STRATEGI kempen untuk pilihan raya umum kini tidak lagi terhad kepada on-ground. Sebahagian besarnya telah beralih ke alam maya atas talian melalui media sosial yang merupakan pentas perlawanan politik alaf baharu. Dahulu, taburan politik... Klik di sini untuk terus membaca

STRATEGI kempen untuk pilihan raya umum kini tidak lagi terhad kepada on-ground. Sebahagian besarnya telah beralih ke alam maya atas talian melalui media sosial yang merupakan pentas perlawanan politik alaf baharu.

Dahulu, taburan politik dapat disaksikan melalui demografik kawasan. Contohnya, Pas amat popular di sekitar pantai timur, Barisan Nasional (BN) popular di kawasan luar bandar dan pengundi bandar pula gemar dengan parti-parti pembangkang semasa (contohnya Parti Sosialis Malaysia (PSM), Gerakan, DAP, Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat (PR) dan Pakatan Harapan (PH)).

Taburan populariti itu juga berlaku di platform media sosial sekarang. Kelihatan BN masih meraih sokongan di Facebook, PH pula disokong penuh oleh 'Twitterjaya' dan Instagram, manakala Perikatan Nasional (PN) kini trending di TikTok.

Cara penyampaian adalah berbeza dalam platform yang berlainan. Mereka yang berumur 35 ke atas masih tergolong dalam kategori Facebook dan surakhabar.

Facebook dan Instagram berkongsi perhatian golongan belia berumur 25 sehingga 35 tahun, manakala selebihnya lebih menggemari TikTok. Twitter pula menarik minat golongan penghuni bandar.

ALGORITMA

Algoritma antara platform-platform adalah berbeza, sekali gus mempengaruhi strategi kempen oleh parti-parti politik.

Contohnya, Facebook lebih memberikan keutamaan kepada video jangka sederhana (5 hingga 10 minit), posting penulisan dan gambar. YouTube untuk video jangka panjang, Instagram untuk gambar dan video pendek, manakala TikTok bagi video pendek.

Namun, platform komunikasi sekunder yang mendominasi perhubungan antara individu adalah WhatsApp. Kandungan atau konten daripada platform-platform yang disebutkan banyak dikongsi melalui WhatsApp.

Facebook mengandungi informasi paling ketara berbanding platform lain dan memiliki pentas terbesar dengan liputan melebihi 70 peratus daripada jumlah pengguna media sosial.

BN memiliki kumpulan penyokong terbesar dalam platform tersebut kerana fenomena 'Bossku'.

Setelah Datuk Seri Najib Tun Razak dipenjarakan, fenomena itu telah berkurangan dengan jelas dan masih tiada pengganti bagi meneruskan penampilan ikonik tersebut.

Tambahan pula, imej Presiden BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang masih 'tersangkut' dengan kes jenayah di mahkamah turut menjejaskan imej parti itu secara keseluruhan.

Konten daripada PH dan PN kini meraih populariti di Facebook, yang hampir setaraf dengan BN.

Twitter pula, disebabkan penggunaan bahasa Inggeris yang dominan, kebanyakan pengguna adalah penghuni di bandar dan M40. Mereka tidak dapat menerima persepsi korupsi dalam kalangan pemimpin BN dan tidak boleh menerima prinsipal Pas-PN yang dianggap radikal, kebanyakannya adalah penyokong PH.

BERSAING DI TIK TOK

TikTok mempunyai algoritma amat berbeza daripada platform yang berasal dari Amerika Syarikat (AS). Video singkat oleh seorang pengguna yang tidak mempunyai ramai pengikut boleh menular, sekadar dengan konten yang menarik dan resonan dengan pemikiran penonton.

Sebelum ini PH merupakan 'tuan rumah' TikTok tetapi kini bertemu pesaing hebat daripada PN. Anak-anak muda kelihatan menerima Pas sebagai parti yang bersih, tiada skandal dan imejnya adalah positif.

Kesimpulannya, melalui media sosial, kita tidak dapat menjangka siapa yang mendahului dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Sentimen mana yang trending, banyak terpulang kepada konteks platform yang diguna pakai.

Bagaimanapun, media sosial boleh dikenal pasti sebagai medium yang berkesan bagi menarik minat anak-anak muda dalam isu-isu politik dan menjalankan tanggungjawab sebagai warganegara untuk mengundi.

* Tai Zee How juga dikenali sebagai YouTuber Apek Cina ialah seorang peguam dan pemerhati politik

Klik di sini untuk terus membaca