Demikian lirik lagu ‘Kisah Seorang Biduan’ nyanyian Allahyarham Dahlan Zainuddin, salah sebuah lagu yang cukup popular pada penghujung tahun 1970-an dan awal 1980-an.
Lagu itu adalah cerminan kepada kehidupan pada era tersebut, di mana penghijrahan ke bandar-bandar utama di negara ini, khususnya Kuala Lumpur menjadi satu fenomena.
Pada waktu itu ‘menjadi orang Kuala Lumpur’ adalah impian ramai orang terutama anak-anak muda di luar bandar. Masing-masing percaya Kuala Lumpur kota seribu azimat, medan untuk menimba pengalaman dan tapak untuk mengubah kehidupan mereka.
Hampir apa sahaja cita-cita yang hendak dikejar, Kuala Lumpurlah yang menjadi pentas lonjakannya. Lagipun ‘menjadi orang Kuala Lumpur’ ada kelebihannya.
Sesekali balik kampung orang pandang tinggi. Besar perbezaan tanggapan orang kampung terhadap orang yang bekerja di Sungai Besar berbanding dengan yang bekerja di Kuala Lumpur, walaupun kedua-duanya sama-sama bekerja kerani.
Malah kalau gred gaji yang di Sungai Besar itu lebih tinggi pun, pandangan orang terhadapnya tetap macam orang Sungai Besar bukannya macam orang Kuala Lumpur.
Penghijrahan ke kota-kota seperti Kuala Lumpur sesungguhnya adalah kesinambungan terhadap kecenderungan manusia sejak zaman berzaman.
Semenjak zaman antah berantah lagi manusia memang suka mengembara, merantau, berhijrah dan apa juga seumpamanya. Tidak semua didorong oleh keinginan mengejar cita-cita atau mahu mengubah kehidupan.
Ramai juga yang melakukannya kerana ingin meluaskan pandangan, menambah pengetahuan dan melebarkan pengalaman.
Kerana adanya praktik itulah dunia mengenal Ibn Batuta, Marco Polo, Ferdinand Magellan, John Cabot Columbus, Francis Drake dan ramai lagi.
Kerananya kita mengenal benua, pulau dan laut-laut baharu. Kerananya jugalah peta dunia berubah dari sekadar contengan kepada lakaran yang sempurna dan lengkap.
Dan kerananya kita berpeluang mendengar pantun ‘Kajang Pak Malau kajang berlipat...’ Pada masa dahulu mengembara, merantau dan berhijrah merupakan satu-satunya cara untuk mengenal tempat orang. Jika tidak, kita terpaksa bergantung pada cerita orang.
Kalau ada orang beritahu buah durian di Gurun Sahara sama besar dengan tempayan sekalipun, kita mungkin percaya. Tiada cara mudah untuk menyemak kesahihannya.
Kalau hendak memastikan dakwaan itu betul atau tidak, kita terpaksa pergi sendiri, dan ia bukanlah kerja mudah.
Untuk mencari rezeki di tempat orang lagilah susah. Mana mungkin anda tinggal di Beranang tetapi mengharapkan rezeki dari Ohio atau Moscow.
Suka atau tidak anda terpaksa pergi ke sana. Atau setidak-tidaknya menghantar pekerja-pekerja anda. Tidak ada cara yang lebih mudah daripada itu.
Sekarang tidak lagi begitu. Saya mempunyai kawan yang mencari rezeki di New York dan London dengan melakukan kerja-kerja penyuntingan grafik dari rumahnya di Bukit Rahman Putra.
Seumur hidupnya dia tidak pernah menjejakkan kaki ke kedua-dua bandar raya tersohor itu. Bukan itu sahaja, dia juga mempunyai kekasih di Republik Dagestan dan buah hati di Romania, sedangkan katanya "tempat paling jauh saya pernah pergi hanyalah Pasir Mas".
Seorang kawan lain mengaku telah menjelajah ke seluruh dunia tanpa menjejakkan kakinya ke mana-mana lapangan terbang.
Katanya, sejak beberapa tahun dahulu, dia memperuntukkan masanya beberapa jam seminggu untuk mengembara bandar, pekan dan kampung ‘berkenderaankan ‘ komputer riba.
Berbual dengannya boleh menyebabkan anda terpesona kerana dia boleh bercerita dengan agak terperinci tentang kampung-kampung di Albania, lorong-lorong di Milan, petani-petani di Rajasthan atau rumah terapung di Tonle Sap.
Demikianlah mudahnya kehidupan kita sekarang. Rezeki, ilmu pengetahuan dan serba-serbi yang lain – termasuk barang-barang dari Shopee, Lazada, Amazon, Alibaba dan sebagainya – boleh didapati tanpa perlu bergerak jauh. Hendak berhubung dengan saudara-mara, kawan rakan dan sebagainya pun sangat-sangat mudah.
Kemudahan-kemudahan itu secara langsung menjimatkan banyak masa, tenaga dan wang ringgit kita.
Persoalannya, apa jadi dengan semua yang dijimatkan itu? Adakah lebihan masa itu membolehkan kita ‘berlama-lama’ dengan anak isteri? Ke mana tenaga yang dijimatkan itu kita salurkan? Bagaimana pula dengan wang ringgit?
Atau apakah semuanya – masa, tenaga dan wang ringgit – tetap tidak cukup kerana kita terus disogok dengan segala sesuatu yang baharu secara berterusan? Sama macam berbelanja di portal e-daganglah juga, kupon itu, kupon ini, jimat itu jimat ini, tapi kerana asyik ditayang item-item baharu yang mempersonakan, akhirnya kena keluarkan duit juga.
Itu belum termasuk terpaksa keluarkan masa dan tenaga menanti van atau motor penghantar barang...#dush!
* Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi pernah berkhidmat sebagai seorang setiausaha politik dan juga bekas wakil rakyat.