[WAWANCARA] Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Jufitri Joha menggalas misi besar untuk memenangi kerusi Parlimen Rembau.
Bagaimanapun, beliau perlu terlebih dahulu melepasi saingan empat calon lain yang tidak kurang hebat.
Ia termasuk calon Barisan Nasional (BN) iaitu Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menggantikan penyandang terdahulu, Khairy Jamaluddin Abu Bakar (KJ) yang berpindah ke kerusi Parlimen Sungai Buloh.
Menariknya, bekas Presiden Majlis Belia Malaysia yang juga dikenali sebagai JJ itu pertama kali menyertai parti politik dan memilih PH atas dasar kredibiliti kepimpinan parti serta ideologi parti memperjuangkan isu rakyat marhaen.
Ikuti temu bual wartawan Sinar Premium, Liza Mokhtar menelusuri aspirasi pemuda berusia 43 itu ‘menukar’ label KJ yang sebati dengan pengundi Rembau dan menggantikannya dengan jenama JJ, muka baharu PH yang menampilkan idea segar.
SINAR PREMIUM: Apa perasaan saudara mewakili PH dan bertanding di Parlimen Rembau, salah satu kerusi panas PRU15?
JUFITRI: Menjadi calon PH di Rembau pada PRU15 adalah kesempatan terbaik untuk saya mencurahkan khidmat bakti bukan sahaja kepada ibu bapa saya yang memang asal Rembau tetapi semua lapisan masyarakat di sana yang amat dekat di hati.
Apatah lagi, saya sering pulang ke Rembau dan melibatkan diri dengan aktiviti belia serta kemasyarakatan sejak hampir 20 tahun selepas ibu bapa pulang dari perantauan untuk bersara di kampung.
Kalau soal kerusi panas, saya tidak memandang kepada calon pencabar, sebaliknya melihat ia sebagai peluang keemasan untuk mengangkat suara rakyat Rembau ke peringkat lebih tinggi, di dewan legislatif atau pembuatan polisi dan dasar.
Pengganti KJ di Rembau ialah salah seorang pemimpin tertinggi UMNO iaitu Tok Mat (Mohamad Hasan).
- Adakah saudara berasa pencalonan beliau sebagai satu cabaran besar?
Seperti dikatakan awal tadi, saya tidak memandang pencabar, sebaliknya lebih kepada peluang berkhidmat untuk masyarakat.
Saya rasa sudah sampai masa, kita harus menampilkan calon-calon terbaik dan hebat daripada setiap parti.
Akhirnya, kita mahu pengundi menilai siapakah boleh memberikan tawaran terbaik untuk Rembau dan negara berdasarkan pengalaman, kredibiliti, jaringan serta sumbangan calon.
Sudah tiba masa untuk negara mempunyai politik matang di mana kita memberi seleksi pilihan terbaik buat pengundi memilih.
Kalau sebelum ini orang mengatakan kita memilih (calon atau parti) yang kurang mudarat daripada pelbagai mudarat yang ada, namun kali ini pastikan kita memilih yang terbaik dalam kalangan terbaik.
- Berentap saingan lima penjuru pada PRU15, apakah strategi saudara untuk memenangi hati pengundi Rembau yang memilih KJ-BN pada PRU14?
Pertandingan lima penjuru merupakan satu kelebihan kepada PH, malah ia persaingan sihat yang memberikan peluang kepada pengundi Rembau untuk menilai kredibiliti dan kualiti serta manifesto yang ditawarkan setiap calon bertanding.
- Apa kelebihan yang membezakan saudara daripada calon lain?
Selaku bekas Presiden MBM dan aktivis Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Rembau serta bekas Penasihat Majlis Belia Daerah Rembau, saya sangat dekat dengan masyarakat daerah ini dan banyak menghabiskan masa berkhidmat untuk komuniti di sini.
Berbekalkan pengalaman yang luas sebagai aktivis sama ada di peringkat nasional, negeri mahupun antarabangsa, saya melihat ia sebagai ruang serta peluang terbaik memberi khidmat dan sumbangan lebih besar kepada masyarakat Rembau.
Selain itu, ia adalah masa untuk saya memulangkan semula semua pengalaman tersebut kepada komuniti di Rembau demi membangunkan ekonomi, sosiobudaya, infrastruktur, pembangunan anak muda dan kerohanian masyarakat.
- Selain latar belakang keluarga anak jati Rembau, apa istimewanya daerah ini di mata saudara?
Rembau ialah tanah tumpah ibu bapa saya. Selain itu, ia juga antara daerah yang amat memelihara adat Perpatih, adat kebanggaan rakyat Negeri Sembilan.
Ia satu keunikan yang boleh dibangunkan dan diperkenalkan semula khususnya kepada generasi muda.
Kegemilangan Rembau harus dikembalikan agar menjadi lokasi yang berpotensi besar untuk dibangunkan, sekali gus akan memberi pulangan kepada masyarakatnya pada masa depan.
- Apakah perkara pertama yang akan saudara laksanakan sekiranya memenangi kerusi Rembau?
Antara perkara yang boleh dilaksanakan segera adalah kolaboratif dengan kerajaan negeri dan MPKK (ketua kampung) yang telah membuat kerja akar umbi membantu masyarakat serta membangunkan lokaliti.
Satu kelebihan sekiranya menang di kerusi Parlimen, lebih mudah untuk meneruskan usaha membantu rakyat.
Kita mampu memberi tekanan kepada segelintir pegawai kerajaan yang enggan memberi kerjasama baik agar sistem penyampaian bantuan berkesan dan cepat dapat disalurkan kepada rakyat.
Seterusnya, saya akan menghimpunkan pakar dan tokoh kelahiran Rembau bagi menggunakan kepakaran serta sumber yang mereka ada untuk menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat di daerah ini.
Klik di sini untuk terus membaca