SHARM EL-SHEIKH - Bumi sedang menyaksikan kenaikan paras laut, pencairan glasier, hujan lebat berterusan dan gelombang haba ekstrem berlaku semakin cepat. Keadaan membimbangkan itu didedahkan menerusi laporan tahunan iklim global yang... Klik di sini untuk terus membaca

SHARM EL-SHEIKH - Bumi sedang menyaksikan kenaikan paras laut, pencairan glasier, hujan lebat berterusan dan gelombang haba ekstrem berlaku semakin cepat.

Keadaan membimbangkan itu didedahkan menerusi laporan tahunan iklim global yang memperincikan peningkatan dramatik dalam kadar pemanasan global yang dibentangkan ketika Sidang Kemuncak Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP27) di Sharm el-Sheikh, Mesir yang bermula pada akhir minggu lalu.

Susulan itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres memberi amaran bumi sedang menghantar 'isyarat kecemasan'.

"Laporan itu jelas memaparkan rentetan kekacauan iklim. Suhu global akan menjadi semakin panas berbanding sebelum 2015 jika keadaan yang direkodkan sejak lapan tahun lalu berterusan," ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO), Petteri Taalas berkata, kesemua petunjuk iklim adalah negatif.

"Kita telah memecahkan rekod kepekatan gas rumah hijau, paras karbon dioksida, gas metana dan nitrus oksida. Kita sudah boleh melihat impak perubahan iklim di seluruh dunia sebagai wake up call.

"Semakin kerap berlaku pemanasan, semakin teruk kesannya kepada bumi, Persidangan ini boleh menjadi platform untuk membahaskan situasi tersebut," jelasnya.

Delegasi mewakili hampir 200 negara itu juga bersetuju untuk membincangkan tentang isu pampasan yang diberikan negara kaya kepada negara miskin yang terkesan akibat fenomena perubahan iklim.

"Ia adalah pertama kali agenda ini akan dicadangkan sebagai usaha menangani jurang sedia ada dan bertindak balas terhadap kerugian dan kemusnahan akibat perubahan iklim," ujar Presiden COP27, Sameh Shoukry.

Pencairan glasier telah mencapai rekod tertinggi pada 2022 dengan purata kehilangan antara tiga dan lebih empat meter lembaran ais.

Difahamkan, negara miskin tidak bertanggungjawab sepenuhnya terhadap aktiviti yang menyebabkan fenomena pemanasan global dan perubahan iklim sebaliknya ia adalah yang paling terdedah dan terkesan.

Pada COP26 di Glasgow pada tahun lalu, negara berpendapatan tinggi bertindak menyekat cadangan tentang penubuhan badan pembiayaan kerugian dan kerosakan.

Agenda tersebut akan kembali dibincangkan di COP27 yang berlangsung sehingga 18 November ini, namun tidak akan melibatkan liabiliti atau pampasan terikat dan dijangka dapat dimuktamadkan selewat-lewatnya pada 2024.

"Ia adalah sebagai simbol solidariti dengan mangsa bencana iklim," katanya lagi.

Ketika ini, isu utama yang akan diberi tumpuan ialah untuk memastikan suhu global tidak melebihi penanda aras 1.5 darjah celsius iaitu satu matlamat yang dianggap sebagai sasaran mustahil oleh segelintir saintis iklim. - Agensi

Info

>Bumi telah memanas lebih 1.1 darjah celsius sejak akhir abad ke-19 dengan kira-kira separuh daripada peningkatan berlaku dalam tempoh tiga dekad lalu.

>Tahun 2022 berada di landasan menjadi tahun kelima atau keenam paling panas pernah direkodkan walaupun fenomena La Nina berlaku pada 2020.

>Permukaan lautan yang menyerap lebih 90 peratus haba terkumpul daripada pelepasan karbon aktiviti manusia mencapai suhu tertinggi pada 2021. Pemanasan berlaku lebih cepat sejak 20 tahun lalu.

>Gelombang haba marin juga semakin meningkat yang memberi kesan besar kepada terumbu karang dan 500 juta penduduk yang bergantung sumber makanan dan mata pencarian.

>Pada 2022, 55 peratus permukaan lautan mengalami sekurang-kurangnya sekali gelombang haba marin secara keseluruhan.

>Kadar kenaikan paras laut meningkat dua kali ganda sejak tiga dekad lalu akibat pencairan lembaran ais dan glasier. Mengancam puluhan juta penduduk di kawasan berdataran rendah.

>Pelepasan gas rumah hijau menyumbang lebih 95 peratus pemanasan global. Peningkatan dalam pelepasan gas metana dikatakan berpunca daripada penggunaan bahan api fosil dan haiwan ternakan seperti lembu.

>Gelombang haba ekstrem selama dua bulan di Asia Selatan pada Mac dan April lalu mencetuskan banjir dahsyat di Pakistan yang menenggelamkan satu pertiga kawasan di negara itu dan meragut 1,700 nyawa.

>Di Afrika Timur, taburan hujan yang berada di bawah purata dalam empat musim hujan berturut-turut (paling lama dalam tempoh 40 tahun) telah memburukkan lagi kemarau pada 2022.

>China berdepan gelombang haba paling lama dan ekstrem serta musim panas kedua paling kering.

>Penurunan paras air menjejaskan aliran trafik komersial di sepanjang Sungai Yangtze di Beijing dan Mississippi di Amerika Syarikat (AS) serta beberapa jalan air di Eropah yang turut berdepan gelombang haba ekstrem.

>Di Pergunungan Alps di Eropah, pencairan glasier telah mencapai rekod tertinggi pada 2022 dengan purata kehilangan antara tiga dan lebih empat meter lembaran ais.

>Sejak 2001, Switzerland telah kehilangan lebih satu pertiga jumlah glasier.

Klik di sini untuk terus membaca