CALON BN Parlimen Bentong, Tan Sri Liow Tiong Lai berazam mahu menjadikan Bentong sebagai syurga ekopelancongan negara jika diberi mandat dalam PIlihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Bekas Ahli Parlimen Bentong empat penggal sejak tahun 1999 sebelum kalah di kerusi itu pada PRU14 berkata, dengan pelbagai keindahan semula jadi dimiliki daerah tersebut, banyak pusat tarikan pelancongan boleh dimajukan.
Kemunculan semula Tiong Lai untuk bertanding juga semata-mata mahu membantu rakyat kerana percaya banyak peluang pekerjaan dapat disediakan kepada golongan muda sekiranya rancangan pembangunan itu terlaksana.
Ikuti wawancara wartawan Sinar Harian, Raiham Mohd Sanusi bersama Tiong Lai di Ibu Pejabat MCA di Kuala Lumpur pada Rabu.
SINAR HARIAN: Tan Sri sekali lagi akan bertanding di Parlimen Bentong. Bagaimana Tan Sri melihat saingan calon lawan terutama daripada DAP, Young Syefura Othman atau lebih dikenali sebagai YB Rara?
TIONG LAI: Ini satu pertandingan yang sengit. Kita perlu menyampaikan mesej yang sebenar kepada pengundi-pengundi. Saya nak bertanding semula ini kerana ramai pengundi Bentong memanggil saya untuk kembali.
Yang keduanya saya dapati ahli Parlimen pembangkang daripada Pakatan Harapan (PH) tidak menjalankan tugas dengan sewajarnya dan banyak juga projek pembangunan di Bentong terbantut, selain ekonomi menurun.
Saya terpanggil menawarkan diri untuk berkongsi pengalaman dan komitmen kepada orang-orang Bentong. Saya dah lama berkhidmat di Bentong iaitu lebih kurang 33 tahun. Saya ucap terima kasih kepada orang-orang Bentong tak kira Melayu, Cina, India dan Orang Asli kerana semuanya anggap saya sebagai keluarga mereka.
Apabila saya lihat PH membelakangkan atau menganaktirikan kawasan Bentong, rasanya ini tak betul. Jadi saya perlu betulkan keadaan dengan tampil ke hadapan, pastikan keadaan ini dapat pulih semula.
Oleh itu, saya tawarkan diri untuk membantu orang-orang Bentong.
SINAR HARIAN: Apa projek pembangunan yang terbantut itu?
TIONG LAI: Banyak, contohnya paling jelas usaha kerajaan PH untuk alihkan jajaran Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari Bentong ke Negeri Sembilan. Ini tak betul dan tak masuk akal kerana jajaran yang melalui Bentong, masuk ke Gombak adalah jajaran paling lurus dan berkesan untuk meningkatkan ekonomi Parlimen berkenaan dan Pantai Timur.
Itu satu perkara yang jelas membuatkan orang Bentong marah sangat. Mereka pindahkan jajaran tersebut. Ia bukan sahaja menjejaskan ekonomi, malah menyebabkan kita tidak dapat selesaikan masalah kesesakan lalu lintas.
Kalau tengok waktu hujung minggu sekarang, berlaku kesesakan di Lebuhraya Karak sebab tak mampu nak tampung jumlah kereta yang meningkat. Jadi kita perlukan landasan kereta api.
Banyak juga projek infrastruktur lain seperti Central Spine Road (CSR) yang terhenti. Sewaktu saya menjawat jawatan Ahli Parlimen, kita dah buat projek CSR yang menghubungkan Lipis-Raub-Bentong dan sekarang dah boleh pakai. Tapi CSR sepatutnya bersambung ke Bahau, namun projek itu telah terencat.
Projek lain seperti Hospital Pakar Bentong dan Ibu Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Bentong semuanya juga dibatalkan di bawah kerajaan PH.
SINAR HARIAN: Setakat enam hari kempen, bagaimana Tan Sri lihat maklum balas rakyat terutama pengundi muda?
TIONG LAI: Maklum balas cukup baik kerana orang muda pun ramai keluar dan berjumpa dengan saya. Antara keluhan orang muda, mereka mahu lebih banyak pekerjaan supaya tak payah kerja jauh-jauh seperti ke Kuala Lumpur dan Johor Bahru. Mereka hendak kerja di kampung sambil jaga keluarga.
Kedua, mereka mahukan rumah, contohnya perumahan generasi kedua di kawasan Felda.
Ketiga, mereka ingin melihat perkembangan Bandar Bentong yang dilengkapi fasiliti sukan seperti stadium dan tempat untuk beriadah. Kita akan laksanakan satu persatu.
SINAR HARIAN: Apa yang Tan Sri ingin tawarkan kepada penduduk Parlimen Bentong?
TIONG LAI: Saya mahu menjadikan Bentong sebagai syurga ekopelancongan negara. Usaha ini bukan sahaja meningkatkan peluang pekerjaan, malah melipatgandakan ekonomi dengan menjadikan ECRL dan CSR sebagai satu hub logistik dan pembangunan pesat.
Ia dapat menarik pelancong dari ibu negara ke Bentong dan membolehkan orang muda ulang alik antara Kuala Lumpur dan daerah ini dengan mudah.
