SHAH ALAM - Berbaki seminggu lagi sebelum hari pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 19 November ini, masih ramai pengundi di luar negara merungut belum menerima kertas undi pos. Pelajar perubatan tahun keenam di Kursk State Medical... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Berbaki seminggu lagi sebelum hari pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 19 November ini, masih ramai pengundi di luar negara merungut belum menerima kertas undi pos.

Pelajar perubatan tahun keenam di Kursk State Medical University, Rusia, Diyana Natasha Zaini, 27, melahirkan kerisauan ekoran belum mendapat sebarang maklum balas daripada Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) berhubung kertas undi posnya.

"Saya dan beberapa orang rakan belum menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada perkhidmatan kurir tentang status kertas undi tersebut.

"Saya risau sekiranya ia sampai lewat, kami tidak sempat mengundi. Ibaratnya hak saya sebagai rakyat Malaysia ditarik atas kesalahan orang lain, sedangkan saya telah bertanggungjawab.

DIYANA NATASHA

"Walaupun tidak berada di Malaysia ketika ini, undian kami masih bermakna untuk masa depan negara,” katanya kepada Sinar Ahad.

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Filem dan Media di University of Newcastle, Muhammad Afdhal Syimir Samat Yahya, 22, turut meluahkan kegusaran sekiranya tidak dapat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi bagi memilih wakil rakyat.

Apatah lagi katanya, tahun ini adalah kali pertama dia mengambil bahagian dalam proses demokrasi itu.

MUHAMMAD AFDHAL

"Saya semestinya risau jika kertas undi pos saya sampai lewat kerana usaha menjalankan tugas sebagai rakyat Malaysia akan menjadi sia-sia hanya kerana isu penghantaran," ujarnya.

Wan Natasha Wan Abdul Aziz, 26, pula berkata, kelewatan penerimaan kertas undi pos akan merugikan pengundi kerana undi tersebut tidak akan dikira.

"Setakat ini, saya belum terima respon daripada SPR sama ada melalui e-mel atau mesej dan saya bimbang jika tidak sempat mengundi kerana tempoh masa untuk mengepos kertas tersebut dari sini ke Malaysia juga akan mengambil masa beberapa hari.

WAN NATASHA

"Sekiranya kertas undi sampai selepas tarikh mengundi, rugilah undian rakyat Malaysia di luar negara,” ujarnya yang sedang mengambil lesen penerbangan di Czech Republic.

Sementara itu, pelajar di University of Leeds, United Kingdom, Muhamad Azim Kamarudin berkata, maklum balas terakhir berkaitan kertas undi posnya adalah pada 22 Oktober lalu, memaklumkan bahawa permohonannya diluluskan dan akan dihantar ke alamat yang ditetapkan.

Bagaimanapun, sehingga Sabtu, dia belum menerima sebarang respon daripada SPR berkaitan kertas undi.

MUHAMAD AZIM

"Sejujurnya, saya amat bimbang jika kertas tersebut sampai lambat kerana ia akan menyebabkan undi saya tidak dikira dan tidak dapat memilih pucuk pimpinan parti yang diinginkan.

"Perkara ini amat bercanggah dengan sistem perundangan negara yang memberikan hak penuh kepada rakyat untuk memilih pemimpin yang bakal menerajui kepimpinan negara pada masa depan,” jelasnya.

Untuk makluman, Sinar Ahad telah menghubungi Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh namun tidak mendapat sebarang maklum balas berhubung perkara itu.

Klik di sini untuk terus membaca