MENJELANG Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), parti-parti yang bertanding sudah mengumumkan manifesto masing-masing kepada orang ramai untuk menawan hati pengundi. Lebih menarik, tiga parti utama iaitu Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan... Klik di sini untuk terus membaca

MENJELANG Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), parti-parti yang bertanding sudah mengumumkan manifesto masing-masing kepada orang ramai untuk menawan hati pengundi.

Lebih menarik, tiga parti utama iaitu Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) masing-masing meletakkan kepentingan mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT) dalam manifesto masing-masing, dalam usaha untuk menarik pengundi-pengundi muda.

Walaupun pelbagai janji menarik ditawarkan, namun berdasarkan tinjauan Sinar Harian, golongan mahasiswa masih belum berpuas hati dengan kandungan manifesto tersebut, sebaliknya mereka mahukan lebih lagi.

Ikuti kupasan NURFARDLINA IZZATI MOKHTAR, NUR IFTITAH ROZLAN & MOHAMAD AMREEL IMAN ABD MALEK berhubung perkara yang sepatutnya ditambah dalam manifesto tersebut.

SHAH ALAM - Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (UM) menggesa parti-parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) agar menilai semula manifesto yang sudah diumumkan, dengan memasukkan dua perkara penting menjadi keutamaan pelajar ketika ini.

Eksekutif Umumnya, Muhammad Noraiman Zulkifli berkata, dua isu itu ialah penempatan pelajar dan masalah pengangkutan awam.

Beliau berkata, isu penempatan pelajar di kampus yang terhad merupakan perkara perlu diselesaikan kerajaan nanti.

Muhammad Noraiman

"Kita tahu, setiap tahun kemasukan pelajar semakin meningkat tetapi jumlah kuota penempatan masih kekal dan tiada berlaku penambahan.

"Pelajar tahun kedua yang tidak mendapat kolej kediaman terpaksa mencari rumah sewa di luar dan situasi itu membebankan mereka yang kurang berkemampuan,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Muhammad Noraiman berkata, situasi itu menyebabkan pelajar perlu menyewa rumah di luar kampus, lebih-lebih lagi di kawasan bandar dengan kos sara hidup yang tinggi dan mahal.

"Jadi, perlunya isu penempatan ini diambil perhatian dan diteliti selain dimasukkan dalam manifesto parti-parti politik berkenaan,” ujarnya.

Beliau turut berharap penambahbaikan sistem pengangkutan awam kerana kebanyakan pelajar menggunakan perkhidmatan itu setiap hari.

"Begitu juga pengangkutan bagi mahasiswa dari Borneo perlu diberikan penekanan seperti subsidi kos penerbangan tiga kali setahun misalnya. Perkara-perkara itu wajar diberi penekanan oleh kerajaan yang bakal mentadbir untuk membuat pelan jangka masa pendek dan panjang,” jelasnya.

Tambah beliau, kerajaan yang bakal dibentuk perlu melaksanakan segala janji ditawarkan dan tidak menggagalkan apa yang dijanjikan dalam manifesto itu selepas memenangi PRU15.

"Jangan hanya menabur janji-janji manis sebelum pilihan raya tetapi selepas menang semuanya dilupakan begitu sahaja,” ujarnya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Ahmad Farhan Rosli berkata, terdapat beberapa cadangan mahasiswa yang tidak dimasukkan dalam manifesto seperti menurunkan had umur senator, komitmen mengusahakan penubuhan kesatuan mahasiswa dan had tempoh penggal perkhidmatan ahli Dewan Rakyat.

"Justeru mahasiswa akan terus menuntut perkara-perkara yang tidak dimasukkan kepada kerajaan yang bakal dipilih nanti,” katanya.

Beliau turut mencadangkan agar pindaan dibuat terhadap Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5) bagi memastikan janji-janji manifesto parti-parti politik merupakan suatu kewajiban perundangan yang harus benar-benar dilaksanakan.

Sementara itu, Ahmad Farhan berpandangan, manifesto Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) lebih menekankan kepada tawaran pembaharuan serta reformasi sistem, berbanding Perikatan Nasional (PN) yang dilihat bersifat one-off.

"Secara keseluruhan semua gabungan politik utama seperti BN, PH dan PN telah mengemukakan tawaran manifesto yang turut meliputi persoalan belia dan mahasiswa.

"Kita lihat PH telah berjaya memasukkan beberapa tuntutan yang diperlukan mahasiswa dalam manifesto mereka meskipun tidak semua,” katanya.

Beliau berkata, paling utama ialah komitmen PH bagi memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971.

Selain itu, katanya, perkara yang perlu diberi perhatian dalam manifesto BN ialah berkaitan penubuhan Jawatankuasa Belia Bagi Semakan Polisi di Parlimen.

"Ini merupakan antara langkah yang ke depan dalam penyediaan manifesto BN kali ini,” ujarnya.

Klik di sini untuk terus membaca