Itu semua akan menarik pelabur-pelabur asing ke kawasan berkenaan. Saya yakin dengan perancangan ini, ekonomi Bentong akan meningkat dengan pesat.
Kita juga mempunyai banyak produk tersendiri untuk dipromosikan seperti durian musang king, halia Bukit Tinggi, jambu manis dan nangka madu. Kita juga ada banyak kawasan hijau semula jadi yang indah dan menarik.
Kita ada kolam air panas, air terjun, 'eco farm' (lokasi perkelahan keluarga) dan banyak kawasan bukit serta gunung yang boleh kita tawarkan pelbagai aktiviti termasuk aktiviti mendaki.
SINAR HARIAN: Ada yang berpandangan, MCA tidak lagi mendapat sokongan pengundi Cina. Komen Tan Sri?
TIONG LAI: Itu satu persepsi sahaja. Sebenarnya MCA memainkan peranan yang cukup penting dalam BN. Sedia maklum, BN adalah sebuah parti yang dapat merancang dan mentadbir negara yang memiliki rakyat berbilang kaum dalam keadaan yang stabil.
BN mempunyai formula kejayaan negara. Ia terbukti dalam tempoh 60 tahun kita mentadbir, negara dalam keadaan aman, damai, harmoni dan progresif.
MCA juga memainkan peranan mentransformasikan BN mengikut kehendak zaman sekarang.
Oleh itu, kita tidak boleh menidakkan peranan MCA mahupun MIC atau UMNO dalam BN. Kami bergerak bersama dalam gabungan parti BN.
SINAR HARIAN: Pada PRU14, MCA hanya menang satu daripada 39 kerusi Parlimen. Untuk PRU15, apa faktor yang MCA rasa boleh bangkit untuk kembali menang?
TIONG LAI: MCA telah lakukan reformasi dalaman yang mana kita tampilkan calon lebih muda dan berpengalaman. Kita juga pertingkatkan interaksi dengan orang muda. Kita tahu orang muda sekarang banyak gunakan media sosial dan peroleh maklumat cepat daripadanya.
Jadi MCA juga lakukan transformasi dari segi pemberian maklumat dan juga berinteraksi dengan orang muda menerusi media sosial. Kalau tengok manifesto BN juga, ia mengikuti kehendak zaman seperti reformasi pendidikan.
SINAR HARIAN: Sekiranya kali ini tiada mana-mana gabungan parti yang mampu mendapat jumlah majoriti bagi membentuk kerajaan, pada pandangan Tan Sri, dengan siapa BN patut bergabung bentuk kerajaan? PN atau PH?
TIONG LAI: Saya berharap ini tidak berlakulah kerana kalau ia berlaku amat malang bagi Malaysia. Dalam PRU14 lalu ahli-ahli Parlimen telah lompat parti hingga kita terpaksa wujudkan undang-undang lompat parti.
Kalau sekarang kita mengundi parti yang tak ada majoriti, ia akan jadikan Parlimen tergantung. Ini akan menyebabkan bukan ahli Parlimen lompat parti tapi parti yang lompat ke gabungan parti yang lain.
Apabila situasi ini berlaku akan terus timbul masalah ketidakstabilan politik. Jadi ia akan kembali ke asal. Sekarang ahli Parlimen tak boleh lompat tapi parti boleh lompat ke gabungan parti lain. Maka berlakulah balik lompat parti.
Oleh itu saya minta rakyat sokonglah BN. Berilah BN kekuatan iaitu undi majoriti untuk stabilkan negara kita. Kita juga tahu kehendak rakyat sekarang adalah kestabilan dan kemakmuran. Ini bukan slogan BN tapi BN faham rakyat dah muak dengan ketidakstabilan. Dengan pengalaman dimiliki, BN sebagai sebuah institusi politik akan menjaga kepentingan rakyat berbilang kaum.
SINAR HARIAN: Pesanan Tan Sri kepada pengundi?
TIONG LAI: Kepada orang Bentong, berilah peluang kepada saya untuk berkhidmat semula kepada anda walaupun ada usaha segelintir pihak cuba merosakkan imej saya.
Dia kata menerusi media sosial, saya tak tunjuk muka dalam tempoh empat tahun yang lalu selepas tewas dalam PRU14 di Bentong dan saya muncul kembali sebaik Parlimen dibubarkan.Itu tidak benar sama sekali.
Walaupun tewas pada 2018, hubungan saya dengan penduduk Bentong tetap akrab.
Malah orang Bentong kembali cari saya bila ada masalah selepas pemimpin tempatan tidak beri khidmat sewajarnya.
Misalnya, apabila mereka hubungi saya semasa pandemik Covid-19 untuk dapatkan vaksin cepat, saya berhubung dengan Kementerian Kesihatan dan wujudkan satu pusat pemberian vaksinasi (PPV) swasta di Bentong.
Apabila bencana seperti banjir kilat dan banjir besar terjadi di Bentong, ramai rakyat tak dapat bantuan dan cuba hubungi saya. Saya kemudian berhubung dengan pihak-pihak swasta untuk tolong mereka. Saya jelaskan perkara ini untuk tepis segala dakwaan tidak berasas yang dilemparkan ke atas saya.
Klik di sini untuk terus membaca