DIPERDAGANGKAN, dipukul dan dikurung jauh dari keluarganya di China, Lu adalah salah seorang daripada beribu-ribu orang di Kemboja yang terpaksa menjalankan operasi 'scam' atau komplot penipuan dalam talian untuk melapisi poket penculik mereka.
Pandemik Covid-19 telah mengakibatkan pekerja pembinaan itu tidak dapat bekerja dan apabila mendengar boleh memperoleh sebanyak AS$2,000 (RM9,436) sebulan untuk bekerja dalam projek pembinaan di Kemboja, peluang itu tidak dilepaskannya.
Namun, tidak lama kemudian dia menyedari telah ditipu oleh komplot yang menghantarnya ke pusat peranginan tepi laut Sihanoukville itu bersama ratusan yang lain.
Dia mendakwa terpaksa bekerja 12 hingga 16 jam sehari dengan melayari media sosial serta aplikasi janji temu bagi memburu mangsa-mangsa untuk ditipu.
"Sebaik sahaja saya tiba, sudah terlambat untuk melarikan diri. Tetapi, selagi masih hidup, saya akan terus mencuba (melarikan diri)," kata Lu kepada AFP.
Sejumlah orang dari negara-negara di seluruh Asia termasuk Vietnam, Filipina, Thailand, Malaysia, China, Taiwan, Hong Kong, Bangladesh dan India telah diperdaya untuk bekerja di dalam operasi yang melakukan penipuan.
Bagaimanapun, Lu yang berusia 34 tahun itu berjaya melarikan diri walaupun beribu-ribu yang lain dikhuatiri masih terperangkap di dalam operasi haram tersebut tetapi dipukul agak kerap selepas ditangkap kerana cuba melarikan diri.
Yang lain berkata, ahli-ahli geng tersebut menggunakan belantan elektrik atau memaksa pekerja masuk ke dalam bilik terlalu kecil untuk berdiri menyebabkan mereka tidak mendapat air, makanan dan cahaya selama berjam-jam.
Mereka yang diselamatkan oleh polis seperti Lu menghadapi masa depan yang tidak menentu walaupun berjaya mengelak daripada ditahan imigresen, namun katanya kepada AFP, dia tidak mampu untuk kembali kepada isteri dan anaknya yang berusia sembilan tahun di China.
Mangsa-mangsa penipuan lain telah mengambil pendekatan yang lebih dramatik iaitu pada Ogos lalu sejumlah pekerja Vietnam melarikan diri dari kasino di wilayah Kandal, Kemboja dan berenang menyeberangi sungai untuk kembali ke tanah air mereka.
PENYEKSAAN
Pada Ogos lalu, Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai situasi hak-hak asasi manusia di Kemboja, Vitit Muntarbhorn berkata mangsa pemerdagangan manusia merupakan 'neraka hidup' yang sering mengakibatkan penyeksaan dan juga kematian.
Sihanoukville atau juga dikenali sebagai Kampong Som pernah menjadi bandar peranginan yang lengang tetapi ia telah berubah disebabkan oleh kemasukan besar para pelabur dari China mengakibatkan berpuluh-puluh kasino muncul dalam beberapa tahun kebelakangan ini sekali gus menjadikannya hab untuk para penjudi selain menarik kehadiran kumpulan-kumpulan jenayah antarabangsa.
Apabila sekatan perjalanan dilaksanakan semasa pandemik Covid-19, kumpulan-kumpulan jenayah itu mengalihkan tumpuan operasi mereka dengan Jeremy Douglas dari Pejabat Dadah dan Jenayah PBB (UNODC) berkata kumpulan penjenayah memindahkan perniagaan kasino dalam talian dan melakukan penipuan dalam talian dan telefon.
Douglas berkata beribu-ribu dan ada yang menganggarkan mungkin puluhan ribu orang telah terperangkap dalam operasi komplot penipuan itu manakala seorang anggota geng memberitahu AFP dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan bahawa mangsa operasi itu adalah orang seperti dirinya iaitu warga China yang sudah berada di Kemboja.
Kumpulan samseng itu juga mula memperdagangkan orang ke negara ini dan bagi menghalang mangsa-mangsa daripada melarikan diri, bar-bar tingkap logam dan kawat berduri dipasang di lokasi tempat penipuan dalam talian itu.
Anggota kumpulan itu di Sihanoukville memberitahu AFP bahawa dia tidak tahu untuk siapa dia bekerja.
Di Kemboja, ada yang dijual kepada kumpulan lain, kata sumber itu manakala mereka yang mempunyai kemahiran dalam bidang teknologi maklumat (IT) atau bahasa Inggeris yang baik boleh dijual sehingga AS$50,000 (RM235,900) setiap orang.
Di bawah ancaman keganasan yang berterusan, para pekerja itu akan menyiapkan sasaran bagi membolehkan wang 'dicurahkan' ke dalam mata wang kripto atau platform pelaburan lain manakala yang lain terpaksa membina hubungan 'cinta' dalam talian dengan menggunakan helah untuk mendapatkan bantuan untuk membayar hutang.
Tidak ada angka yang boleh dipercayai mengenai jumlah wang diperoleh geng berkenaan hasil daripada penipuan itu, walaupun Douglas berkata jumlah itu mengejutkan tetapi tidak jelas di mana wang itu berakhir walaupun hasil jenayah sering digabungkan bersama keuntungan pertaruhan dalam talian.
PEMBURUAN
Selepas beberapa bulan penafian rasmi dibuat, Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen mengarahkan pemburuan ketua-ketua kumpulan itu menyebabkan pihak berkuasa melancarkan beberapa serbuan berprofil tinggi pada Ogos manakala pada September lalu, pihak polis membebaskan lebih 1,000 warga asing dari tiga lokasi operasi penipuan tersebut di Sihanoukville.
Di satu lokasi operasi penipuan itu, hampir 9,000 telefon bimbit, 800 komputer, gari dan instrumen kejutan elektrik ditemui.
Seorang lelaki warga warga Malaysia berusia 38 tahun bernama Roy berketurunan Cina terbang ke Phnom Penh dan menemui seorang wanita berpakaian pejabat yang membawanya melalui pemeriksaan imigresen dan masuk ke dalam kereta untuk perjalanan selama lima jam ke Sihanoukville.
Di Sihanoukville, dia dibawa ke sebuah kompleks blok apartmen setinggi sedozen atau lebih menempatkan gabungan bilik penginapan dan pejabat serta memberitahu AFP, ia kelihatan seperti pejabat biasa dengan tiga baris meja yang mempunyai monitor termasuk papan kekunci sama seperti kafe siber.
Dia berkata, sebaik sahaja masuk, anda mengetahui tidak akan melakukan kerja-kerja perkhidmatan pelanggan dan seperti pekerja lain, pasportnya telah diambil serta diarahkan untuk menyediakan profil palsu pada aplikasi TikTok, Facebook, Instagram, WhatsApp dan laman temu janji.
Selepas diberitahu dia perlu membeli 'jalan keluar' dengan harga AS$20,000 (RM94,330), dia akhirnya bernasih baik apabila diselamatkan selepas berjaya menghubungi kumpulan mangsa-mangsa pemerdagangan manusia, Pertubuhan Antipemerdagangan Dunia (GASO). - AFP
Klik di sini untuk terus membaca