SEBAIK sahaja selesai kerja pada malam Rabu baru-baru ini, Tok singgah minum kopi di kedai mamak kegemaran Tok di Putra Heights, hujung Subang Jaya.
Nak dijadikan cerita, tiba-tiba muncul seorang calon pilihan raya di restoran tersebut bersama-sama para pengikut dan petugas.
Tok pun berasa teruja kerana dia adalah calon baharu - seorang anak muda berkelulusan sekolah agama dan pengajian tinggi agama.
Calon tersebut memakai songkok dan baju batik. Para pengikutnya memakai kemeja-T dengan logo parti yang mereka wakili.
Tok tunggu dengan penuh debar untuk calon ini datang ke meja Tok. Tapi tunggu punya tunggu akhirnya dia tak datang.
Yang datang ke meja Tok hanyalah petugas-petugas calon itu mengedarkan risalah tentang latar belakang calon berkenaan.
"Pak cik mengundi di mana?" tanya petugas tu kepada Tok. Tok jawab "di sinilah..."
Dia pun tersenyum dan beredar. Tidak sedikit pun dia merayu undi atau cuba untuk meyakinkan Tok supaya memberi peluang kepada bos dia untuk berkhidmat sebagai wakil rakyat.
Dia kelihatan malu-malu kucing. Gamaknya orang baharu belum ada pengalaman bagaimana nak merayu undi.
Tapi yang paling mengecewakan Tok ialah calon itu sendiri. Tok tak naklah mendedahkan nama dia di sini. Dia langsung tidak berusaha untuk datang ke meja Tok untuk memperkenalkan diri atau cuba berkenalan dengan Tok.
Sebaliknya, dia hanya memilih untuk ke sebuah meja untuk memperkenalkan diri dan lepas itu dia duduk bersembang dengan orang itu tanpa mempedulikan patron yang lain di restoran berkenaan.
Dalam hati Tok berkata: "aku baru terasa nak pertimbangkan untuk bagi undi kepada calon ini tapi dia sikit pun tidak berusaha untuk datang ke meja aku."
Tapi Tok cuba bersangka baik dengan memberi sedikit lagi ruang dan masa kepadanya untuk datang.
Malangnya, tunggu punya tunggu akhirnya dia angkat kaki dan tidak mengendahkan meja Tok sedangkan di situ sahaja ada dua pengundi iaitu Tok dan anak Tok.
Malam itu sah dia kehilangan dua undi untuk dirinya. Tok tak kisah jika Tok tak berkesempatan untuk jumpa calon-calon ini semua.
Tapi ni calon dah di depan mata. Dia hanya perlu melangkah beberapa tapak sahaja lagi untuk meraih undi daripada kami tapi dia memilih untuk tidak berbuat demikian. Kenapa? Hanya dia sahaja yang tahu.
Tok perhatikan juga, dia cuba mengelak daripada bertemu dengan yang bukan sebangsa dengannya. Dia memilih siapa yang dia nak jumpa.
Mungkin dia tidak ada pengalaman. Maklum sajalah ini kali pertama dia bertanding.
Tapi malam itu dia telah melakukan kesilapan paling besar dalam hidup dia. Dia tidak datang ke meja orang yang bakal mengundi di kawasan dia bertanding.
Klik di sini untuk terus membaca