MINGGU ini adalah minggu terakhir kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan berdepan hari pe-nentuan pada 19 November ini. Kira-kira 21 juta rakyat Malaysia akan mempunyai akses untuk menentukan masa depan negara selama lima tahun... Klik di sini untuk terus membaca

MINGGU ini adalah minggu terakhir kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan berdepan hari pe-nentuan pada 19 November ini.

Kira-kira 21 juta rakyat Malaysia akan mempunyai akses untuk menentukan masa depan negara selama lima tahun akan datang.

Oleh sebab penambahan pengundi begitu besar, sebahagian pemerhati dan penganalisis politik sukar membuat jangkaan siapa akan memenangi PRU15.

Malah, kebanyakan badan penyelidik memberi peluang sama rata antara Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) untuk memenangi pilihan raya kali ini.

PRU15 sepatutnya menjadi platform untuk BN kembali berkuasa dengan selesa berikutan kedudukannya sebagai parti pemerintah dan persepsi negatif terhadap PH.

BN sepatutnya memasuki PRU15 dengan selesa dan akan memenangi sekitar 90 kerusi susulan kejayaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memulihkan negara, meningkatkan indikator ekonomi, mengurangkan pengangguran dan menambah subsidi bagi meringankan beban rakyat.

Namun, beberapa hari sebelum penamaan calon, BN kelihatan mensabotaj diri sendiri apabila menggugurkan ramai menteri dan timbalan menteri yang dijangka mampu mengekalkan kerusi masing-masing. Mereka diganti dengan watak-watak yang diragui dapat mengekalkan kemenangan lalu.

Pengguguran mereka yang dilihat sebagai kem Ismail Sabri sangat mengejutkan kumpulan rakyat celik politik dan menimbulkan polemik, adakah Ismail Sabri akan kembali sebagai Perdana Menteri?

Polemik itu akhirnya memaksa pelbagai lapisan kepimpinan UMNO dan BN tampil mengulangi ikrar bahawa Ismail Sabri akan dicalonkan sebagai Perdana Menteri jika parti tersebut menang.

Susulan krisis kecil yang dicetuskan UMNO, PN mula mendapat ruang lebih besar dalam kalangan pengundi Melayu. Kekangan terbesar ikatan politik itu adalah terlalu bergantung kepada personaliti Tan Sri Muhyiddin Yassin, namun dengan dukungan Pas, PN kelihatan mampu menjadi ‘kuda hitam’ dalam perlumbaan tersebut.

Jika Pas berjaya mengekalkan pengaruh mereka di Kedah, Kelantan dan Terengganu, tidak mustahil PN akan mempunyai kerusi agak signifikan untuk menjadi salah sebuah kuasa baharu politik negara.

Walaupun ada usaha memulihkan imej PH dalam kalangan orang Melayu lontaran idea jajaran baharu, namun parti tersebut dijangka tidak mendapat sokongan sebesar PRU14.

DEFISIT KEPERCAYAAN

Bukan sahaja orang Melayu, PH juga berdepan defisit kepercayaan dalam kalangan masyarakat Cina dan India yang mengundi mereka pada PRU lalu.

Prestasi PH mungkin akan lebih teruk jika BN dan PN bekerjasama. Namun, kegagalan kerjasama itu kembali membuka peluang kepada parti tersebut kekal sebagai salah sebuah parti yang akan memenangi jumlah kerusi agak signifikan.

Dalam pada itu, Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa meramalkan ekonomi dunia akan berdepan cabaran lebih besar tahun depan. Sebagai sebuah negara kecil, Malaysia memerlukan kestabilan dan kesinambungan polisi yang boleh berdepan tekanan ekonomi itu.

Pengumuman jumlah pertumbuhan ekonomi suku ketiga tahun ini sebanyak 14.2 peratus menunjukkan trend pemulihan di bawah pentadbiran Ismail Sabri bukan sekadar omongan kosong.

Ia adalah peningkatan berterusan sejak suku keempat 2021 yang mencatatkan pertumbuhan 3.6 peratus, diikuti lima peratus suku pertama 2022 dan 8.9 peratus suku kedua 2022.

Secara keseluruhan, pertumbuhan ekonomi negara dari Januari hingga September lalu mencatatkan kadar 9.3 peratus, manakala kadar pengangguran terus berkurangan kepada 3.6 peratus berbanding 4.6 peratus pada Ogos 2021.

Majoriti penganalisis dan penyelidik politik negara hampir seia sekata menyatakan tiada parti akan mendapat majoriti mudah. Sebuah kerajaan campuran adalah anggaran paling realistik.

Tidak mustahil, keputusan pembentukan kerajaan tidak akan dapat diputuskan secepat mungkin seperti kebanyakan PRU lalu kecuali PRU14.

Justeru, satu-satunya harapan untuk melihat Ismail Sabri boleh terus menerajui pemulihan ekonomi negara adalah dengan memberi undi kepada BN.

Jika BN tidak memenangi kerusi signifikan yang banyak, usaha kumpulan tertentu untuk menjayakan jajaran baharu BN-PH mungkin akan berjaya.

Sabtu ini, kuasa di tangan kita. Gunakanlah sebaik mungkin untuk pemulihan negara.

* Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)

Klik di sini untuk terus membaca