SHAH ALAM - Perang mulut berterusan antara Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Sungai Buloh Khairy Jamaluddin, bukan hanya mencuri tumpuan orang ramai, malah memanaskan kempen Pilihan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Perang mulut berterusan antara Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Sungai Buloh Khairy Jamaluddin, bukan hanya mencuri tumpuan orang ramai, malah memanaskan kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Segalanya bermula apabila Khairy yang juga penyandang kerusi Parlimen Rembau mendedahkan bahawa beliau terpaksa berjumpa Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran dan Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar, untuk menawarkan diri bertanding sebagai calon BN di kerusi Parlimen Sungai Buloh pada PRU15 nanti.

Keadaan berkenaan menjadi semakin panas apabila Khairy mendedahkan beliau bertindak sedemikian selepas dibiarkan tanpa sebarang isyarat untuk bertanding di mana-mana kerusi. Ia berikutan kerusi disandangnya selama tiga penggal sebelum ini diserahkan kepada Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Berikutan itu, Khairy yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO mengambil inisiatif bertemu dengan Noh bagi mengenal pasti sendiri kerusi sesuai untuk ditandinginya pada PRU15 ini.

Khairy mengakui terpaksa berjumpa dengan Noh Omar untuk meminta satu kerusi Parlimen baginya untuk bertanding.

"Saya tahu kena keluar dari kawasan Rembau. Ketika itu, saya tiada pilihan. Saya perlu melakukan sesuatu untuk diri saya. Jadi, saya mengambil inisiatif untuk (berjumpa) dengan Tan Sri Noh dan Vicky (Vigneswaran).

"Tiada banyak kerusi (Parlimen), hanya dua tiga yang tinggal ketika itu. Jadi saya kata, tak apalah saya pilih Sungai Buloh. Bukannya dari awal saya pilih (untuk bertanding di Parlimen Sungai Buloh).

"Saya memang menunggu isyarat daripada pucuk pimpinan tetapi tidak ada apa-apa. Ia ibarat seperti permainan kerusi muzik, semua orang sudah duduk, tapi saya masih tiada kerusi, saya takut lepas muzik berhenti saya belum ada kerusi. Maka akhirnya saya ke sini (Parlimen Sungai Buloh).

"Saya tak nak panjangkan polemik dengan Presiden UMNO, sebab tidak elok bercakap melalui media... tetapi hakikatnya, saya tiada pilihan sebab pucuk pimpinan parti pun tidak memberi sebarang isyarat kepada saya untuk pergi ke mana-mana kawasan. Saya ditinggalkan begitu sahaja," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di SME Aerospace, di sini, Khamis lalu.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN, menafikan dakwaan Menteri Kesihatan itu dan mendedahkan sebenarnya Khairy sendiri yang meminta kebenarannya untuk bertanding di kerusi Parlimen Sungai Buloh.

Ahmad Zahid yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri dipetik sebagai berkata, tiada siapa yang memaksa atau mendesak Khairy untuk bertanding di Parlimen Sungai Buloh.

TUNJUK PALING PANDAI, ERTINYA PERASAN

Berikutan perbalahan itu, timbul pelbagai persoalan di hati pembaca dan pengguna media sosial mengenai siapakah sebenarnya bercakap benar dan berbohong kepada pengundi di luar sana.

Keadaan itu menjadi bertambah keliru apabila, dalam kenyataan terbaharunya, pada Jumaat, Ahmad Zahid menegaskan bahawa Khairy sepatutnya berterima kasih kepadanya kerana memberi peluang kepada Khairy untuk bertanding di Sungai Buloh.

Ini kerana kata Ahmad Zahid sebenarnya nama Khairy tiada dalam senarai nama calon BN pada PRU15 kerana Khairy adalah ahli UMNO dalam Bahagian Rembau dan kini Mohamad menjadi calon di situ.

Malah Ahmad Zahid turut menyindir Khairy agak supaya tidak perasan dengan menunjukkan diri terbaik dan paling bijaksana.

Ahmad Zahid Hamidi

"Saya beri juga beliau (Khairy) bertanding di Sungai Buloh walaupun bukan tempat beliau. Maka beliau perlu bekerja keras untuk memenangi kerusi Sungai Buloh dan menyumbang kepada pembentukan kerajaan BN.

"Kita boleh berbeza pendapat. Tapi kalau tunjuk diri terbaik, terpandai, paling bijaksana. Itu ertinya perasan," kata Zahid lagi ketika ditemui semasa program bersama komuniti Cina di Bagan Datuk pada Jumaat.

Dalam pada itu, Zahid berpendapat, hasrat Khairy untuk menjadi Perdana Menteri satu hari nanti bergantung pada diri Khairy sendiri.

"Pertamanya, beliau mesti menguatkan parti, bukan melemahkan parti. Beliau mesti memang di Sungai Buloh. Beliau juga mesti diterima parti dan tidak menyanggah parti," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca