SEMUA parti politik dilihat memilih jalan selamat dengan menggunakan istilah berlainan, berbanding menawarkan janji 'bulan bintang' dalam manifesto pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Barisan Nasional (BN) memilih ungkapan... Klik di sini untuk terus membaca

SEMUA parti politik dilihat memilih jalan selamat dengan menggunakan istilah berlainan, berbanding menawarkan janji 'bulan bintang' dalam manifesto pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Barisan Nasional (BN) memilih ungkapan Perancangan Amal dan Usaha BN untuk Malaysia tercinta atau PADU yang menggariskan 10 teras dan 99 tawaran untuk rakyat Malaysia bagi menarik sokongan lebih 21 juta pengundi kembali menyokong mereka untuk membentuk Kerajaan Persekutuan baharu selepas PRU15 nanti.

Antara tawaran menarik ditawarkan BN menerusi PADU adalah menghapuskan kemiskinan secara mutlak melalui Skim Bantuan Pendapatan Asas yang dikreditkan secara automatik setiap bulan kepada semua isi rumah yang berpendapatan kurang daripada RM2,208 sebulan.

Perikatan Nasional (PN), pula menawarkan 12 tunjang utama, 30 pendekatan dan 234 tawaran dengan mengambil kira pandangan dan sentimen rakyat terutama isu ekonomi seperti kos sara hidup, pekerjaan, pendapatan, masalah inflasi, kenaikan harga barang dan lain-lain.

Mereka juga akan memberi tumpuan segera kepada usaha memulihkan ekonomi secara menyeluruh dan mampan serta berhasrat menjadikan Malaysia paksi ekonomi Asia Tenggara yang berteraskan industri masa hadapan.

Selain itu, PN juga akan menyediakan Tabung Khas Galakan Pelaburan berjumlah RM5 bilion serta menggalakkan industri berteknologi tinggi bagi meningkatkan nilai tambah dan menyediakan pekerjaan berpendapatan tinggi khususnya tenaga kerja muda.

Muhyiddin (tengah) ketika Pelancaran PN BEST dan Manifesto Perikatan Nasional Negeri Kedah di Pendang Convention Centre (PCC) pada malam Isnin.

TAWARAN REALISTIK

Pakatan Harapan (PH) pula memberi jaminan bahawa manifesto 10 Tawaran Harapan yang ditawarkan kepada lebih 21 juta pengundi pada PRU15 adalah realistik dan mampu ditunaikan.

Manifesto PH kali ini dikatakan mampu dilaksanakan sebaiknya tanpa memberi alasan ia bukan kitab suci seperti mana yang diungkap kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini.

Sepuluh Tawaran Harapan termasuklah menawarkan penyelesaian kepada tangani isu kos sara hidup, perangi rasuah dan kukuhkan institusi demokrasi, perkasa peluang ekonomi belia dengan terokai sektor manusiawi serta selamatkan generasi tercicir dalam pendidikan.

Turut ditawarkan penyelesaian kepada bina ketahanan bencana dan mantapkan perlindungan, tangani isu doktor kontak dan menjamin kebajikan penjawat kesihatan, hapuskan isu kesaksamaan gender dan memperkasa sosio ekonomi wanita, perkasa Wilayah Sabah dan Sarawak, tingkatkan daya saing setiap rakyat Malaysia serta pelihara khazanah alam demi anak cucu kita.

Anwar melancarkan Tawaran Harapan - Kita Boleh! di Klang pada 2 November lalu.

BERHATI-HATI

Jadi berdasarkan kenyataan di atas jelas menunjukkan ketiga-tiga gabungan parti utama yang bertanding dalam PRU15 iaitu BN, PN dan PH mengambil langkah berhati-hati dalam merangka dan menggubal manisfesto supaya lebih realistik dan mampu dilaksanakan.

Mereka berbuat demikian kerana tidak mahu mengulangi kesilapan PH yang menabur pelbagai janji manis seindah 'bulan dan bintang' dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.

Antara janji yang gagal dilaksanakan PH selepas menjadi Kerajaan Persekutuan selama 22 bulan termasuklah, menurunkan harga minyak, menghapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan memberikan pendidikan percuma.

KEBAJIKAN

Berikutan itu, Pensyarah Kanan Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali berkata, beliau melihat kebanyakan gabungan parti politik lebih mengambil pendekatan lebih berhati-hati dan tidak menawarkan 'bulan dan bintang' atau tawaran kurang munasabah kepadan pengundi pada PRU15 ini.

"Saya melihat apa yang ditawarkan oleh BN, PN dan PH dalam manifesto mereka nampak lebih realistik dan mampu ditunakan selepas PRU15 nanti.

"Bagaimanapun, saya melihat tawaran yang ada dalam menifesto PN dan PH lebih menarik kerana ia menyentuh secara langsung soal kebajikan dan kelangsungan hidup rakyat.

"Rekod perkhidmatan kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri adalah bagus dan menyebabkan rakyat lebih percaya dengan manifesto dijanjikan gabungan parti berkenaan, pada PRU15 nanti," katanya kepada wartawan Sinar Premium.

Mazlan berkata, demikian ketika mengulas mengenai sejauh mana manifesto dilancarkan gabungan parti politik sama ada BN, PN mahu pun PH mampu menarik pengundi mengundi mereka pada Hari Pengundian, 19 November ini.

