MAKIN dekat pilihan raya, makin sakan Belalang tengok calon-calon bergerak masuk kampung dan ceruk rantau bertemu pengundi.
Walaupun Belalang perhatikan perang poster tidak sehebat dan serancak pilihan raya-pilihan raya sebelum ini tapi hakikatnya, para calon telah berikhtiar dalam pelbagai cara dan bentuk untuk menawan hati pengundi.
Belalang menerima kiriman gambar dan video yang menunjukkan ada calon tiba-tiba jadi mekanik. Ada yang masak kuih-muih, jadi doktor gigi, edar kangkung percuma dan yang paling menakjubkan ada yang angkat tandan buah sawit.
Setahu Belalanglah, yang berupaya mengangkat tandan sawit ni ialah pekerja dari Indonesia sahaja. Pekerja Bangladesh pun tak upaya nak cedok dan angkat tandan sawit.
Tapi ada seorang calon ini, tiba-tiba dia berupaya mengangkat tandan sawit. Memang tak sangka sungguh dia berupaya melakukannya.
Pendek cerita, yang dinamakan calon pada musim pilihan raya ini, mereka bukan sahaja sanggup, malah berkeupayaan melakukan apa sahaja.
Di sesetengah tempat yang Belalang sempat singgah, Belalang saksikan ada calon buat cabutan bertuah dengan hadiah TV bersaiz 50 inci, hadiah barangan elektrik, malah hadiah utama ialah motosikal 110cc.
Semuanya dibuat atas nama majlis bersama rakyat atau majlis prihatin rakyat.
Maka yang datang pun berderu-deru kerana inginkan hadiah-hadiah berkenaan.
Namun dalam FB, calon yang terlibat dengan majlis berkenaan menyebut sambutan orang ramai terhadap partinya semakin bertambah dan makin kuat.
Jawab Belalang, macam mana orang tak ramai kerana hadiah-hadiah yang ditawarkan menjadi 'kegilaan' orang kampung. Itu adalah barang keperluan harian mereka.
Maka penuhlah satu padang bola dengan orang ramai menanti cabutan bertuah bukan nak dengar ceramah. Tapi dalam FB cakap sokongan ke atas parti mereka semakin kuat.
Macam-macam parti politik memanipulasi keadaan. Orang ramai dan orang kampung pun yang menganggap ini semua sebagai satu pesta riang ria sudah tentulah menanti saat ini untuk bergembira.
Lagipun tak kiralah mat rempit ka, makcik-makcik ka, pakcik-pakcik ka, siapa yang tak suka dapat hadiah percuma?
Apa yang perlu mereka lakukan ialah menghadirkan diri di padang bola tempat majlis ramah mesra itu diadakan.
Ini belum dikira lagi setiap mereka yang mengiringi kedatangan VIP dengan motosikal akan menerima upah sebanyak RM50 atau RM100 sekepala.
Ia adalah amalan biasa setiap kali pilihan raya walaupun tidak ada mana-mana pihak pun yang mengakuinya.
Dan muka-muka yang sama mengambil bahagian dalam perarakan bermotosikal ini akan turut mengambil bahagian atau 'ambil upah' dalam majlis yang dianjurkan oleh parti lain pula. Dan begitulah seterusnya.
Dalam erti kata lain, lagi ramai calon atau parti yang masuk bertanding, lagi meriah aktiviti mat-mat moto berkenaan kerana ia menjadi sumber pendapatan sampingan dalam tempoh dua minggu ini.
Belalang - Hanya pandai menaip saja...
Klik di sini untuk terus membaca