BERLAINAN dengan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang mempunyai hanya dua gabungan kebangsaan dan hampir pasti terbentuk kerajaan menerusi majoriti mudah, PRU15 pula dikatakan hampir pasti akan membawa Parlimen tergantung. Ini bermaksud... Klik di sini untuk terus membaca

BERLAINAN dengan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang mempunyai hanya dua gabungan kebangsaan dan hampir pasti terbentuk kerajaan menerusi majoriti mudah, PRU15 pula dikatakan hampir pasti akan membawa Parlimen tergantung.

Ini bermaksud kerajaan Persekutuan kebarangkalian besar tidak dapat terbentuk pada 20 November 2022 (Ahad). Proses rundingan antara parti mungkin mengambil masa sampai seminggu, seperti yang berlaku semasa kejatuhan kerajaan PH pada 24 Februari 2020 (Isnin) dan pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai PM pada 1 Mac 2020 (Ahad).

Rakyat tidak perlulah khuatir atau panik tetapi harus memantau dan menggalakkan parti-parti berunding secara serius untuk membentuk kerajaan campuran yang boleh bertahan untuk lima tahun.

Ini adalah peringkat yang perlu untuk sistem politik Malaysia menjadi matang selepas peralihan daripada dominasi satu gabungan dan persaingan dua gabungan. Kita harus bersiap siaga dengan sebarang kemungkinan dan menuntut semua gabungan dan parti untuk bertindak secara bertanggungjawab.

Disebabkan Bajet 2023 tidak dapat diluluskan sebelum PRU15, dan tidak mungkin sempat diluluskan sebelum penghujung tahun, kerajaan dijangka membentangkan semula rang undang-undang (RUU) berkaitan untuk kelulusan supaya ia boleh berbelanja sebelum bajet baharu diluluskan.

Kalau RUU ini ditolak Parlimen, maka ini akan dilihat seperti penolakan RUU Perbekalan (Bajet), yang membawa implikasi bahawa kerajaan telah hilang keyakinan Parlimen dan perlu meletak jawatan atau memohon pembubaran Parlimen, yang sudah pasti tidak akan direstui rakyat.

Untuk mengelakkan kerumitan membentuk kerajaan atau risiko kerajaan jatuh dalam masa sebulan, empat langkah boleh diambil.

Pertama, kerajaan campuran seboleh-bolehnya harus dibentuk dengan menjamin majoriti yang kuat untuk mengelakkan kerajaan kalah undi bajet atau undi kepercayaan.

Jika majoriti kerajaan campuran itu tidak besar, misalnya sekitar 120 kerusi, ada baiknya ia juga menandatangani ‘perjanjian keyakinan dan belanjawan’ (CSA) dengan sesetengah parti pembangkang sebagai ‘insurans tambahan’.

Kedua, perundingan kerajaan campuran jangan sekadar melihat pembahagian jawatan menteri, tetapi mesti turut menentukan isu-isu dasar.

Rakyat akan marah kalau kerajaan campuran pecah dan jatuh pada pertengahan penggal kerana percanggahan dasar. Untuk mengelakkan kerajaan yang tidak tahan lama, maka gabungan-gabungan yang berunding harus merujuk kepada manifesto sendiri untuk mengelakkan ketidakserasian dan konflik pada masa depan.

Ketiga, rakan-rakan kerajaan campuran perlu mengemukakan nama seorang calon PM saja yang berani mengemukakan usul kepercayaan kepada dirinya dalam masa dua minggu selepas pelantikan.

Bagaikan vaksin, undi percaya pengesahan (confirmatory) ini akan mempertingkatkan keabsahan PM baharu dan mencegah percubaan untuk menjatuhkannya.

Pemimpin politik jangan bersikap tidak bertanggungjawab mengemukakan beberapa nama calon PM dengan niat jahat untuk mengheret institusi raja ke medan politik.

Keempat, kerana tidak tentu gabungan mana yang mungkin diperlukan untuk menjadi rakan kongsi dalam kerajaan campuran, ada baiknya semua gabungan mengawal diri dan jangan menyerang pihak lain secara melampau.

Langkah kedua dan keempat memerlukan pemimpin-pemimpin politik bersiap sedia dengan perundingan bersama semua rakan kongsi kerajaan campuran yang mungkin dan berkempen secara bijak sebelum hari pengundian. Mari kita sama-sama bersiap siaga menyambut bab baharu politik tanah air.

Angsa berenang di sisi itik

Helang berterbang di sisi awan

Berbudilah dalam berpolitik

Pesaing boleh juga jadi kawan

* Profesor Wong Chin Huat ialah Timbalan Ketua (Strategi), Pejabat Asia, Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan PBB (SDSN-Asia) di Universiti Sunway.

Klik di sini untuk terus membaca