Mazlan berkata, semua pihak perlu berlaku adil kepada PH biarpun Tun Dr Mahathir Mohamad pernah mengatakan bahawa manisfesto bukan 'kitab suci' yang wajid diiikuti selepas beliau menjadi Perdana Menteri dulu.

"Itu adalah di zaman Mahathir tiada kena mengena dengan janji dan manisfesto dibuat PH sekarang yang diketuai oleh Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan orang kanannya Rafizi Ramli.

"Malah, PH juga mengakui janji dan manisfesto dibentangkan mereka semasa PRU14 adalah terlalu 'indah' namun sukar untuk direalisasikan dan dicapai, namun kali ini nampak realistik. Jadi kita kena adil kepada Anwar dan Rafizi kerana mereka tidak terlibat dalam merangka manisfesto PRU14 dan mahupun pentadbiran kerajaan PH, sebelum ini," katanya.

Ahmad Zahid Hamidi ketika melancarkan manifesto BN.

PERCEPATKAN PEMULIHAN

Penganalisis ekonomi dari Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, beliau melihat manifesto PN terutama meneruskan Belanjawan 2023 yang dibentangkan oleh kerajaan campuran dilihat mampu mempercepatkan pemulihan ekonomi negara.

Beliau berkata, ini bermakna jika PN kembali menerajui Putrajaya usaha mempercepatkan pemulihan ekonomi dapat dipercepatkan kerana kerajaan boleh terus membentangkan semula, membahaskan dan meluluskan pembentangan Bajet 2023 pada Disember ini kerana masa yang ada amat suntuk.

"Isu pengeluaran dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kali ketiga pula dijangka sukar untuk dilaksanakan kerana majoriti pencaruman sudah hampir kehabisan simpanan untuk hari tua mereka.

"Justeru itu, PN perlu memikirkan altenatif bagi membantu rakyat terutama golongan B40 dan M40 yang dijangka terjejas terus dan memerlukan bantuan tunai secara terus semasa kegawatan ekonomi, pada tahun depan," katanya.

Tambah Ahmed Razman, janji manisfesto BN pula dijangka lebih menyakinkan rakyat kerana mereka mempunyai pengalaman lebih 60 tahun mentadbir negara dan menguasai kerajaan sebelum tewas kepada PH, pada PRU14 lalu.

Ahmed Razman berkata, beliau melihat apa yang ditawarkan dan dijanji dalam menifesto PH sukar ditunaikan kerana terlalu banyak dan tiada fokus atau keutamaan yang mana perlu dilaksanakan segera mengikut kepentingan.

"PH dilihat mahu meneruskan sebahagian daripada apa yang dijanjikan mereka pada PRU14 lalu. Bagaimanapun, PH gagal membentangkan idea baharu di luar kotak bagi mempercepatkan pemulihan ekonomi negara.

"Malah, ketiga-tiga manisfesto dibentangkan oleh PN, PN dan PH tidak memperlihatkan kaedah yang bakal digunakan mereka untuk menambah hasil bagi menampung perbelanjaan kerajaan selepas PRU15 nanti.

"Kita juga tertanya-tanya sama ada kerajaan baharu sama ada dibentuk oleh BN, PN dan PH atau kerajaan campuran nanti akan menaikkan cukai sedia ada atau memperkenalkan cukai baharu," katanya.

IMPAK KECIL

Dalam pada itu, Ahmed Razman meramalkan keputusan PRU15 nanti dijangka memberikan impak atau kesan minimum kepada ekonomi terutamanya pasaran modal dan saham negara.

Beliau berkata, pertukaran kerajaan di Malaysia setiap kali PRU secara amnya tidak memberi impak besar kepada ekonomi negara sama ada pasaran saham mahu pun kadar tukaran wang asing.

"Kadar kita lihat pasaran saham di Bursa Malaysia tidaklah naik atau jatuh mendadak akibat keputusan PRU14 kerana proses pertukaran kerajaan di Malaysia biasanya berlaku secara aman dan teratur.

"Begitu juga kadar pertukaran ringgit bukanlah boleh kembali mengukuh sekelip mata atau jatuh merudum terus akibat pertukaran atau pembentukan kerajaan baharu di Putrajaya.

"Sentimen pelabur juga sudah mengambil kira faktor dan impak kemungkinan berlaku perubahan kerajaan selepas PRU15 dan satu kelebihan Malaysia adalah negara tetap aman dan tidak berlaku rusuhan biarpun ada pertukaran kerajaan di Putrajaya sehingga menyebabkan ekonomi negara menjadi teruk," katanya.

Razman berkata, biarpun berlaku perubahan kerajaan di Putrajaya namun kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dijangka berkembang pada paras 5.3 hingga 6.3 peratus pada tahun ini.

"Saya juga optimis untuk melihat Malaysia masih dilandasan betul dan mampu mencapai pertumbuhan 4 hingga 5 peratus, KDNK pada tahun depan.

"Apa yang paling penting adalah Malaysia perlu membentuk kerajaan lebih stabil selepas PRU15 bagi mempercepatkan proses pemulihan ekonomi negara menjadi lebih lancar.

"Sebaliknya, jika kerajaan campuran terbentuk dan polimik politik berterusan selepas PRU15 maka Malaysia dijangka terkebelakang dan ketinggalan daripada negara lain. Itulah risiko yang dihadapi Malaysia selepas PRU15," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca