WAKTU pilihan raya adalah musim durian runtuh bagi banyak pihak. Banyak wang dibelanjakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan parti-parti politik sehinggakan dengan sendirinya memberi kesan kepada ekonomi. SPR dianggarkan membelanjakan lebih... Klik di sini untuk terus membaca

WAKTU pilihan raya adalah musim durian runtuh bagi banyak pihak. Banyak wang dibelanjakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan parti-parti politik sehinggakan dengan sendirinya memberi kesan kepada ekonomi.

SPR dianggarkan membelanjakan lebih sedikit RM1 bilion berbanding RM500 juta untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan kira-kira RM400 juta bagi PRU13.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh dilaporkan berkata, perbelanjaan lebih besar itu termasuklah bagi menampung peningkatan bilangan pengundi, sekali gus menyebabkan berlakunya pertambahan pusat mengundi dan saluran mengundi, petugas pilihan raya serta pembelian peralatan.

Seramai 945 calon mendaftar untuk bertanding kerusi Parlimen dan 441 Dewan Undangan Negeri (DUN).

Setiap calon Parlimen dikenakan pertaruhan RM10,000 manakala DUN sebanyak RM5,000 menjadikan jumlah pertaruhan calon Parlimen RM9.45 juta dan 441 calon DUN sebanyak RM2.2 juta.

Deposit bahan kempen RM5,000 bagi calon Parlimen dan RM3,000 calon DUN yang memberikan jumlah RM4.72 juta untuk Parlimen serta RM1.32 juta bagi DUN.

Wang pertaruhan itu bukanlah pendapatan kerajaan, kecuali calon kalah teruk hingga hilang pertaruhan.

Had perbelanjaan calon dibenarkan SPR sebanyak RM200,000 bagi kerusi Parlimen dan RM100,000 untuk DUN, menjadikan jumlah bagi Parlimen adalah RM189 juta dan DUN sebanyak RM44.1 juta.

PERBELANJAAN BESAR

Yang lebih menarik dan menjadi durian runtuh adalah perbelanjaan tambahan oleh parti politik serta calon. Lagi besar dan kaya sesebuah parti, lagi banyaklah duit akan dibelanjakan.

Selama ini parti paling makmur ialah UMNO dan gabungannya, Barisan Nasional (BN) tetapi sejak kalah pada PRU14, tidak mustahil sumber kewangannya telah berkurangan.

Bagi parti itu, berbelanja beberapa juta ringgit bagi setiap kerusi yang ditandingi adalah perkara biasa.

Satu lagi aspek ekonomi berkait terus dengan kewangan pilihan raya adalah sumbangan politik oleh usahawan, syarikat swasta malah syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC), sama ada dalam bentuk tunai, barang-barang atau tajaan.

Itu ekonomi daripada aspek perbelanjaan pilihan raya. Ada banyak lagi aspek ekonomi kepada pilihan raya seperti janji parti-parti yang bertanding mengenai ekonomi dan reaksi pelabur.

Namun, ekonomi nampaknya bukanlah tajuk kegemaran bagi parti politik dan calon bertanding.

Sebenarnya hal berkaitan ekonomilah sepatutnya menjadi agenda utama kerana begitu ramai rakyat sedang ditekan oleh isu-isu ekonomi, malah ekonomi global diramalkan jatuh teruk tahun depan.

Misalnya, ketika ahli politik menjanjikan kesenangan di dunia dan kebahagiaan di akhirat jika mengundi mereka, Bank Negara dengan selamba meneruskan dasarnya menaikkan kadar dasar semalaman (OPR).

Tindakan itu tentulah membebankan orang ramai yang berhutang dengan bank, selain harga barang juga akan turut naik.

Pilihan raya mempunyai dinamiknya sendiri dari sudut ekonomi dan kewangan.

Contohnya, sejak Parlimen dibubarkan 10 Oktober lalu, kadar tukaran ringgit berbanding dolar Amerika merosot lagi teruk.

PELABUR

Apabila Parlimen dibubarkan, kita perlukan RM4.65 untuk beli satu dolar Amerika tetapi pada hari penamaan calon, untuk satu dolar Amerika, kita kena bayar RM4.75. Pada Jumaat, 11 November, ringgit mengukuh sedikit kepada RM4.70.

Tiga atau empat PRU lalu, harga saham di Bursa Malaysia melambung apabila Parlimen bubar dan PRU diumumkan. Saham berkaitan UMNO (UMNO-linked counters) akan naik menggila.

Pelabur yakin BN akan kembali berkuasa. BN adalah faktor menggalakkan (bullish factor) tetapi kini tidak lagi.

Kesimpulannya, SPR terpaksa menggunakan lebih banyak duit cukai kita untuk membiayai PRU yang lebih besar.

Kesannya kepada ekonomi dan masa depan negara tidak terjamin jika kita tidak keluar mengundi serta parti-parti politik kabur mengenai program ekonomi.

Justeru, amat penting kepada pengundi, khususnya pemilih muda agar keluar mengundi untuk memilih kerajaan yang bersih dan tahu uruskan ekonomi.

Janji kesejahteraan dan kemakmuran sahaja tidak bermakna tanpa dasar serta program ekonomi yang praktikal.

Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara

Klik di sini untuk terus membaca