PERAK boleh diklasifikasikan sebagai sebuah 'swing state' bagi empat penggal Pilihan Raya Umum (PRU) berturut-turut bermula tahun 2008. Hal ini berikutan dua musuh ketat, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) atau kini... Klik di sini untuk terus membaca

PERAK boleh diklasifikasikan sebagai sebuah 'swing state' bagi empat penggal Pilihan Raya Umum (PRU) berturut-turut bermula tahun 2008.

Hal ini berikutan dua musuh ketat, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) atau kini dikenali Pakatan Harapan (PH), bersaing sengit untuk memperoleh majoriti mudah 31 kerusi daripada keseluruhan 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan.

Menariknya, implikasi kemenangan mana-mana koalisi di peringkat DUN Perak pada PRU15 pastinya memberi kesan domino kepada peluang mereka untuk merebut keseluruhan 24 Parlimen di negeri berkenaan.

Hal ini kerana mereka percaya Perak sebenarnya kunci utama bagi mana-mana parti untuk menguasai tampuk pentadbiran Putrajaya, sebagaimana kejayaan PH merampas negeri Johor pada PRU14.

Sebagai contoh, PH mengambil pendekatan strategik meletakkan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di kerusi Parlimen Tambun, sekali gus bersaing dengan penyandangnya yang juga Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu serta Ketua UMNO Bahagian Tambun, Datuk Aminuddin Hanafiah.

Pencalonan Anwar sebenarnya memberi isyarat jelas koalisi itu mahu menjadikan momentum pengaruh Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu sebagai pemangkin untuk kemenangan PH di peringkat DUN dan Parlimen di Perak dengan jumlah kerusi lebih banyak.

Selain Anwar, PH juga mengambil langkah berani mencalonkan bekas Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin untuk mencabar kedudukan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai penyandang kerusi Parlimen Bagan Datuk.

Dikenali sebagai 'penyembelih naga' yang menamatkan karier politik bekas Ketua Menteri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam pada PRU13, peluang Shamsul Iskandar untuk mengulangi magis tersebut terhadap Ahmad Zahid yang terpalit kes mahkamah ketika ini, bagaimanapun dianggap sukar.

Selain Shamsul Iskandar, kerusi 'panas' Bagan Datuk itu turut ditandingi Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na'aman dan anak bekas Timbalan Perdana Menteri, Mohamed Tawfik Tun Dr Ismail (Bebas).

Perak sebenarnya kunci utama bagi mana-mana parti untuk menguasai tampuk pentadbiran Putrajaya, sebagaimana kejayaan PH merampas negeri Johor pada PRU14.

Satu lagi strategi menarik PH di Perak adalah dengan mencalonkan anak kepada bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat iaitu Nik Omar bertanding di kerusi Parlimen Pasir Salak.

Dipinjamkan daripada Parti Amanah Negara (Amanah), kehadiran Nik Omar ke Perak pastinya memberi tekanan kepada calon BN yang juga bekas Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun untuk mengekalkan kerusi disandang bekas Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

BN DIJANGKA KEKAL DI KUBU KUAT

Ahmad Tarmizi yakin PH dan DAP mampu mencipta kejutan di Parlimen Gerik sekali gus menumbangkan Asyraf Wajdi.

PH kali ini turut mengambil pendekatan berani dengan menampilkan calon Melayu DAP untuk bertanding di kerusi majoriti pengundi Melayu lebih 90 peratus seperti di Parlimen Gerik, buat kali pertama dalam sejarah.

Bagaimanapun, peluang Ahmad Tarmizi Mohd Jam (DAP) untuk mencipta kejutan diramalkan amat tipis kerana BN mengemukakan calon heavyweight iaitu Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki untuk mempertahankan kerusi Gerik.

DUA MENTERI AGAMA

Mujahid dan Idris

PRU15 juga menjadi medan persaingan dua bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) iaitu Datuk Idris Ahmad (Pas) dan Datuk Seri Dr Mujahid Yusof (Amanah) untuk memenangi kerusi Parlimen Bagan Serai dan Parit Buntar.

Di Parit Buntar, Mujahid yang menjadi penyandang kerusi itu bagi tiga penggal berturut-turut, dijangka berdepan cabaran sengit Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat, Mohd Misbahul Munir Masduki, AJK UMNO Bahagian Parit Buntar, Imran Mohd Yusof dan Rohijas Md Sharif (Pejuang).

Idris yang tewas bertanding di kerusi Parlimen Bukit Gantang pada PRU14, bakal berdepan saingan Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Siti Aishah Shaik Ismail, AJK UMNO Bahagian Bagan Serai, Zul Helmi Ghazali dan Ahmad Luqman Ahmad Yahaya (Pejuang). Kerusi Parlimen Bagan Serai sebelum ini disandang Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (PN).

Peluang Idris untuk menang diunjurkan masih 50-50, susulan empat tahun lalu Noor Azmi hanya menang majoriti tipis 172 undi untuk mengekalkan kerusi itu atas tiket BN.

Satu lagi kerusi penting Perak yang menjadi perhatian adalah Parlimen Sungai Siput yang menyaksikan tujuh calon termasuk tiga calon Bebas menawarkan diri bertanding di situ.

BN menampilkan calon 'otai' iaitu Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran bagi mencabar penyandangnya, S Kesavan (PKR), manakala calon lain yang bakal mengintai peluang di situ adalah Datuk Seri G Irudianathan (PN), Ahmad Fauzi Mohd Jaafar (Pejuang), R Indiani, Baharuddin Kamarudin dan N Rajah (Bebas).

SENGIT DI TELUK INTAN

Dari kiri; Mohd Hatta, Zambry dan Jamaluddin.

Untuk kerusi Lumut, penyandangnya, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli dijangka sukar mempertahankan kerusi itu susulan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkeyakinan faktor penambahan pengundi baharu sebanyak 30,815 orang akan memihak kepada BN.

Kerusi Parlimen Teluk Intan turut menyaksikan pertembungan menarik empat penjuru di antara penyandangnya yang juga Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming, Naib Presiden MIC, Datuk T Murugiah, Setiausaha Bersatu Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin dan Amir Khusyairi Mohamad Tanusi (Pejuang).

Zainol Fadzi dianggap pencabar sengit Kor Ming susulan populariti beliau sebagai bekas Exco Perak, masih tinggi dalam kalangan rakyat.

Terakhir di kerusi Parlimen Tanjong Malim, bekas Exco Kerajaan Negeri Perak, Datuk Jamaluddin Mohd Radzi membuat kemunculan mengejutkan pada PRU15 apabila bakal mencabar Naib Presiden PKR dan penyandang kerusi itu, Chang Lih Kang sebagai calon Bebas.

Selain Jamaluddin, Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Mah Hang Soon turut mencuba nasib bertanding di kerusi Tanjong Malim setelah berpindah kerusi dari Parlimen Teluk Intan, diikuti seorang lagi bekas Exco kerajaan Negeri daripada Bersatu, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi dan Izzat Johari (Bebas).

Klik di sini untuk terus membaca