KATA pepatah Melayu lama orang tua kita dahulukala, sekali air besar, sekali tepian beranjak. Kita kini sebagai rakyat jelata pun dalam proses beranjak. Pilihan raya nanti, sekali lagi kita akan memilih kerajaan baharu.
Sudah semestinya ada polisi, perancangan dan keperluan rakyat akan berubah. Ada yang berkempen mengatakan jika benda baik akan dikekalkan, benda tidak baik akan ditambah baik, kononnya.
Begitulah janji seorang ahli politik. Ada yang masih mengatakan mahu mansuhkan tol tetapi tidaklah diberi secara spesifik bagaimana hendak dimansuhkan tol tersebut, seperti janji dahulukala juga.
Ada yang uar-uarkan manifesto tetapi tidak secara spesifik dengan harapan rakyat akan termakan tawarannya itu. Mungkin mereka ingat rakyat masih tidak tahu apa-apa dan akan menerima bulat-bulat sahaja.
Mereka yang masih dengan pemikiran cara lama cuba memperbodohkan rakyat jelata, bak kata pepatah Melayu lama, besar bungkus tak berisi. Mereka tidak tahu rakyat jelata bak kata pepatah lagi, busuk, busuk embacang.
Seeloknya ahli politik cermin diri dahulu sebelum cuba mempengaruhi rakyat. Kita sudah melihat cara berkempen mereka. Tampaknya ada segelintir yang tidak menggunakan akal terlebih dahulu sebelum membuat janji manifesto.
Maka, rakyat hendaklah memainkan peranan penting bagi memastikan calon yang dipilih benar-benar jujur dan amanah serta boleh buat kerja, bukan hanya semata-mata untuk kepentingan diri.
Rakyat terutama orang muda yang pertama kali mengundi janganlah seperti kata pepatah, cerdik bagai ekor kerbau kerana boleh merugikan diri sendiri.
Sudah sampai masanya rakyat menunjukkan kuasa sebenar. Kita tidak boleh lagi taasub atau bergantung kepada parti politik semata-mata.
Kita sepatutnya tidak taasub menyokong parti politik sehingga mata buta dan hati menjadi gelap sehingga apa yang kita pilih sebenarnya tidak layak menjadi kerajaan.
TIDAK BERBALAH
Kita sebagai rakyat hendaklah memilih orang yang benar-benar boleh membuat kerja, memimpin dan membawa negara ke arah lebih makmur serta sejahtera.
Jika pemimpin tidak mampu atau menyalahgunakan kuasa, maka rakyat sekali lagi berhak untuk tidak memilih orang sebegitu. Negara dan rakyat hanya makmur dengan pemimpin yang tidak menyalahgunakan kuasa.
Oleh itu, peluang mengundi yang datang ini, moleknya kita tidak berbalah sama sendiri kerana parti tetapi hendaklah bersatu memilih dengan bijaksana. Akal fikiran yang Tuhan anugerahkan hendaklah digunakan sebaiknya.
Kepada orang muda yang pertama kali mengundi, perlu ambil tahu dan berfikir secara mendalam demi masa depan. Polisi, kebajikan dan kesenangan masa akan datang bergantung kepada siapa yang akan diundi.
Isu harga rumah mahal, orang muda tidak dapat membeli rumah, gaji tidak setimpal dan peluang kerja serta pendidikan hendaklah diambil kira sebagai aras untuk memilih pemimpin nanti.
Isu-isu yang saya sebutkan itu sebenarnya masih tidak ada penyelesaiannya. Kerajaan silih berganti dan masih sama juga.
Untuk anak muda, janganlah menjadi bingung. Bak kata pepatah, bingung makanan si cerdik, orang tidur makanan si jaga. Anak muda ini laut budi tepian akal, sepertinya tukang tidak membuang kayu.
Tidaklah perlu menurut kata orang lain yang hanya buta dan tuli dalam melakukan sesuatu. Tidaklah perlu mengikut nasihat yang salah hanya kerana orang itu seolah-olah boleh memasukkan kita ke dalam syurga.
Guna akal dan rajin membaca menuntut ilmu, maka mencerahkan hati, menajamkan akal dalam membuat pilihan betul.
Kecil jangan disangka anak, besar jangan disangka bapa. Masa depan negara terletak pada anak muda. Gunakanlah peluang sebaik mungkin. Bak kata pepatah Inggeris, strike while the iron hot.
* Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk berbual, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com
Klik di sini untuk terus membaca