SHAH ALAM - Sebanyak 76 peratus atau 860 daripada responden dalam talian Sinar Ahad sudah mempunyai keputusan untuk mengundi calon pilihan mereka bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang berlangsung pada 19 November ini. Ia berdasarkan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Sebanyak 76 peratus atau 860 daripada responden dalam talian Sinar Ahad sudah mempunyai keputusan untuk mengundi calon pilihan mereka bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang berlangsung pada 19 November ini.

Ia berdasarkan undian secara online yang dilakukan Sinar Ahad bagi tempoh 24 jam bermula pada Jumaat, melibatkan 1,126 responden di platform Twitter dan Instagram.

Undian itu juga mendapati seramai 903 pengundi di Twitter memilih jawapan berkenaan, manakala di Instagram pula seramai 229 pengundi turut menyatakan keputusan yang sama.

Selain itu, sebanyak 45 peratus responden memilih calon sebagai kriteria utama mereka dalam pilihan raya kali ini diikuti faktor parti iaitu sebanyak 27 peratus.

Aspek kriteria tersebut menyaksikan secara keseluruhan seramai 1,022 pengundi mengambil bahagian dalam undian untuk mengetahui apa yang menjadi pilihan rakyat Malaysia apabila mengundi nanti.

Kriteria isu pula mendapat undian sebanyak 13.2 peratus, manakala pilihan paling rendah dipilih responden adalah manifesto.

Sementara itu, sebanyak 86.5 peratus daripada 1,138 keseluruhan responden telah menyatakan hasrat untuk keluar menunaikan tanggungjawab pada 19 November nanti, manakala 13.5 peratus pula memberi jawapan tidak akan mengundi.Sinar Ahad mengambil inisiatif dengan membuat undian berkenaan bagi melihat ‘mood’ serta pilihan pengundi selepas berakhirnya minggu pertama kempen PRU15.

Undian yang dilakukan di platform Twitter dan Instagram itu merangkumi tiga soalan iaitu kriteria utama yang menjadi pilihan, keputusan pengundi mengenai calon pilihan dan pilihan sama ada ingin keluar atau sebaliknya pada hari mengundi nanti.

Selain kaji selidik ini, pada September lalu, lima media pelbagai bahasa iaitu Sinar Harian, Astro Awani, The Star, Sin Chew Daily dan Malaysia Nanban turut berkolaborasi mengadakan Kaji Selidik Suara Rakyat Malaysia Menuju PRU15.

Kaji selidik mega yang berakhir 9 Oktober lalu itu telah mendapat kerjasama daripada tiga firma penyelidik yang terlibat seperti Ilham Centre, Huayan Policy Institute Centre dan O2 Research Malaysia (O2).

Klik di sini untuk terus membaca