RANTAU Asia Tenggara menjadi tuan rumah kepada tiga persidangan antarabangsa bermula Sidang Kemuncak ASEAN pada 10 hingga 13 November ini di Phnom Penh, Kemboja; Persidangan Pemimpin Kumpulan 20 atau G-20 di Bali, Indonesia (15-16 November)... Klik di sini untuk terus membaca

RANTAU Asia Tenggara menjadi tuan rumah kepada tiga persidangan antarabangsa bermula Sidang Kemuncak ASEAN pada 10 hingga 13 November ini di Phnom Penh, Kemboja; Persidangan Pemimpin Kumpulan 20 atau G-20 di Bali, Indonesia (15-16 November) dan Sidang Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) pada 18 hingga 19 November ini di Bangkok, Thailand.

Sidang Kemuncak ASEAN, G-20, dan APEC akan berlangsung ketika dunia berdepan pergolakan rantau serta global termasuk perang Rusia-Ukraine, krisis politik di Myanmar serta persaingan strategik semakin tegang antara Amerika Syarikat (AS) dan China.

Pemimpin dunia seperti Presiden AS, Joe Biden dan Presiden China, Xi Jinping serta Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres telah mengesahkan kehadiran mereka.

Namun, Presiden Rusia, Vladmir Putin tidak akan hadir.

Sidang Kemuncak ASEAN kali ini agak berlainan kerana Pengerusi ASEAN 2022 iaitu Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen telah mengundang Menteri Luar Ukraine, Dimytro Kuleba.

Agak menghairankan kerana Hun Sen telah secara lantang mengkritik pencerobohan Rusia dan memberi sokongan kepada kerajaan Ukraine.

Hun Sen ketika bertemu Kuleba di Phnom Penh, menegaskan pengalaman pahit Kemboja akibat peperangan dan pencerobohan menyebabkan beliau bersimpati nasib Ukraine.

Malah, pada peringkat awal Hun Sen mempunyai rancangan untuk mengundang Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy berucap secara atas talian ketika Sidang Kemuncak ASEAN.

Bagaimanapun, rancangan itu terpaksa digugurkan kerana tidak berjaya memperoleh kata sepakat daripada 10 negara ASEAN.

Ia jelas menunjukkan anggota ASEAN berbelah bahagi mengenai isu pencerobohan Rusia terhadap Ukraine.

Bukan semua bersetuju memberi sokongan padu kepada Ukraine kerana bimbang kesan negatif terhadap hubungan dengan Rusia.

Selain itu, adakah usaha menyokong Ukraine sebahagian strategi Hun Sen untuk mengalihkan fokus daripada ketidakupayaan ASEAN di bawah kepimpinan Kemboja bagi menyelesaikan krisis politik di Myanmar?

Isu itu pasti menjadi tumpuan pada Sidang Kemuncak ASEAN.

Ketegangan dan kekecewaan negara anggota ASEAN telah meningkat apabila kerajaan tentera Myanmar menunjukkan sedikit tanda untuk mematuhi pelan damai Konsensus Lima Perkara yang menggesa pemberhentian segera keganasan dan mengadakan dialog politik inklusif.

Pada penghujung Oktober, Menteri-menteri Luar ASEAN telah mengadakan persidangan khas di Jakarta, Indonesia bagi membincangkan isu krisis politik Myanmar.

KRISIS POLITIK

Seperti Perang Rusia-Ukraine, ASEAN juga masih berbelah bahagi tentang cara menangani krisis politik dan kemanusiaan di Myanmar.

Walaupun negara-negara anggota seperti Indonesia, Malaysia dan Singapura lebih memihak tindakan lebih pro-aktif, negara anggota yang lain lebih suka mengambil pendekatan lebih akomodatif.

Pendirian yang lebih tegas terhadap Myanmar dijangka berlaku sebaik sahaja Indonesia mengambil alih sebagai Pengerusi ASEAN untuk 2023.

Persaingan dan hubungan tegang antara AS serta China akan terus menjadi perhatian utama dalam tiga persidangan tersebut.

Kehadiran Biden pada Sidang Kemuncak ASEAN dan G-20 adalah manifestasi kesungguhan AS untuk memperkukuhkan semula hubungan dengan negara-negara di rantau Asia Tenggara, seterusnya meningkatkan kerjasama dalam rangka Indo-Pasifik.

Antara usaha yang telah dilaksanakan adalah Persidangan Khas antara AS dengan pemimpin ASEAN pada Mei lalu di Washington DC. Biden telah menjanjikan bantuan untuk membantu negara-negara Asia Tenggara menghadapi cabaran pandemik Covid-19.

Biden dan Xi Jinping dijangka bertemu secara bersemuka di luar Sidang G-20 bagi membincangkan isu-isu bersama seperti perubahan iklim. Ia kali pertama mereka bertemu selepas ketegangan yang tercetus akibat lawatan Speaker AS, Nancy Pelosi ke Taiwan pada Ogos.

Pada masa sama, Biden juga dijangka bertemu Presiden Korea Selatan, Yoon Suk-yeol dan Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida di luar Sidang Kemuncak ASEAN serta G-20.

Sejauh mana usaha AS mahu merapatkan semula hubungan dengan negara-negara anggota ASEAN akan mendatangkan hasil masih menjadi persoalan kerana China sudah menjadi rakan perdagangan dan kerjasama utama dengan kebanyakan negara Asia Tenggara.

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Profesor Madya di Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya

Klik di sini untuk terus membaca