MEMASUKI minggu kedua kempen, ramai menjangkakan ia terus hangat selepas kejutan dan kekecohan yang berlaku semasa penamaan calon.
Selain insiden di Tenom, Sabah, pengguguran nama-nama besar juga ikut mengundang gundah.
Nama-nama seperti Datuk Seri Shahidan Kassim, Tan Sri Noh Omar, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, Datuk Che Abdullah Mat Nawi, Tian Chua dan Wong Tack, antara yang menarik perhatian.
Turut mencuri tumpuan adalah kemunculan semula Rafizi Ramli dan Ong Tee Keat di Parlimen Pandan.
Pengguguran tersebut secara tidak langsung menukar status kerusi-kerusi yang dahulunya dianggap selamat menjadi panas.
Walaupun pandangan umum melihat tindakan tersebut bagus untuk peremajaan parti, namun dari prospek menang kerusi, ia sangat berisiko.
Ironinya, pengguguran yang dijustifikasikan dengan alasan peremajaan dipersenda dengan tindakan parti mengutip Yang Berhormat (YB) terbuang menjadi calon pilihan raya.
Ia jelas menunjukkan keterdesakan parti untuk menang sampai sanggup kutip musuh tradisi, berbanding ahli sendiri.
Kita masih tidak tahu bagaimana hasil strategi ‘kutip YB terbuang’ sehinggalah pilihan raya selesai. Di atas kertas, nama mereka cukup berpengaruh dengan politik setempat.
Namun, tindakan itu memperlekehkan kewajipan moral parti politik untuk menghidupkan persaingan sihat di sebalik kefahaman umum matlamat parti mahu menang pilihan raya.
Realiti tekanan politik angka dalam persaingan pilihan raya menjadikan parti oportunis sehingga sanggup mengesampingkan falsafah dan pegangan masing-masing.
Justeru, nafsu untuk ‘winning at all cost’ menjadi lebih kuat selepas persaingan secara en bloc pakatan politik yang seimbang.
POLITIK KEPARTIAN
Dari satu sisi, mengutip YB terbuang memperakukan kekuatan dan pengaruh politik personaliti, berbanding politik parti.
Lazimnya, politik personaliti subur dalam budaya politik kepartian yang kuat mendukung konservatisme dan amalan penaungan. Semakin kuat dan pekat kedua-duanya, maka sukarlah untuk mengalahkannya.
Shahidan misalnya, memiliki semua kriteria politik personaliti dibincangkan. Beliau cemerlang menjaga kawasan. Punya personaliti biasa, namun disenangi kawan dan lawan. Tidak lokek, culas dan ikhlas dalam perkhidmatan. Sentiasa ‘hidup’ dalam alangan pengundi dengan sentuhan peribadinya menjalar di segenap sudut kehidupan.
Paling penting, beliau ada pencapaian meyakinkan. Lihat bagaimana Perlis muncul menjadi kuasa bola sepak negara ketika beliau memimpin negeri tersebut.
Dan hal serupa juga turut berlaku kepada YB-YB terbuang lain. Masing-masing punya pengaruh dan pencapaian tersendiri sehingga dikutip oleh lawan berbanding parti sendiri.
Mengambil kira impak kesetiaan kepada parti yang semakin mengecil berbanding isu dan calon, gugatan YB terbuang antara yang patut diperhatikan dengan berwaspada.
Keputusan luar jangka mungkin terhasil di kerusi-kerusi mereka tandingi. Dengan persaingan semakin sengit, terbuka dan seimbang, hilang satu dua kerusi akibat keputusan parti terhadap mereka mungkin akan makan diri.
Lebih menggerunkan, kalah menang YB terbuang ini mungkin tidak terhenti setakat Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sahaja. Ia dijangka berlanjutan dan memberi kesan terhadap dinamika politik kepartian yang mungkin bergelora selepasnya.
KRISIS DALAMAN
Sudah pasti hierarki kepimpinan dan hala tuju parti akan terkesan dengan keputusan kalah menang YB-YB terbuang.
Pertama, kesannya terhadap kepimpinan parti. Kemenangan YB terbuang sudah tentu akan menggugat kepimpinan sedia ada.
Kehilangan kerusi kepada bekas YB sendiri akan dijadikan senjata mempersoalkan kepimpinan dan alasan ampuh untuk menyalahkan mereka jika parti kalah.
Kedua, potensi pembentukan kerajaan campuran. Menjangkakan tiada parti yang mampu memperoleh majoriti mudah, kemungkinan berlaku penjajaran bergantung kepada parti mana yang ada jumlah kerusi terbanyak.
Jadi, hilang kerusi akan mengurangkan kuasa berunding dan kelebihan relatif parti dalam komposisi kabinet.
Ketiga, prospek ‘perang saudara’ dalam pemilihan parti. Dalam kes ini, UMNO paling berpotensi disebabkan pemilihan parti dijangka berlaku selepas PRU15. Keputusan penguguran hanya menyekat mereka menjadi calon pilihan raya, tidak dalam parti.
Bergantung kepada bagaimana prestasi UMNO pada PRU15 nanti, umum meramalkan krisis kelompok berbeza dalam parti akan bertambah parah dalam situasi UMNO yang tidak terurus setelah Datuk Seri Najib Tun Razak dipenjara.
* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM)
Klik di sini untuk terus membaca