mendapati kebanyakan pengundi percaya berita palsu adalah satu masalah serius dan mereka tidak mempercayai pandangan politik yang dipaparkan media.

Kebimbangan berlaku penipuan undi kembali menghantui Pilihan Raya Pertengahan Penggal yang akan membuktikan ketelusan sistem pemilihan AS setelah isu yang pernah dibangkitkan Trump mencetuskan insiden pencerobohan ganas di Capitol pada Januari 2021 hingga mencalarkan demokrasi negara itu. - Agensi

Info:

>Kesemua 435 kerusi di Dewan Perwakilan dipertandingkan manakala 35 kerusi di Senat dan 36 jawatan gabenor jadi rebutan.

>Kira-kira 38.8 juta penduduk Amerika telah mengundi awal termasuk melalui undi pos.

>Pengumuman keputusan akhir dijangka mengambil masa selama beberapa minggu kerana persaingan dijangka sengit untuk pemilihan Senat di Pennsylvania, Arizona dan Georgia.

>Pennsylvania menjadi tumpuan Parti Demokrat dan Republikan kerana sokongan pengundinya yang sering berubah-ubah pada empat Pilihan Raya Presiden sebelum ini.

>Sejak beberapa minggu lalu, Demokrat tidak lagi mendahului keputusan beberapa persaingan Senat termasuk di Georgia dan Nevada.

>Peralihan momentum seluruh negara menyaksikan sokongan kini lebih berpihak kepada Republikan. GOP dilihat berpeluang besar meraih majoriti di Dewan Perwakilan.

Klik di sini untuk terus membaca