PILIHAN Raya Umum ke-15 (PRU15) yang membuka tirai pada 5 November lalu menyaksikan terdapat 36 calon anak muda bertanding di semua Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berusia lingkungan 23 hingga 29 tahun daripada pelbagai parti.
Peggy Chaw Zhi Ting calon Bebas bagi Parlimen Tenom, Sabah dan Muhammad Syahmi Suhaimi, calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambun Tulang, Perlis diangkat sebagai calon termuda, masing-masing berusia 23 tahun.
Berkisar tentang Peggy, anak petani dari Sabah ini tidak gentar untuk berdepan saingan lima penjuru walaupun masih baharu dalam dunia politik.
Ikuti temubual wartawan Sinar Premium, Nurul Nabila Ahmad Halimy bersama Peggy dalam memperjuangkan suara anak muda melalui pentas politik negara.
SINAR PREMIUM: Apa perasaan Peggy menjadi calon wanita termuda yang bertanding pada PRU15?
PEGGY: Sejujurnya, saya agak terkejut apabila mengetahui bahawa saya merupakan calon wanita termuda untuk PRU kali ini. Saya menjangkakan bahawa akan ada parti politik lain yang mencalonkan orang yang lebih muda daripada saya.
Namun, saya terima perkara ini dengan hati yang terbuka kerana usia bukan penghalang seseorang itu untuk berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi.
SINAR PREMIUM: Adakah Peggy bersiap sedia untuk menempuhi pelbagai cabaran sebaik melangkah masuk ke dunia politik?
PEGGY: Menjadi seorang calon pada usia yang muda semestinya merupakan satu cabaran yang besar kerana saya dianggap orang baharu dalam politik.
Biarpun ada yang mengenali saya, mungkin ramai yang belum faham apa yang ingin saya perjuangkan dalam politik. Namun, saya bersiap sedia untuk menyahut cabaran ini dan berjuang sebaik mungkin.
SINAR PREMIUM: Apa yang mendorong Peggy untuk menceburi karier politik dan menjadi wakil rakyat?
PEGGY: Panggilan untuk berkecimpung di dalam dunia politik ini bermula semasa pandemik Covid-19 pada tahun 2020. Ketika itu, saya melihat ramai yang terkesan dan hilang mata pencarian.
Saya juga melihat betapa pentingnya orang yang dapat memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan dalam keadaan terdesak. Oleh itu, saya ingin menjadi orang yang dapat membantu dan membela nasib mereka.
SINAR PREMIUM: Parlimen Tenom akan berdepan persaingan lima penjuru membabitkan calon PH, PEGGY: Noorita Sual, Jamawi Jaafar (BN), Ukim Buandi (Parti Warisan) dan calon Bebas, Riduan Rubin. Oleh itu, mengapakah Peggy memilih untuk bertanding di kawasan ini sebagai calon Bebas?
Saya memang berasal dari Tenom dan bersekolah di sini. Saya juga mengenali masyarakat di kawasan ini jadi Tenom sentiasa menjadi pilihan saya untuk bertanding.
Biarpun bakal berhadapan persaingan sengit lima penjuru dan merupakan orang baharu dalam politik, saya akan cuba yang terbaik untuk melaksanakan tanggungjawab sebaik sahaja dicalonkan.
SINAR PREMIUM: Bagaimanakah tanggapan ibu bapa serta rakan-rakan ketika Peggy berjaya menjadi calon pada usia 23 tahun?
PEGGY: Keluarga dan rakan-rakan memberi sokongan penuh untuk saya terus berjuang dalam pentas politik. Disebabkan itu, saya lebih bersemangat untuk menjalankan tanggungjawab sebagai calon pada PRU15 akan datang.
SINAR PREMIUM: Apakah harapan dan perjuangan Peggy untuk PRU kali ini?
PEGGY: Sebagai anak muda, saya ingin memajukan ekonomi petani. Sebagai seorang yang membesar dalam kalangan petani dan pekebun am, saya amat memahami cabaran yang mereka hadapi. Bapa saya seorang petani yang mempunyai kebun di Kampung Senagang iaitu sempadan di antara Keningau dan Tenom.
Oleh itu, sekiranya saya berjaya di Tenom, saya akan mengubah nasib ekonomi petani-petani di sini.
Profil
Nama: Peggy Chaw Zhi Ting
Umur: 23 tahun
Asal: Tenom, Sabah
Parti: Bebas
Pendidikan: Diploma dalam Fisioterapi, Kolej Cyberjaya Kota Kinabalu, Sabah (nama lama: Kolej Asia Metropolitan)
Klik di sini untuk terus membaca