KITA sedang dalam fasa berkempen untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Pelbagai isu telah diutarakan oleh pihak bertanding, bertujuan meraih undi. Berkempenlah dengan hikmah dan baik, elakkan adu domba serta fitnah. Acara penting negara... Klik di sini untuk terus membaca

KITA sedang dalam fasa berkempen untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Pelbagai isu telah diutarakan oleh pihak bertanding, bertujuan meraih undi.

Berkempenlah dengan hikmah dan baik, elakkan adu domba serta fitnah.

Acara penting negara yang diadakan lima tahun sekali itu begitu diraikan, khususnya bagi pengundi pada 19 November ini.

Keputusan PRU15 sangat penting. Ia mungkin bukan keputusan tradisi yang dibuat oleh rakyat dalam acara lima tahun sekali atau seumpama keputusan PRU14.

Apa pun keputusan yang diambil oleh rakyat adalah pilihan rakyat sendiri dan perlu dihormati.

Perubahan kerajaan di peringkat negeri dan Persekutuan jika berlaku, mungkin memberi impak kepada rakyat kerana dasar baharu yang akan diperkenalkan sudah pasti berbeza daripada dasar sedia ada.

Bagi kakitangan kerajaan, mereka tidak perlu bimbang kerana kakitangan kerajaan bekerja dengan kerajaan diberi mandat tanpa mengira parti mana yang memerintah.

Walau pihak mana pun memerintah sebagai kerajaan, pihak tersebut mestilah menjunjung keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undang.

Sebarang perubahan dasar perlulah dilakukan dalam ruang lingkup Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang berkuat kuasa.

Beberapa minggu mendatang ini menjadi sangat menarik dan dinantikan oleh rakyat untuk melihat apakah dasar baharu yang akan diperkenalkan.

Pada masa sama, semua pihak perlu kekal mempromosi keamanan dan memudahkan peralihan kuasa.

FORMASI BLOK

Menariknya, parti kerajaan sebelum pembubaran Parlimen seperti Bersatu dan Pas bersaing dengan rakan kerajaan mereka daripada Barisan Nasional (BN) kali ini.

Jadi, kita perlu melihat formasi blok yang mana akan membentuk kerajaan. Dijangkakan, kerajaan pasca PRU15 tidak sama seperti sebelumnya.

Peralihan tampuk kuasa hendaklah dilakukan dengan aman bagi membolehkan negara terus menikmati kemakmuran. Semua pihak perlu menghormati sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini.

Sudah pasti dalam konteks ini, pemenang akan bergembira dan yang kalah menjadi hiba.

Namun, lebih penting bukan sekadar kegembiraan tetapi melaksanakan janji-janji yang dipalu.

Bagi yang menang, ia adalah taklifan berat untuk melaksanakan janji-janji semasa kempen pilihan raya dan manifesto. Ia bukan suatu tasyrifan atau kemuliaan yang memberikan keistimewaan kepada pemenang-pemenang.

Bagi yang kalah pula, terimalah hakikat kekalahan tersebut dan perbaikilah diri untuk bertanding semula pada PRU akan datang.

Bagi saya sebagai seorang pengundi, saya perlu bijak memilih calon yang boleh menyuarakan kepentingan saya, selain calon memperjuangkan kepentingan agama bangsa dan tanah air.

Bukan calon yang mempunyai kepentingan diri, keluarga atau perniagaan.

NGO LALANG

Sebagai pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) yang tidak mempunyai kepentingan politik, saya sarankan NGO agar kekal non partisan. Mengundi tidak menyebabkan kita bersifat partisan kerana prinsip menegakkan kebenaran itu tetap akan kekal.

Malah, jika yang terpilih itu tersasar daripada perjuangan, pimpinan NGO akan terus memberikan kritikan terhadap mereka. Mungkin ada bercakap NGO seperti lalang kerana sekejap sokong parti A, sekejap sokong parti B. Sebenarnya NGO bukan lalang tetapi melihat sesuatu itu daripada mata helang.

NGO tidak bercelaru tetapi menggarap tindakan baharu supaya kita dapat melihat orang Islam yang bertakwa dan beriman akan duduk di Parlimen serta Dewan Undangan Negeri (DUN). Mereka mewakili kita untuk memartabatkan Islam.

Oleh itu, peranan NGO dalam mengemudi pandangan massa, khususnya ketika musim PRU sangat penting bagi melorongkan kemenangan kepada calon PRU yang benar-benar berjuang untuk rakyat.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)

Klik di sini untuk terus membaca