BARU-baru ini, lebih 200,000 pengguna tegar terjejas dengan gangguan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) apabila 16 stesen perkhidmatan dari laluan Kelana Jaya hingga Ampang Park digantung operasi selama tujuh hari bermula Rabu hingga... Klik di sini untuk terus membaca

BARU-baru ini, lebih 200,000 pengguna tegar terjejas dengan gangguan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) apabila 16 stesen perkhidmatan dari laluan Kelana Jaya hingga Ampang Park digantung operasi selama tujuh hari bermula Rabu hingga 15 November depan.

Susulan masalah itu, hampir semua laluan masuk ke ibu negara sesak dan ada beberapa mangsa yang terperangkap di stesen LRT selama berjam-jam lamanya.

Bukan itu sahaja, ada yang mendakwa alternatif perkhidmatan awam lain seperti Bas Rapid menjadi sangat padat dan orang ramai terpaksa menunggu lama bergantung kepada kekerapan bas yang tersedia di situ.

Pada tahun lalu, isu LRT pernah menjadi peristiwa hitam yang menggemparkan negara disebabkan insiden pertembungan dua tren yang telah menyebabkan 260 penumpang cedera dengan 47 daripadanya parah.

Insiden demi insiden membabitkan perkhidmatan LRT itu sekali gus mencatatkan sejarah terburuk sepanjang hampir 25 tahun perkhidmatan operasi pengangkutan awam itu di negara ini.

Persoalannya, dengan usia LRT di Lembah Klang sudah memasuki tempoh 25 tahun, adakah LRT sudah dianggap sebagai pengangkutan awam tua di Malaysia yang tidak lagi efisien?

ISU SELENGGARA

Pakar jurutera, Ir Muhammad Lukman Al Hakim Muhammad berpendapat, masalah penyelenggaraan dan tiada penambahbaikan dalam sistem yang diguna pakai merupakan faktor utama yang mungkin menyebabkan operasi LRT tidak proaktif.

"Saya merasakan ia mungkin berpunca daripada masalah penyelenggaraan yang seharusnya dibuat secara berkala dan disemak pihak luar bagi memastikan kebolehpercayaan (reliability) sistem ini.

"Keduanya, Sistem Kawalan Tren Automatik (ATC) ini juga telah beroperasi selama 25 tahun. Maka, sepatutnya terdapat perancangan yang menggariskan bila sesuatu sistem itu akan tamat tarikh luput (obsolete) dan perlu dinaik taraf,” katanya kepada Sinar Premium.

Tambahnya, kelestarian sesebuah sistem itu bergantung kepada reka cipta yang betul, sistem penyelenggaraan yang lengkap, sistem pemulihan yang berkesan dan modal insan yang berkemahiran.

"Pada pendapat saya, Prasarana perlu menaik taraf sistem perisian baharu dan semak semula sistem lama yang mungkin sudah tamat tempoh. Sistem ATC ini mungkin sudah terlalu lama dan jika tidak ditambah baik, ia boleh menyebabkan berlakunya kerosakan.

"Kedua, mengapa perlu menunggu pasukan pakar dan jurutera luar negara, Thales Group dari Kanada dan tidak melatih pasukan teknikal tempatan untuk berhadapan dengan situasi seperti ini? Negara kita tidak pernah kekurangan kepakaran kejuruteraan dalam kalangan anak-anak muda tempatan,” jelasnya.

Muhammad Lukman berkata, bagi peralatan elektronik atau perisian yang berteknologi tinggi seperti ATC, kegagalan untuk mengetahui punca masalah teknikal yang dihadapi bukanlah sesuatu yang luar biasa.

"Berdasarkan pengalaman saya, boleh sahaja sesuatu kegagalan teknikal itu tidak diketahui punca yang khusus terutama jika melibatkan peralatan elektronik atau perisian yang berteknologi tinggi.

"Ia mungkin mengambil masa yang panjang untuk disiasat dan ditentukan secara tuntas namun, aspek pemulihan sesebuah sistem haruslah efektif dan diuji secara berkala bagi mengelakkan gangguan perkhidmatan yang begitu lama sehingga menjejaskan imej dan kewibawaan Prasarana Malaysia,” ujarnya.

ATC STABIL

Dalam pada itu, pakar strategi pengangkutan mampan Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina UKM, Profesor Datuk Ir Dr Riza Atiq Orang Kaya Rahmat, menafikan sistem ATC itu tidak stabil, namun perlu ada penambahbaikan dalam sistem operasi dan perisian.

"ATC masih stabil kerana sudah berpuluh tahun digunakan. Namun, sistem operasi dan perisian yang terlalu lama perlu dinaik taraf. Sistem komunikasi yang menggunakan fiber optik boleh rosak atau terputus ketika banjir jika ia sudah lama.

"Kedua, tidak mustahil sistem perisian boleh digodam jadi ia memerlukan pemantauan yang menyeluruh dan operasi yang kompeten. Sensor yang cekap dengan kekerapan 90 minit untuk satu tren amat penting untuk mengelakkan pelanggaran berlaku,” katanya.

Selain itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Metro System Academy, Dr Mohd Fahmy Abdullah berkata, sistem sandaran (back up system) juga diperlukan bergantung kepada jenis perkhidmatan rel yang digunakan dari segi kelajuan, landasan dan teknologi.

"Apa sahaja sistem yang digunakan, kita perlu memastikan teknologi itu selamat, boleh dipercayai dan tidak ditelan zaman. Teknologi yang digunakan itu mestilah seiring dengan masa agar tidak memberi kesukaran kepada kita untuk mengenal pasti punca masalah sekiranya terdapat gangguan teknikal.

"Sistem pengangkutan perlu bersepadu bukan sahaja pengangkutan LRT tetapi pengangkutan bas,” tambahnya.

Klik di sini untuk terus membaca