AMMAN - Jordan memberi amaran tegas kepada Israel bahawa hubungan dua hala bersama negara itu akan terjejas jika kerajaan gabungan baharu cuba untuk mengubah status quo Masjid al-Aqsa.
"Sebarang cubaan yang mahu mengancam status quo di Haram al-Sharif (pekarangan al-Aqsa) akan memberi impak kepada hubungan antara Amman dan Tel Aviv,” lapor media tempatan Israel memetik sumber di Jordan.
Difahamkan, sumber tersebut sebenarnya merujuk secara terus kepada Itamar Ben-Gvir yang merupakan pemimpin parti ekstremis haluan kanan, Otzma Yehudit yang disebut bakal menjadi ‘rakan kongsi penting’ dalam kerajaan gabungan tersebut.
Sebelum ini, Ben-Gvir pernah melakukan tindakan provokasi dengan menceroboh masuk ke Haram al-Sharif ketika ketegangan meningkat di Baitulmaqdis.
Parti pimpinannya merupakan penyokong kuat terhadap hak penduduk Yahudi untuk beribadat di pekarangan al-Aqsa walaupun ia jelas melanggar status quo masjid ketiga paling suci orang Islam tersebut.
Netanyahu yang pernah berkhidmat sebagai Perdana Menteri pada tahun 2009 hingga 2021 kembali merampas kepimpinan negara itu setelah kemenangannya pada Pilihan Raya Umum Kelima dalam tempoh kurang empat tahun walaupun berdepan kes rasuah dan disfungsi politik.
Buat pertama kali dalam sejarah, pemimpin Parti Likud itu berdepan cabaran untuk menubuhkan kerajaan ‘paling ekstremis’ bersama sekutu sayap kanan.
Ketika penggal pentadbiran Netanyahu, hubungan bersama Amman dilaporkan berada pada titik terendah.
Pada tahun lalu, Netanyahu dilarang terbang di ruang udara Jordan ketika mahu mengadakan lawatan diplomatik ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebagai tindak balas terhadap pembatalan kunjungan Putera Mahkota Hussein Abdullah ke al-Aqsa.
Wakaf Islam yang merupakan penjaga al-Aqsa berulang kali mengecam tindakan biadab pelampau Yahudi yang sengaja mencemari kesucian Haram al-Sharif.
Kedegilan golongan itu telah mencetuskan pertempuran ganas yang membawa kepada peperangan selama 11 hari di Genting Gaza pada Mei 2021 yang turut meragut 260 nyawa penduduk Palestin termasuk 66 kanak-kanak.
Potensi diboikot
Beberapa sekutu Tel Aviv di luar negara turut menzahirkan kebimbangan terhadap ahli politik sayap kanan yang berpotensi memegang jawatan penting.
Nama Ben-Gvir sekali lagi menjadi sebutan selepas beliau dijangka menjadi menteri kanan kabinet.
Pegawai pentadbiran bekas Presiden Barack Obama berkata, Ben-Gvir berkemungkinan diboikot Rumah Putih.
"Terdapat banyak alasan kukuh untuk pentadbiran Presiden Joe Biden mempertimbangkan langkah sedemikian,” kata David Makovsky dari Washington Institute for Near East Policy yang terlibat rundingan damai Israel-Palestin ketika di bawah tampuk pemerintahan Obama.
Pada 2007, Ben-Gvir pernah didakwa atas kesalahan menghasut rasisme anti-Arab malah beliau sering melakukan tindakan provokasi melampau yang mengundang kemarahan penduduk Palestin.
Ben-Gvir dikatakan berharap Netanyahu akan melantiknya sebagai Menteri Keselamatan Awam yang bakal memberinya kuasa lebih meluas ke atas kawasan pekarangan al-Aqsa.
"Pelantikan Ben-Gvir adalah seperti bermain dengan api. Ia satu keputusan yang sangat berbahaya. Netanyahu perlu fikir masak-masak jika tidak mahu kesilapan sama berulang seperti dalam kerajaan gabungan yang rapuh sebelum ini,” ujar Makovsky.
Ketika pertemuan bersama Netanyahu pada Isnin, Ben-Gvir dilihat cuba meredakan kebimbangan banyak pihak.
"Saya sudah matang dan berhaluan sederhana,” kata pemimpin kontroversi itu yang sememangnya terkenal dalam kalangan pelampau Yahudi.
Danny Danon yang disebut bakal menjadi Speaker Parlimen (Knesset) berpendapat isu Ben-Gvir sengaja diperbesarkan.
"Kami akan mengekalkan hubungan baik dengan pentadbiran Biden kerana Netanyahu yang akan menggalas tanggungjawab itu dan bukannya Ben-Gvir. Kami akan mengutamakan isu lain yang lebih penting termasuk hal domestik dan luar negara,” tegasnya.
Ketika ini, media tempatan melaporkan Menteri Luar UAE juga memberi amaran terhadap penyertaan ahli politik berhaluan kanan dalam kerajaan gabungan Israel.
"Ia bakal menjejaskan hubungan antara kedua-dua negara walaupun Netanyahu berhasrat untuk menjalinkan lebih banyak hubungan diplomatik dengan negara Arab lain,” jelas laporan itu lagi.
Bekas penasihat Netanyahu yang berkhidmat pada 2018-2019, Sara Greenberg turut menyuarakan kebimbangan sama jika kabinet baharu dibarisi puak ekstremis.
"Sebarang langkah yang dianggap melanggar sifat demokrasi dan pluralistik akan memberi kesan besar kepada Israel dengan dunia luar termasuk komuniti Yahudi,” katanya. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca