PILIHAN Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan dua anak muda tampil menjadi calon termuda pada usia 23 tahun. Di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambun Tulang, Perlis, Pakatan Harapan (PH) memberi kepercayaan kepada mahasiswa tahun akhir di... Klik di sini untuk terus membaca

PILIHAN Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan dua anak muda tampil menjadi calon termuda pada usia 23 tahun.

Di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambun Tulang, Perlis, Pakatan Harapan (PH) memberi kepercayaan kepada mahasiswa tahun akhir di Universiti Malaysia Perlis (UMP), Muhammad Syahmi Suhaimi untuk menjadi calon.

Mahasiswa dalam jurusan dalam Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam bakal berdepan persaingan empat penjuru termasuk penyandang kerusi tersebut, Datuk Ismail Kassim daripada BN, Wan Zikri Afthar Ishak (PN) dan Maton Din (Pejuang) untuk memikat hati 13,000 pengundi Tambun Tulang.

Ikuti temubual wartawan Sinar Premium, Nurul Nabila Ahmad Halimy bersama Muhammad Syahmi.

SINAR PREMIUM: Bagaimana perasaan Syahmi apabila mendapat berita bahawa anda merupakan calon termuda pada PRU15?

MUHAMMAD SYAHMI: Perasaan saya bercampur baur sejurus mengetahui bahawa nama saya dicalonkan dan menjadi individu paling muda untuk PRU15. Biarpun berasa teruja dan seronok, ia juga merupakan tanggungjawab yang besar bagi saya.

Bertanding di salah sebuah kubu kuat BN semestinya bukan perkara yang mudah namun saya akan melaksanakan amanah yang diberi oleh parti dengan bersemangat.

SINAR PREMIUM: Apa yang menarik minat Muhammad Syahmi untuk masuk ke dunia politik dan menjadi wakil rakyat?

MUHAMMAD SYAHMI: Daripada kecil, saya dibesarkan dengan latar belakang keluarga yang masuk ke dunia politik. Pakcik saya seorang yang aktif politik dan apabila saya sendiri melihat perjuangannya dalam membela ekonomi dan nasib rakyat, ia menjadi pemangkin untuk saya menjadi lebih maju dalam bidang ini.

Semasa di sekolah, jika guru bertanya apakah cita-cita saya, jawapan yang saya berikan adalah untuk menjadi Perdana Menteri atau seorang ahli politik yang berjaya. Oleh itu, minat berpolitik sudah tertanam di dalam diri sejak kecil.

SINAR PREMIUM: Sebagai seorang mahasiswa, bagaimana Muhammad Syahmi membahagikan masa antara belajar dan menjadi calon bagi PRU15?

MUHAMMAD SYAHMI: Saya bernasib baik apabila jadual semester saya pada tahun akhir banyak di waktu pagi. Pada hari Khamis dan Jumaat, saya hanya mempunyai satu kelas yang perlu dihadiri jadi ini memudahkan saya untuk membahagikan masa di antara belajar dan berpolitik.

Pada pendapat saya, kita boleh lakukan apa jua yang ingin kita lakukan namun perlu bijak mengendali masa.

SINAR PREMIUM: Pada pendapat Muhammad Syahmi, adakah menjadi calon pada usia 23 tahun merupakan suatu cabaran yang besar?

MUHAMMAD SYAHMI: Bukan mudah untuk menarik minat 13,000 pengundi DUN Tambun Tulang supaya mengundi orang yang baharu dalam kawasan itu. Oleh itu, ini merupakan salah satu cabaran yang sangat besar dalam hidup saya sebagai calon muda.

SINAR PREMIUM: Mengapakah Muhammad Syahmi memilih untuk bertanding di DUN Tambun Tulang mewakili tiket Pakatan Harapan pada PRU15? Apakah yang ingin anda perjuangkan?

MUHAMMAD SYAHMI: Saya ingin memperjuangkan DUN Tanjung Tulang untuk menjadi sebuah kawasan yang maju dari segi fasiliti sukan. Ini kerana fasiliti sukan di kawasan ini agak mundur berbanding negeri-negeri lain.

Contohnya, gelanggang badminton dan bola sepak sangat kurang di kawasan tersebut sehingga penduduk perlu merantau ke tempat lain jika mahu beriadah. Malah, semangat anak muda juga kurang kerana tiada fasiliti sukan yang baik untuk mereka sentiasa aktif.

Saya memilih PH kerana saya mempercayai parti itu membawa satu wadah baharu dalam dunia politik yang mana mereka mengangkat suara anak muda di dalam parti dan persada negara kita.

PROFIL

Nama: Muhammad Syahmi Suhaimi

Umur: 23 tahun

Asal: Bayan Lepas, Pulau Pinang

Pendidikan:

2018 - kini - Ijazah Sarjana Muda Kujuruteraan Awam, Universiti Malaysia Perlis

Klik di sini untuk terus membaca