SEMINGGU lagi rakyat Malaysia akan mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Apa yang pasti selepas pengumuman pembubaran Dewan Rakyat, aplikasi media sosial popular seperti WhatsApp, TikTok, YouTube, Facebook, Telegram dan Instagram... Klik di sini untuk terus membaca

SEMINGGU lagi rakyat Malaysia akan mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Apa yang pasti selepas pengumuman pembubaran Dewan Rakyat, aplikasi media sosial popular seperti WhatsApp, TikTok, YouTube, Facebook, Telegram dan Instagram menjadi medan pertempuran untuk mempengaruhi pengundi.

Cuma, kali ini penulis percaya sistem Kecerdasan Buatan atau Artificial Intelligence (AI) akan menjadi play-maker dalam kalangan parti yang bertanding.

Penulis percaya 'Sistem Ungkapan Perisikan Pengundi dan Calon’ atau Voters and Candidates Intelligence Expression System (Voices) akan jadi penentu terakhir, selain berperanan membentuk persepsi dan pemikiran pengundi.

Bagaimana Voices menyelusuri minat 21,173,635 pengundi pada PRU15 khususnya pemilih berusia 18 tahun?

Berdasarkan kajian, penulis mendapati Voices mampu mewujudkan senarai pemilih dan calon berwibawa. Dengan erti kata yang lain, AI menerusi Voices membantu pengundi membuat keputusan untuk memilih calon berkualiti. Mungkin ada yang meragui keberkesanan AI dalam memilih calon berwibawa.

Sebagai contoh, data raya (big data) mampu membantu calon ketika berkempen. Analisis skala besar boleh mempengaruhi pengundi muda. Dalam era digital, pengundi muda memilih platform yang sesuai dengan cita rasa mereka.

Hakikat yang perlu dianalisis daripada sudut data raya boleh dimulakan berdasarkan anggaran 14.6 juta pengguna TikTok di Malaysia ketika ini.Penulis mendapati majoriti pengguna TikTok berusia antara 18 dan 24 tahun atau 57.6 peratus. Kategori antara 25 dan 34 tahun (38.7%), 34-44 tahun (2.3%) dan lebih 55 tahun hanya 0.5%.

Daripada jumlah keseluruhan, 56.8% pengguna perempuan manakala 43.2% lelaki. Rata-rata pengguna TikTok di Malaysia menghabiskan masa hampir 3 jam sehari. Sudah pasti aplikasi data raya mampu untuk membuat analisis yang tepat dalam mengenal pasti cita rasa pengundi muda.

Pada masa yang sama, penulis mendapati penyelesaian Risikan Mesin (Machine Intelligence) boleh juga mampu diterapkan ke dalam Voices. Pola perisikan pengundi (voters intelligence) yang menjurus kepada sasaran pengundi dan keterlibatan perbualan menyebabkan AI menjadi penganalisis paling berkesan menjelang PRU15.

Sebagai permulaan, penulis mencadangkan beberapa model AI yang dikenal pasti berupaya untuk menjadi faktor penentu PRU15. AI meramalkan 65 peratus atau 13.8 juta daripada 21.2 juta pengundi akan menunaikan tanggungjawab mereka.

Penulis percaya penyelidikan berintegriti sebelum PRU15 yang menganalisis percubaan dan gangguan asing, selain ramalan pilihan raya boleh mengesahkan bahasa perbualan yang berlegar pada platform media sosial. Secara tidak langsung proses ini menjadi bahan rujukan.

Penganalisaan sentimen dan pemahaman emosi ketika melayari media sosial boleh memudahkan proses mengenal pasti aliran tertentu. Penulis juga percaya paparan skor masa nyata yang menjadi sebahagian resipi AI boleh menyisihkan kebimbangan keselamatan yang tinggi dan gangguan luar jangkaan di kalangan parti tertentu.

Penulis percaya aplikasi AI boleh membantu pengundi menilai dan mengesahkan kandungan atau manifesto parti tertentu. Misalnya rakyat boleh menganalisis menerusi data raya bagi memastikan mereka tidak ditipu calon. AI boleh mengenal pasti penipuan manifesto yang tidak masuk akal!

Sekiranya AI digunakan untuk menganalisis kecenderungan pengundi muda berusia 18 tahun, ada kemungkinan pola keputusan keseluruhan PRU15 akan dapat diteka dengan mudah.

Kesimpulannya, sekiranya AI digunakan sebagai alat untuk mengukur kekuatan persepsi pengundi khususnya mereka yang baru kali pertama menunaikan hak memilih, ada kemungkinan gambaran sebenar pemenang PRU15 boleh diketahui dengan mudah.

* Profesor Dr Ir Muhidin Arifin ialah Ketua Pegawai Operasi Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC)

Klik di sini untuk terus membaca