SEMAKIN menghampiri tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November depan, semakin rancak gelombang persepsi dimainkan pelbagai pihak yang menjadi pemerhati dan pengkritik landskap politik negara. Antara menarik perhatian,... Klik di sini untuk terus membaca

SEMAKIN menghampiri tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November depan, semakin rancak gelombang persepsi dimainkan pelbagai pihak yang menjadi pemerhati dan pengkritik landskap politik negara.

Antara menarik perhatian, perkongsian Tokoh Wartawan Negara, Datuk A Kadir Jasin di laman Facebook miliknya baru-baru ini yang mengatakan UMNO bukan lagi parti kebangsaan seperti pada namanya, sebaliknya telah menjadi parti negeri dan daerah atau lebih tepat parti kawasan pilihan raya.

Bertanding di kerusi selamat, tidak mengambil risiko meletakkan orang luar atau berpindah kawasan antara dakwaan menuding UMNO menjadi parti yang semakin bersifat kedaerahan.

Berbeza dengan tahun-tahun awal kemerdekaan di mana UMNO meletakkan calon dari luar kawasan dan menang.

Perkongsian beliau turut mengatakan pemimpin parti DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Pas dan Parti Amanah Negara (Amanah) pula sedia bertanding di luar kawasan atau bertukar kawasan kerana yakin sokongan pengundi dan bagi meluaskan pengaruh parti masing-masing.

LANGKAH BUNUH DIRI

Mengupas pandangan tersebut, adakah benar realitinya UMNO telah menjadi parti negeri atau daerah dan pada masa sama tidak berani bersaing di kawasan yang bukan kerusi selamat?

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomuddin Bakar menjelaskan, tidak berapa tepat untuk membuat kesimpulan UMNO bersifat parti negeri dan daerah tertentu hanya melihat kepada calon yang diperturunkan dan ia dinilai lebih kepada strategi parti masing-masing.

Ulas beliau, sistem demokrasi Malaysia ialah' first past the post' yang membawa maksud, mana-mana calon dari mana-mana parti melepasi majoriti satu undi lebih dari yang lain tampil sebagai pemenang.

"Jadi, perkiraan boleh menang adalah strategi utama. Atas faktor itu, bagi kerusi selamat, meletakkan calon wibawa adalah penting bagi mewakili parti. Kerusi selamat kerana aras sokongan kepada parti adalah tinggi.

"Sementara bagi kerusi berisiko dan tiada peluang menang dengan menghantar calon heavyweight hanya langkah membunuh diri,” katanya lagi.

KERUSI SELAMAT

Tambah Hisomuddin, berikutan kekuatan parti dimiliki UMNO dan BN, mereka tidak kisah untuk mengangkat calon walaupun bukan anak kelahiran asal satu-satu kawasan atau daerah.

Ini kerana tegasnya, pola sokongan kawasan sebegini adalah lebih kepada pengundi memilih parti kerana faktor identifikasi parti melebihi faktor lainnya.

Untuk rekod, kawasan tumpuan UMNO tetap kawasan majoriti Melayu.

Bagi data ILHAM, kawasan majoriti Melayu merujuk kawasan Parlimen yang mempunyai pengundi Melayu, 70 peratus dan ke atas.

"Terdapat 71 kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia dari 165 kerusi dan bagi UMNO, mereka perlu menguasai sebahagian besar kerusi di kawasan ini,” katanya lagi.

Ujarnya, mengikut perkembangan parti terdapat beberapa tokoh UMNO sebelum ini tidak berasal dari daerah atau kawasan ditandingi. Contohnya, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa berada dalam UMNO diletakkan di Pagoh sedangkan beliau berasal dari Muar.

"Begitu juga Pas, mereka juga pernah meletakkan beberapa pimpinan utama di kerusi paling selamat milik mereka. Parlimen Rantau Panjang misalnya pernah disandang oleh Daeng Sanusi Daeng Mariok pada PRU tahun 1990.

"Kerusi Kubang Kerian juga seperti sekarang diperuntukkan kepada Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man. Bukan kerana tiada calon tempatan, tetapi lebih kepada keputusan parti menghantar pimpinan utama mereka ke Parlimen dengan memberikan kerusi paling selamat.

"Begitu juga DAP, bagi kerusi mempunyai komposisi majoriti Cina, maka sebahagian besar pimpinan berani bereksperimen menukar kawasan.

"Lim Kit Siang misalnya mengambil risiko keluar zon selamat ke Pasir Gudang namun berbeza dengan Liew Chin Tong yang gagal di Ayer Hitam,” katanya lagi.

GELOMBANG ISU

Manakala parti koalisi Pakatan Harapan seperti PKR dan Amanah, mereka sedikit berbeza kerana lebih bergantung kepada gelombang isu yang berlaku.

"Kita lihat jika gelombang tinggi seperti 1999 dan 2018 gelombang kleptokrat menolak Najib, mereka mendapat untung. Jumlah kerusi bertambah.

"Pimpinan bertanding kawasan bercampur menang. Letak di mana pun kawasan kerusi bercampur, menang. Bagaimana jika tiada gelombang isu yang kuat?

"Kebanyakan kerusi ini akan berpindah tangan. Lihat kerusi yang saling bertukar tangan seperti Kuala Kedah, Kulim Bandar Baharu, Merbok, Kuala Selangor, Sepang dan beberapa kerusi seumpamanya,” katanya.

Bagi Pengerusi Veteran UMNO Malaysia, Datuk Othman Desa, isu UMNO semakin bertukar menjadi parti negeri dan daerah seperti yang diutarakan wartawan veteran itu hanyalah sekadar pandangan peribadi dan tidak mencerminkan keadaan sebenar.

"Itu sekadar pandangan peribadi beliau, hakikatnya UMNO adalah parti yang sentiasa mengutamakan rakyat dan kita memilih calon yang boleh berkhidmat dan memenuhi keperluan rakyat tanpa mengira kawasan, daerah atau negeri,” katanya.

Malah Othman turut tidak menolak kemungkinan UMNO meletakkan calon luar yang bukan anak tempatan di satu-satu kawasan sekiranya calon itu dianggap mampu memberikan yang terbaik untuk masyarakat di kawasan tersebut.

"Perkhidmatan kepada rakyat, jaga nama parti dan menyumbang kepada kerajaan, itu ciri-ciri diperlukan dalam calon UMNO, tidak kira di mana dia bertanding,” katanya.

Othman juga yakin rakyat sudah pasti dapat menilai bahawa pelbagai persepsi dan tohmahan yang cuba memburukkan UMNO adalah taktik lama yang digunakan pihak lawan setiap musim PRU.

"Agenda mereka adalah hanya untuk menjatuhkan UMNO bukan memikirkan agenda untuk menjaga kepentingan rakyat,” ujar Othman yang yakin rakyat akan memilih UMNO-BN atas dasar ia gabungan yang mantap.

Klik di sini untuk terus membaca