SHAH ALAM - Selain sesi pengenalan atau umum calon, pelancaran manifesto oleh parti-parti politik merupakan antara perkara yang paling ditunggu-tunggu seluruh rakyat setiap kali menjelangnya Pilihan Raya Umum (PRU).
Tidak terkecuali pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), tawaran terbaik pastinya menjadi keutamaan semua parti bertanding dalam usaha untuk memastikan mereka bakal dipilih sebagai kerajaan yang akan mentadbir negara selepas 19 November ini.
Sungguh pun begitu, sejarah manifesto bukan ‘kitab suci’ pastinya perkara yang tidak mahu didengar oleh rakyat selepas sesebuah parti diberi kepercayaan mentadbir negara selepas ini.
Berdasarkan analisis dilakukan Penyelidik Research Malaysia (O2) dan Ilham Centre, ketiga-tiga gabungan parti terbesar iaitu Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional dan Barisan Nasional (BN) didapati menawarkan manifesto yang seimbang.
PN BEST dengar suara rakyat
Tawaran yang dikemukakan Perikatan Nasional (PN) sekiranya mendapat mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dilihat mendengar suara rakyat khususnya dalam isu tekanan kos sara hidup.
Berdasarkan analisis yang dilakukan Ilham Centre dan O2 Research Malaysia (O2) mendapati kebanyakan tawaran yang dikemukakan gabungan itu lebih tertumpu untuk membina ekonomi masa hadapan serta meningkatkan nilai dan taraf hidup rakyat.
Ketua Penyelidik Ilham Centre, Profesor Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata, langkah PN menjadikan elemen tersebut sebagai keutamaan dalam tawaran PRU15 membuktikan gabungan tersebut mendengar kehendak rakyat.
Mohd Yusri berkata, secara umumnya tinjauan Ilham Centre sebelum Parlimen dibubarkan menunjukkan rakyat mengharapkan kerajaan pasca PRU15 nanti memberi perhatian terhadap beberapa isu utama.
"Antaranya menangani isu ekonomi rakyat berkaitan mengawal kos sara hidup, mengawal kenaikan harga barang, meningkatkan peluang ekonomi rakyat serta meningkatkan pendapatan isi rumah.
"Saya rumuskan semua parti-parti secara umumnya dilihat mendengar luahan rakyat dalam pembinaan manifesto pilihan raya mereka.
"Perkembangan ini memang sangat bagus dan sihat sebenarnya kerana rakyat mempunyai pilihan yang lebih banyak untuk memilih parti mana yang diingini mereka mentadbir negara,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Sementara itu, Ketua Penyelidik O2 Research Malaysia (O2), Anis Anwar Suhaimi turut mempunyai pandangan sama mengenai tawaran PN terhadap rakyat.
Jelasnya, tawaran yang diberikan gabungan berkenaan juga dilihat lebih tertumpu kepada usaha untuk ‘membeli undi’ rakyat di kawasan luar bandar.
"Ia jelas melihat tawaran PN pada PRU15 kali ini yang mempunyai kaitan dengan usaha memperkasakan Mahkamah Syariah, mempertahankan agama Islam dalam perlembagaan dan sebagainya.
"Turut diberi fokus oleh PN adalah kumpulan peneroka, petani dan sebagainya. Tidak dilupakan gabungan itu turut menawarkan satu juta peluang pekerjaan berpendapatan tinggi,” jelasnya.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Ahad membentangkan tawaran PRU15 bertemakan ‘Prihatin, Bersih dan Stabil' atau PN BEST.
Membina ekonomi masa hadapan, meningkatkan nilai dan taraf hidup rakyat serta membersihan politik dan tadbir urus merupakan antara 12 tunjang, 30 pendekatan dan 234 tawaran sekiranya mendapat mandat rakyat pada pilihan raya nanti.
Jelas Muhyiddin, tunjang lain yang digariskan adalah mensejahterakan Bumiputera, Orang Asli dan semua kaum, merapatkan jurang pembangunan antara wilayah dan melestarikan alam sekitar dan merancakkan pelancongan.
PADU BN bersifat inklusif
Barisan Nasional (BN) tampil dengan tawaran yang lebih inklusif dengan tidak menyasarkan kepada kumpulan tertentu untuk dibantu apabila berjaya memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November nanti.
Ketua Penyelidik O2 Research Malaysia (O2), Anis Anwar Suhaimi berkata, ia dapat dilihat apabila banyak tawaran yang diberikan gabungan itu di luar jangka antaranya memastikan sekolah kebangsaan mengajar bahasa komunikasi asas etnik yang lain.
Katanya, tawaran itu jelas menunjukkan usaha gabungan itu untuk memastikan semua rakyat tanpa mengira kaum mendapat hak yang sewajarnya.
"Tawaran BN agak menarik sebab tidak tertumpu kepada segmen tertentu tetapi apa yang cuba dilakukan adalah dengan memberi tawaran yang inklusif kepada semua.
"Selain itu, banyak bantuan rentas kaum untuk pastikan Keluarga Malaysia keluar daripada kemiskinan tegar. Maksudnya tawaran yang diberikan berorientasikan masyarakat Malaysia secara umumnya tanpa tertumpu kepada mana-mana kumpulan kaum atau etnik,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Tambahnya, tawaran yang diberikan gabungan yang lebih 60 tahun mentadbir negara itu juga dilihat lebih progresif serta berbeza daripada manifesto yang ditawarkan parti lawan lain.
"Apa yang saya dapat lihat BN tampil dengan pendekatan yang agak progresif yang mana bukan semata-mata untuk mengurangi kos sara hidup semata-mata tetapi turut mencari jalan bagaimana untuk meningkatkan pendapatan rakyat," jelasnya.
Sementara itu, Ketua Penyelidik Ilham Centre, Profesor Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata, secara umumnya BN memasukkan kesemua elemen penting yang menjadi kemahuan rakyat ketika ini.
"Secara umumnya parti-parti seperti BN, Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) memasukkan elemen penting tersebut dalam tawaran manifesto pilihan raya mereka, menunjukkan mereka cakna dengah hasrat rakyat, atau dengan kata lain mereka mendengar manifesto rakyat.
"Sama ada manifesto tersebut realistik atau tidak untuk dilaksanakan, semuanya terpulang kepada pengundi untuk membuat penilaian, tepuk dada tanya selera,” ujarnya.
Pada Isnin, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melancarkan manifesto PRU15 gabungan berkenaan.
Menerusi manifesto itu, kesejahteraan rakyat, pertumbuhan ekonomi yang stabil, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan serta pendidikan adalah antara keutamaan BN.
Tambahnya, manifesto yang dinamakan Perancangan Amal dan Usaha BN (PADU) menggariskan lima fokus utama dan 99 tawaran yang akan dinikmati pelbagai golongan masyarakat terutamanya kumpulan B40 dan M40 selain tidak melupakan golongan T20.
Tawaran Harapan lebih ke depan
Manifesto yang ditawarkan Pakatan Harapan (PH) dilihat lebih ke depan berbanding parti gabungan lain terutamanya dalam aspek transformasi institusi Parlimen dan pentadbiran kerajaan.
Ketua Penyelidik O2 Research Malaysia (O2), Anis Anwar Suhaimi berkata, tawaran itu juga dilihat selari dengan apa yang diperjuangkan gabungan berkenaan sebelum ini.
"Kalau dilihat secara jelas PH, Perikatan Nasional (PN) atau Barisan Nasional (BN) mengemukakan tawaran yang lebih realistik jika dibandingkan ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.
"Cuma apa yang berbeza manifesto kali ini, PH lebih ke depan dalam mengemukakan transformasi institusi sebagai contoh akta penggubalan Parlimen, mengenai perkhidmatan Perdana Menteri dua penggal dan sebagainya,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Sementara itu, Ketua Penyelidik Ilham Centre, Profesor Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata, secara umumnya, ketiga-tiga gabungan parti politik terbesar itu mengemukakan manifesto yang mampu ‘menawan hati rakyat’.
Jelasnya, PH yang sering memperjuangkan urus tadbir dan perangi rasuah juga turut meletakkan asas itu sebagai keutaaman dalam tawaran mereka.
"Tinjauan Ilham Centre sebelum Parlimen dibubarkan menunjukkan rakyat mengharap kerajaan pasca PRU15 nanti memberi perhatian terhadap beberapa isu utama antaranya membentuk urus tadbir yang baik, perangi rasuah dan sebagainya.
"Turut ditawarkan PH adalah meningkatkan integriti pentadbiran yang secara tidak langsung akan mengangkat imej Malaysia di mata dunia sekaligus meningkatkan peluang pelaburan dan merangsang perkembangan ekonomi dalam negara,” jelasnya.
Pada 2 November lalu, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan manifesto gabungan itu dengan menawarkan 10 janji yang menjadi keutamaan sebaik memperoleh mandat daripada rakyat pada PRU15.
Tawaran yang dikenali sebagai ‘Tawaran Harapan’ itu antara lain turut memfokuskan usaha menangani pelbagai keperluan semasa rakyat yang mendesak berkaitan aspek kos sara hidup dan harga barang peluang pekerjaan, ekonomi dan sebagainya.
Klik di sini untuk terus membaca