SHAH ALAM - Penganalisis ekonomi memberikan lima saranan untuk kerajaan menurunkan harga barang iaitu menumpukan pengeluaran barangan makanan domestik, membawa masuk teknologi baharu dan menangguhkan kenaikan kadar dasar semalaman (OPR).... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Penganalisis ekonomi memberikan lima saranan untuk kerajaan menurunkan harga barang iaitu menumpukan pengeluaran barangan makanan domestik, membawa masuk teknologi baharu dan menangguhkan kenaikan kadar dasar semalaman (OPR).

Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Mohd Faisol Ibrahim berkata, kerajaan juga perlu memperhebat Kempen Beli Barangan Malaysia dan mengekalkan tanah pertanian untuk diusahakan.

Menurutnya, Malaysia wajar mengurangkan kebergantungan barangan import yang semakin mahal kesan daripada kejatuhan mata wang ringgit.

"Secara tidak langsung, harga makanan akan dapat dikawal serta beransur-ansur menggantikan produk import.

"Sektor pertanian juga harus diperkasa kerana ia merupakan sektor yang menyumbang kepada sekuriti makanan. Justeru, teknologi baharu perlu dibawa masuk supaya hasil dapat ditingkatkan dan lebih berkualiti.

"Sebagai contoh, kita masih mengimport beras kerana tidak cukup untuk memenuhi permintaan tempatan. Ini satu kerugian besar kepada negara,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Faisol mengakui langkah menaikkan kadar OPR dapat membantu menurunkan harga barang kerana kenaikan harga barang secara berterusan adalah berkait rapat dengan inflasi.

"Bagaimanapun, kenaikan OPR mungkin boleh ditangguhkan dahulu buat masa ini sehingga awal tahun hadapan supaya rakyat boleh menyesuaikan diri dengan kenaikan OPR yang berlaku sebanyak empat kali tahun ini,” ujar beliau.

Tambahnya, Kempen Beli Barangan Malaysia juga mesti diperhebat kembali supaya harga barangan di pasaran dapat dikawal dan pada masa sama menyumbang kepada kenaikan permintaan produk tempatan.

Ia sekali gus dapat mengukuhkan ekonomi domestik.

"Saya juga berpandangan, kerajaan perlu mengatasi isu tanah pertanian yang dikomersialkan. Ia seharusnya kekal diusahakan dengan pertanian sahaja,” jelasnya.

Klik di sini untuk terus membaca