SHAH ALAM - Penganalisis politik, Dr Mohamed Tawfik Yaakub berpandangan kempen secara fizikal dilihat masih tidak mendapat sambutan dan kurang ‘meriah’ dalam tempoh tiga hari berkempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Beliau berkata, bahang kemeriahan pilihan raya masih belum begitu dirasai kerana masih terlalu awal namun suasana itu akan mula ‘hangat’ apabila sudah menghampiri minggu terakhir kempen.
"Selain itu kempen secara fizikal tidak mendapat sambutan atas faktor kes Covid-19, selain rakyat yang sudah bosan dengan isu perbalahan politik dalam kalangan ahli politik yang tiada pengakhiran merupakan punca utama mereka menjauhkan diri untuk mengikuti aktiviti ceramah dan kempen.
"Jika kita lihat PRU14 lalu, ramai yang hadir untuk mendengar ceramah dan penerangan daripada parti-parti politik itu sendiri tetapi keadaan berbeza pada pilihan raya kali ini di mana kempen secara fizikal masih suram dan tidak mendapat sambutan.
"Saya melihat tiada usaha dan semangat yang tinggi dalam kalangan calon dari mana-mana parti buat masa ini kerana mereka berkemungkinan masih tidak menggerakkan kempen itu sepenuhnya tetapi mereka akan lebih bersemangat pada penghujung kempen menjelang PRU15,” katanya kepada Sinar Harian.
Menyentuh mengenai kempen dalam talian, Mohamed Tawfik berkata, parti-parti politik di negara ini memilih kaedah baharu menerusi media sosial seperti Facebook, Twitter dan Tiktok untuk menyebarkan maklumat kepada pengundi terutama golongan muda.
"Kaedah tersebut lebih menjimatkan tenaga, kos dan jentera diperlukan memandangkan tempoh berkempen adalah lama iaitu selama dua minggu.
"Ditambah pula anak-anak muda atau golongan berusia di kawasan bandar cenderung memilih mendapat maklumat menerusi media sosial. Ini memudahkan mereka mendapat segala info berkaitan manifesto dan apa yang ditawarkan oleh setiap parti yang bertanding pada PRU15 menerusi kempen secara dalam talian,” ujarnya.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan berbeza pula di kawasan pedalaman dan luar bandar, masyarakat lebih cenderung terhadap pendekatan kempen secara bersemuka.
"Ini kerana lebih ramai warga emas dan golongan yang bekerja dan tinggal di kampung kurang memberi fokus pada media sosial maka kempen secara bersemuka perlu untuk memudahkan golongan itu mendapat maklumat yang disampaikan,” jelasnya.
Justeru, Mohamed Tawfik memaklumkan dalam konteks hari ini kedua platform itu perlu diguna pakai oleh mana-mana parti politik yang bertanding pada pilihan raya.
"Sekiranya salah satu platform itu ditinggalkan, saya khuatir ini akan beri impak penyampaian maklumat kempen kepada pengundi secara berkesan terutama keterbatasan demografi yang ada di Malaysia,” kata beliau.
Klik di sini untuk terus membaca