SHAH ALAM - Bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof mengakui isu pengundi luar negara lewat menerima kertas undi pos pernah berlaku sebelum ini disebabkan pelbagai faktor.
Jelas Abdul Aziz, antara punca berlakunya kelewatan tersebut ialah pengundi tidak mengemas kini alamat terbaharu mereka kepada Pejabat Kedutaan Malaysia di negara yang didiami.
"Masalah sebegini jarang dialami pegawai atau kakitangan kedutaan atau pekerjaan kerajaan yang bertugas di luar negara kerana mereka mempunyai alamat tetap.
"Kebiasaannya isu lewat terima kertas undi pos bagi mereka yang tinggal di luar negara membabitkan pelajar atau mereka yang bekerja disebabkan mungkin tidak mengemas kini alamat semasa.
"Apabila mereka tidak memaklumkan kepada pejabat kedutaan mengenai alamat terbaharu ini inilah biasanya berlaku kelewatan mendapat kertas undi pos,” katanya kepada Sinar Ahad.Sinar Harian pada Sabtu melaporkan beberapa warganegara Malaysia yang berada di luar negara resah apabila mendakwa masih belum menerima kertas undi pos untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Lebih membimbangkan apabila ada antara mereka hanya akan menerima kertas undi itu pada 19 November iaitu tarikh hari mengundi.
Sehubungan itu, mereka menuntut SPR memberi penjelasan berhubung perkara tersebut agar dapat merungkai permasalahan berkenaan.
Sementara itu, ditanya mengenai kemungkinan individu yang lewat menerima kertas undi pos tidak sempat mengundi, Abdul Aziz menjelaskan kertas undian itu perlu tiba di pusat penjumlahan undi mengikut tempoh ditetapkan iaitu selewat-lewatnya jam 5 petang 19 November.
Klik di sini untuk terus membaca