PILIHAN Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah pilihan raya yang disertai parti-parti politik pelbagai gabungan. Barisan Nasional (BN) dianggotai UMNO, MIC, MCA dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) serta lapan parti lain.
Perikatan Nasional (PN) pula dianggotai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas, Gerakan dan dua parti dari Sabah iaitu Parti Progresif Sabah (SAPP) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).
Pakatan Harapan (PH) terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP, Parti Amanah Negara (Amanah), Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu UPKO dari Sabah. Rakan strategik PH pula ialah Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Sementara itu, grup terbaharu, Gabungan Tanah Air GTA) pula dianggotai Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) .
PN dan GTA adalah pemain baharu dalam PRU kali ini. Ia komponen parti-parti serpihan yang dianggotai pemain-pemain lama. Tetapi, terdapat personaliti yang menganggotai parti itu adalah mereka yang berpindah parti.
Empat buah parti gabungan dengan pemimpin-pemimpin yang berpindah bersilang-seli parti, cukup memeningkan. Dahulu, tokoh yang memusuhi parti lawan, kini menganggotai parti dimusuhi itu. Ditambah pula dengan calon-calon yang tidak segan membiarkan keahliannya gugur kerana bertanding di bawah parti lain.
Ramuan pelbagai ini cukup menarik andainya kita melihatnya dari sudut dinamika demokrasi. Setelah 14 PRU dan setelah 65 tahun merdeka, demokrasi kita membuktikan Malaysia Boleh! Malah, terlebih boleh.
Cuma dari minda generasi pertama Malaysia, mereka yang lahir tahun 1957 hingga 1987 iaitu 30 tahun untuk satu generasi, ia cukup caca marba.
Generasi pertama yang lazimnya mengundi berdasarkan parti dan bukannya calon mula bingung kerana parti-parti yang mereka sokong mempunyai masalah dalaman yang menjejaskan kepercayaan mereka. Parti-parti yang tidak mereka sokong pula ada dianggotai pemimpin-pemimpin asal parti mereka.
Oleh kerana begitu ramai yang berpindah parti, pengundi turut terbuka fikiran untuk melihat parti yang mereka musuhi dahulu sebagai sebuah parti yang ‘okey.’ Pemikiran mereka sudah larut. Ini melonggarkan kesetiaan.
Kalau para pemimpin parti mereka selama ini boleh bertikam lidah secara terbuka boleh beralih arah, mereka juga tidak akan berasa bersalah jika tidak menyokong parti mereka, malah mula berani beralih selera.
Generasi kedua yang lahir tahun 1987 hingga 2017 kenal dengan tiga Perdana Menteri. Mereka ingat pada Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak. Namun, ketiga-tiga mereka ini semakin tenggelam dari radar politik.
Dr Mahathir ‘versi 1.0,’ ‘versi 2.0’ bila menjadi Perdana Menteri sekali lagi dan terkini ‘versi 3.0’ kelihatan semakin lemau. Abdullah pula sudah lama di pinggir pentas utama kepimpinan negara.
Najib yang memperoleh sokongan generasi kedua dengan frasa popular ‘Bossku’ sudah tiada di depan mata mereka. Imej-imej pemimpin besar kini tiada di kotak memori mereka.
Jadi, siapakah yang menjadi pilihan generasi kedua? Ada yang kata PRU13 adalah PRU Facebook, PRU14 adalah PRU Whatsapp dan PRU15 pula adalah PRU TikTok. Maknanya TikTok mudah menawan hati generasi kedua termasuk lebih 1.2 juta pengundi buat kali pertama.
Pada 19 November ini, PRU15 berlangsung. Pada asasnya negara kita masih stabil kerana kesemua PRU berjalan menurut jadual. Sejak PRU pertama sehingga ke-11, parti Perikatan yang kemudiannya menjadi BN telah menguasai Parlimen.
Namun, neraca timbangan dacing BN mula menyenget pada PRU12 (2008). Pada PRU itu, BN memperoleh 140 kerusi berbanding Pakatan Rakyat (PR) dengan 82 kerusi. Pada PRU13 jumlah kerusi BN merosot lagi iaitu 133 kerusi berbanding 89 kerusi bagi pembangkang.
Pada PRU lalu, BN hanya mendapat 79 kerusi berbanding PH dengan 104 kerusi. Rakyat Malaysia semakin matang. Mereka ambil masa yang lama untuk mengubah selera.
Namun, jika tidak kerana Langkah Sheraton yang sentiasa membarakan api politik, pola pengundian akan terus condong pada PH.
Tetapi dengan adanya empat gabungan parti komponen, calon-calon yang berpindah parti, mana-mana parti boleh menguasai. Penganalisis politik kian sukar membuat ramalan kumpulan mana yang bakal jadi juara.
Yang menang jadi arang, yang kalah jadi abu. Dan, situasi 'hung parliament' selepas PRU kian jelas terbayang.
* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca