BILIONAIR paling kaya di dunia, Elon Musk mencetuskan kebimbangan Amerika Syarikat (AS) berikutan tindak-tanduknya melibatkan hubungan beliau dengan beberapa buah negara yang dianggap mempunyai masalah hubungan dengan Washington.... Klik di sini untuk terus membaca

BILIONAIR paling kaya di dunia, Elon Musk mencetuskan kebimbangan Amerika Syarikat (AS) berikutan tindak-tanduknya melibatkan hubungan beliau dengan beberapa buah negara yang dianggap mempunyai masalah hubungan dengan Washington.

Tindak-tanduknya itu menyebabkan Presiden AS, Joe Biden menyatakan bahawa hubungan lelaki paling kaya di dunia itu mempunyai 'sebab-sebab' untuk diteliti iaitu apabila terdapat penglibatan seorang kerabat diraja Arab Saudi dan kerajaan Qatar dalam pengambilaihan saham Twitter yang dibelinya baru-baru ini.

Pada bulan lalu, Musk berjaya mengambil alih perkhidmatan rangkaian sosial itu dengan nilai sebanyak AS$44 bilion (RM206.82 bilion) sebahagiannya disebabkan oleh kumpulan pelabur utama yang menyokong pembelian itu.

Antara pelabur utama yang menyokong pembelian itu ialah Kingdom Holding Company (KHC) dan pejabat peribadi Putera Alwaleed Talal dari Arab Saudi dan kedua-duanya merupakan pelabur terbesar dalam Twitter melibatkan lebih 34 juta saham dengan nilai AS$1.89 bilion (RM8.88 bilion).

Syarikat KHC dan pejabat peribadi itu merupakan pelabur kedua terbesar selepas Musk dalam saham perkhidmatan rangkaian sosial berkenaan.

Menurut laporan, KHC dimiliki oleh sebuah dana kekayaan Arab Saudi yang memiliki kepentingan sebanyak 16.9 peratus dan dipengerusikan oleh Putera Mahkota, Putera Mohammed bin Salman.

Putera Mohammed pernah berkata bahawa beliau tidak terlibat dalam kes pembunuhan kolumnis akhbar Washington Post, Jamal Khashoggi yang juga rakyat negara diraja itu pada tahun 2018 di Pejabat Konsulat Istanbul, Turkiye.

Ketika kempen pilihan raya Presiden AS, Biden berjanji untuk menjadikan negara itu 'tidak dapat diterima oleh masyarakat antarabangsa' atas rekod hak-hak asasi manusianya tetapi pada Julai lalu, beliau melawat Jeddah dan ketibaannya disambut dengan baik oleh Putera Mohammed.

Dana kekayaan Qatar, Qatar Investment Authority (QIA) pula menyumbang sebanyak $375 juta (RM1.7 biion) kepada perjanjian Musk untuk membeli Twitter, menurut satu kenyataan dengan Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa AS baru-baru ini.

PERHATIAN

Sebelum ini, lelaki paling kaya di dunia itu mendapat perhatian serius kerana menyokong cadangan perjanjian damai yang melibatkan pengiktirafan Semenanjung Crimea sebagai sebahagian daripada Rusia tetapi menolak tuntutan penguasaan Presiden Rusia, Vladimir Putin.

Pegawai Rusia memuji Musk kerana pendapatnya tetapi ahli perniagaan itu mendapat kritikan tajam daripada ramai pihak termasuk Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy, Senator AS, Lindsay Graham dan aktivis hak-hak asasi manusia kelahiran Rusia yang juga bekas juara catur dunia, Garry Kasparov.

Musk juga pernah mencadangkan bahawa Taiwan yang diperintah sendiri harus menjadi sebahagian daripada China dan pendirian tersebut dialu-alukan oleh pegawai China tetapi menimbulkan kemarahan para pegawai Taiwan.

AS seperti diketahui umum mempunyai perbalahan yang tegang dengan China terutamanya melibatkan isu mengenai Taipei dan pernah terlibat dengan perang perdagangan ketika Washington ditabir oleh Presiden ke-45, Donald Trump.

Syarikat kenderaan elektrik, Tesla yang turut diasaskan oleh Musk mempunyai rekod jualan yang baik di China apabila kilangnya di Shanghai menjual sebanyak 83,135 unit kenderaan itu pada September lalu sekali gus memecahkan rekod jualan bulanannya di negara komunis tersebut.

Kenderaan elektrik keluaran Tesla mencipta rekod jualan di China. - Foto AFP

PINJAMAN

China telah memberi Tesla pinjaman untuk membantunya membina kilang di Shanghai dan Beijing pernah membenarkan Tesla tetapi tidak kepada pembuat kereta AS yang lain untuk mengendalikan kilangnya secara bebas di negara itu tanpa membentuk usaha sama dengan mana-mana pembuat atau pengilang tempatan.

Sebenarnya, Musk bukanlah peminat Biden dan secara aktifnya mempunyai hubungan tidak mesra dengan parti Demokrat yang disertai oleh Biden.

Pada tahun ini, Musk telah mendakwa Biden mengabaikan usaha kenderaan elektrik keluaran syarikat Tesla yang mana beliau menjadi salah seorang pengasasnya walaupun pembuatan serta penjualannya berjaya tetapi Biden memuji pesaing kenderaannya seperti Ford kerana meningkatkan pelaburan dalam pembuatan kenderaan berkuasa elektrik.

Sehubungan itu, bilionair paling kaya di dunia itu bersumpah untuk mengundi parti Republikan yang dianggotai oleh Trump dan pesaing parti Demokrat dalam pilihan raya separuh penggal di AS.

Pada 7 November lalu, ketika pengundi bersedia untuk membuat keputusan undi dalam pilihan raya pertengahan penggal, Musk menulis di Twitter: "Kuasa bersama mengekang keterlaluan terburuk kedua-dua parti, oleh itu saya mengesyorkan mengundi Kongres untuk Republikan, memandangkan Presiden adalah dari Demokrat."

Berikutan tindak tanduk Musk kebelakangan ini, Biden ditanya pada sidang pada Rabu di AS sama ada beliau berpendapat Musk adalah ancaman kepada keselamatan negara dan jika pemerolehan Twitternya dengan bantuan daripada konglomerat Arab Saudi perlu disiasat oleh Washington.

"Saya fikir kerjasama hubungan teknikal Musk dengan negara lain patut dilihat, sama ada beliau melakukan sesuatu yang tidak wajar. Saya cadangkan ia patut dilihat," kata Presiden AS itu.

Sehubungan itu, tindak tanduk Musk yang dilahirkan di Afrika Selatan pada tahun 1971 dan memperoleh kerakyatan AS sejak tahun 2002 kini pula menimbulkan kebimbangan di negara 'Uncle Sam' itu sehingga terdapat desas-desus tentang risiko ancaman keselamatan yang dibawanya terhadap Washington. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca