BEBERAPA orang penduduk di bandar Mykolaiv, selatan Ukraine berhampiran wilayah Kherson yang merupakan laluan ke Crimea dan dikuasai Moscow berasa ragu-ragu bahawa Rusia benar-benar telah mengundurkan askar-askarnya.
Sebelum ini, jeneral-jeneral tentera Rusia mengarahkan askar-askar negara itu untuk meninggalkan benteng utama pertahanan selatannya dan kedudukan lain di tebing barat Sungai Dnipro yang terpanjang di Ukraine serta mengalir ke Laut Hitam.
Pada awal bulan ini, dalam langkah mengejut, Menteri Pertahanan Rusia, Sergei Shoigu memberitahu seorang komander Rusia di Ukraine, Sergei Surovikin untuk mula membawa keluar tentera dari Kherson ke wilayah Rusia menyebabkan pengunduran tentara dilakukan pada 10 November lalu.
Surovikin juga dilaporkan berkata bahawa seramai 115,000 orang awam juga telah dipindahkan keluar dari bandar pelabuhan Kherson sebelum tentera Ukraine mula melakuan pengeboman manakala Kiev mendakwa pemindahan tersebut dilakukan mengikut cara yang telah digunakan ketika era Kesatuan Soviet.
Ukraine pernah menganggotai Kesatuan Soviet tetapi kemudian bertindak keluar dari kesatuan itu pada tahun 1991 berikutan 'empayar' komunis tersebut mengalami keruntuhan dan kini lebih dikenali sebagai Rusia.
Tentera Rusia mula melancarkan serangan ke atas wilayah Kherson dari Crimea pada 24 Februari lalu dan dalam tempoh beberapa hari, bandar pelabuhan Kherson didakwa Moscow berjaya ditawan pada 2 Mac lalu.
Namun, tentera Ukraine melancarkan serangan balas pada Ogos lalu untuk menawan semula Kherson dengan tentera Ukraine menggunakan artileri berketepatan tinggi yang dibekalkan Barat sehingga menawan jambatan merentasi Sungai Dnipro ke Kherson.
Presiden Rusia, Vladimir Putin kemudian berusaha untuk mendapatkan kawalannya dengan menganjurkan referendum di Kherson dan tiga wilayah lain untuk menyertai Rusia pada September lalu dan keputusannya ialah penduduk di keempat-empat wilayah berkenaan bersetuju bergabung dengan Moscow.
Putin kemudian secara rasmi menggabungkan empat wilayah dalam satu majlis besar yang diadakan di Kremlin dan mengisytiharkan bahawa penduduk Kherson, Zaporizhzhia, Lugansk dan Donetsk akan menjadi warga Rusia buat selama-lamanya.
Bagaimanapun, pengunduran tentera yang dilakukan pada 10 November lalu telah menimbulkan syak dalam kalangan pemimpin Ukraine dan beberapa orang di bandar Mykolaiv sekali gus meragui tindakan Moscow itu.
"Kenapakah mereka hanya bangun dan pergi selepas mempertahankannya dengan sekuat tenaga. Ia tidak masuk akal dalam fikiran saya?" soal seorang mekanik, Igor Kosorotov, 59.
Kosorotov pasti Rusia akan memusnahkan Kherson sebelum membenarkan tentera Ukraine mengambilnya semula.
Banyak bangunan tinggi yang dibina pada era Kesatuan Soviet dengan tingkap-tingkapnya diterbangkan dan kesan jelaga akibat serangan udara manakala pinggir bandar tersebut dipenuhi dengan sisa berkarat kenderaan-kenderaan perisai tentera Rusia yang cuba dan gagal menawan bandar itu pada akhir Februari.
"Bagaimanakah anda boleh mempercayai sesuatu yang mereka (tentera Rusia) katakan?" soal seorang pemandu, Volodymyr Vypritskiy, 55, di bandar Mykolaiv seperti dilaporkan oleh AFP.
MISTERI PENGUNDURAN
Ramai penduduk di bandar tersebut tidak mengetahui bahawa Rusia telah mengarahkan tenteranya keluar dari Kherson kerana Ukraine telah mengharamkan televisyen Rusia dan menggesa orang ramai supaya tidak mempercayai perkataan yang keluar dari Moscow semasa perang berlaku.
Ini telah menimbulkan syak wasangka bahawa berita tentang pengunduran itu adalah sebahagian daripada sejenis kempen maklumat salah yang dibuat Rusia.
Seorang kerani kedai, Svitlana Kyrychenko berkata, dia tidak pernah mendengar pengumuman Moscow tentang pengunduran tentera tersebut tetapi mempunyai rakan yang memberitahunya bahawa Rusia sebenarnya bertindak menguatkan Kherson.
"Saya mempunyai kawan yang mempunyai kawan di Kherson dan dia berkata bahawa terdapat lebih ramai askar Rusia di Kherson," ujarnya yang berusia 54 tahun seperti dilaporkan oleh AFP.
Ukraine mengumumkan pada Khamis bahawa tenteranya telah menawan semula sejumlah kampung di seluruh wilayah yang meliputi lebih 200 kilometer persegi di sekitar bandar Kherson tetapi ia masih tidak jelas sama ada Rusia telah meninggalkan bandar itu.
Namun, pengunduran itu menyebabkan Putin menerima tamparan hebat kerana beliau sebelum ini mengumumkan penguasaan Rusia ke atas Kherson dan tiga lagi wilayah Ukraine menerusia referendum yang ditolak oleh masyarakat antarabangsa.
Tanpa Kherson, sukar bagi Moscow untuk meneruskan serangannya ke arah bandar Mykolaiv dan pelabuhan Laut Hitam, Odessa. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca