SHAH ALAM - Menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), rata-rata pengundi mahu kerajaan baharu yang terbentuk selepas 19 November nanti menumpukan usaha mengawal kenaikan harga barang yang semakin membebankan rakyat terutama B40 dan M40.... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), rata-rata pengundi mahu kerajaan baharu yang terbentuk selepas 19 November nanti menumpukan usaha mengawal kenaikan harga barang yang semakin membebankan rakyat terutama B40 dan M40.

Tinjauan Sinar Harian di seluruh negara mendapati harga pelbagai barangan seperti bahan mentah, sayur-sayuran dan barangan runcit terus melambung ketika calon-calon bertanding sibuk berkempen.

Di PERAK, peniaga sayur di Pasar Besar Ipoh, Mohd Saiful Abd Rashid, 36, berkata, kenaikan harga sayur mula dirasai sejak Ahad lalu berikutan keadaan hujan dan pembekal menerima permintaan tinggi.

"Semua harga sayur meningkat dua kali ganda. Salad meningkat daripada RM5 kepada RM8 sekilogram manakala sawi daripada RM2.50 sehingga RM5.20.

"Harga sayur berdaun meningkat ketara. Alasan yang diberikan oleh pembekal di Cameron Highlands kerana mendapat permintaan tinggi dari negeri yang dilanda banjir.

"Kami terpaksa beli dan jual dalam bentuk peket-peket kecil untuk memudahkan pelanggan berbelanja,” katanya.

Di KEDAH, antara barangan yang naik harga ialah ikan kembung sehingga RM15 sekilogram berbanding RM12 pada bulan Oktober lepas.

Begitu juga barangan lain seperti tepung gandum yang naik daripada RM2.20 sekilogram kepada RM3.50 sekilogram bulan lepas. Cili kering pula naik dua kali dalam tempoh dua bulan kepada RM32.90 sekilogram.

Di MELAKA, majoriti rakyat mengeluh kerana terpaksa ikat perut susulan harga barangan asas naik mendadak sama ada di pasar raya, mahupun di kedai runcit di kawasan kampung.

Di KOTA BHARU, peniaga ayam di Pasar Siti Khadijah, Yana Mohd Nawi, 40, berkata, harga ayam tidak menampakkan penurunan walaupun ramai pengguna merungut.

Tambahnya, keadaan itu menyebabkan peniaga berdepan kerugian jika bahagian ayam rosak akibat tidak terjual.

"Jadi saya harap kerajaan baharu nanti boleh membantu turunkan harga barang selepas PRU15,” katanya.

Sementara itu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan mengambil tindakan segera dan memastikan produk makanan dijual pada harga yang berpatutan.

Presidennya, Mohideen Abdul Kadeer berkata, banyak makanan kita adalah diimport terutama sayur-sayuran.

Menurutnya, akibat inflasi harga makanan meningkat di seluruh dunia, maka kerajaan baharu nanti perlu mencari mekanisme terbaik memastikan bekalan makanan mencukupi.

Klik di sini untuk terus membaca