REALITINYA kita perlu bersaing untuk hidup. Mereka yang lemah akan kalah dalam persaingan kehidupan. Justeru, ramai yang berusaha untuk menjadi kuat dan hebat.Jika didukung oleh ramai orang, semakin terserlah kehebatannya. Ada yang menjadi... Klik di sini untuk terus membaca

REALITINYA kita perlu bersaing untuk hidup. Mereka yang lemah akan kalah dalam persaingan kehidupan. Justeru, ramai yang berusaha untuk menjadi kuat dan hebat.

Jika didukung oleh ramai orang, semakin terserlah kehebatannya. Ada yang menjadi hebat kerana dirinya memang hebat. Namun, ada yang ingin menjadi hebat dengan sebarkan kepincangan dan memburukkan seteru mereka.

Apabila berjaya, masyarakat bukan lagi menyokong dirinya kerana kehebatan tetapi disebabkan kebencian kepada seterunya. Akhirnya, dijulang hebat kerana ketaasuban pengikutnya.

Sebetulnya, banyak kajian membuktikan bahawa percikan ketaasuban berkembang dengan cepat menerusi platform agama dan politik. Jika digabungkan elemen politik dan agama menjadi suatu wadah, membolehkan gelombang ketaasuban semakin menyerlah.

Hakikatnya, sifat ketaasuban itu lahir, kesan daripada mengindoktrinasikan sesuatu fahaman atau pegangan yang dipercayai betul dan fahaman lain adalah salah oleh pendukung fahaman tersebut.

Merujuk kepada Pusat Rujukan Persuratan Melayu, perkataan taasub adalah berkaitan dengan pegangan atau keyakinan keterlaluan terhadap sesuatu atau seseorang, manakala perkataan bodoh bermaksud sukar mengerti atau mempelajari sesuatu, sombong dan tidak cerdik, enggan menerima fikiran orang lain serta membiarkan dirinya menjadi bodoh atau diperbodohkan.

Bagi perspektif psikologi, bersifat taasub menzahirkan watak-watak seperti keterlaluan, melampau, tidak boleh terima kritikan, tidak rasional, ekstrem dan sangat radikal terhadap sesuatu perkara atau pegangan kepercayaan mereka.

Menurut Mohamad Kamil Ab Majid menerusi artikelnya, Fanatik dan Taksub Dalam Islam; Analisis Pandangan Al-Qaradawi menjelaskan - "Sikap fanatik dan taksub adalah sikap tertutup terhadap pandangan lain yang berbeza dan berusaha meniadakannya. Sikap sebegini adalah pembawaan yang memandang hanya diri atau kumpulan sendiri sahaja yang betul, manakala pihak lain adalah salah, malah secara berani menuduh pihak berlainan pendapat sebagai jahil dan bodoh. Pihak yang tidak menurut pemikirannya dianggap fasiq dan derhaka.

PEMBENCI TIDAK BAHAGIA

Adalah jelas, sikap taasub berkait rapat dengan kebencian. Mengulas hal tersebut, Pak Hamka menerusi bukunya, Tasauf Moden - "Sekiranya kita melihat alam atau manusia dengan mata kebencian, tidak akan terdapat dalam alam barang yang tidak tercela. Matahari begitu berfaedah membawa terang. Orang pembenci tak dapat menghargai matahari lantaran panasnya.

"Bulan begitu indah dan nyaman. Orang pembenci hanya ingat bahawa bulan itu tidak tetap memberi cahaya, kadang-kadang kurang. Bagi pembenci tidak ada kebahagiaan. Tidak ada pengarang yang pintar, tidak ada pemimpin yang bijak, tidak ada manusia yang baik, semuanya ada cacatnya.

"Lain halnya dengan orang yang memandang alam atau manusia dengan cinta. Kalau ada celanya, dia tidak mempedulikan cela atau kalau dipedulikannya juga, bukan dihina dan direndahkannya tetapi diperbaiki sekadar tenaganya, dengan tidak melupakan bahawa dirinya sendiri pun penuh cela."

Sesungguhnya, sikap taasub terhadap sesuatu pegangan, kelompok dan individu tertentu membolehkan kita diperbodohkan kerana hanya mendengar tanpa selidik serta bahas.

Walhal kita dikurniakan akal untuk berfikir dalam mencari kebenaran. Berkaitan hal tersebut, ALLAH SWT berfirman: "Dan ALLAH mengeluarkan kamu daripada perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatu pun, dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran) supaya kamu bersyukur.” (Surah al-Nahl, 16:78).

Ingatlah, kita tidak akan memperoleh kebenaran jika hanya bersandarkan emosi. Setiap kebenaran adalah hasil daripada keikhlasan, keterbukaan dan berasaskan disiplin ilmu yang betul.

Benarlah kata Carl Jung, seorang ahli psikologi ulung bahawa: "Berfikir itu payah, kerana itulah ramai yang menghakimi."

Oleh itu, jauhi taasub kerana memenangkan pemimpin yang tahu menghasut, namun tidak bekerja untuk rakyat.

* Profesor Dr Huzili Hussin ialah Profesor Psikologi Kaunseling, Fakulti Perniagaan dan Komunikasi, Universiti Malaysia Perlis

Klik di sini untuk terus membaca