SEREMBAN - Meskipun masih berbaki seminggu untuk hari pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), namun tinjauan Sinar Ahad mendapati, warga Negeri Sembilan sudah tahu siapa yang bakal dipilih untuk menjadi wakil rakyat mereka.
Berdasarkan tinjauan, kriteria utama yang menjadi pilihan mereka ialah memilih calon berdasarkan latar belakang parti.
Pemandu teksi C Nadaraja, 70, berkata, selama tiga penggal dia mengundi parti yang sama dan masih yakin parti itu mampu mentadbir negara dengan baik.
"Saya dah bersedia nak mengundi dan semestinya saya akan pangkah calon daripada parti yang saya sokong selama ini.
"Saya akan memberi keutamaan kepada parti tersebut kerana parti yang kukuh dan stabil akan menubuhkan kerajaan. Saya rasa negara kita memerlukan perubahan supaya tidak terus ketinggalan," katanya.
Pemandu teksi, Obama Wilson, 57, yang tinggal di Seremban Jaya berkata, dia akan memilih parti yang akan dapat memperjuangkan nasib rakyat.
Katanya, walaupun 22 bulan memerintah sebelum ini, banyak perubahan telah dibuat oleh parti tersebut.
"Sudah tentu saya akan keluar mengundi bagi memastikan parti pilihan saya dapat mengambil alih kerajaan," katanya.
Warga emas, Kamarul Bahrin Abdul wahab, 76, pula berkata, dia sudah bersedia untuk mengundi dan tidak sabar melaksanakan tanggungjawabnya pada 19 November ini.
Penduduk Pekan Kota, Rembau itu berkata, sejak dahulu lagi dia mengundi parti yang sama dan ia tidak akan berubah.
"Saya juga akan pastikan kemenangan memihak kepada parti yang saya pilih," katanya.
Begitu juga dengan peniaga You Yoe Lan, 60, yang akan terus kekal mengundi calon dari parti yang menjadi pilihannya sejak dahulu lagi.
Namun dia juga tidak menafikan pemilihan calon juga ada kaitan dengan manifesto yang ditawarkan.
Pengundi muda, Syahidah Omar, 25, berkata, tidak sabar untuk pergi mengundi kerana ia merupakan pengalaman pertamanya.
Malah sejak awal lagi dia sudah tahu mahu menyokong parti mana dan mengharapkan pilihan itu adalah tepat.
Bagi Mohamad Nordin, 32, pula, kriteria seseorang calon itu menjadi keutamaan berbanding memilih parti.
"Saya tidak akan pilih jika calon itu bukan anak tempatan. Manifesto juga main peranan dan jika calon itu gagal melaksanakannya, pilihan raya akan datang, saya tidak akan pilihnya lagi," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca